Kita yang lupa kepada ideologi negara - Utusan Malaysia

Kita yang lupa kepada ideologi negara

Orang ramai bersama-sama melafazkan ikrar Rukun Negara ketika menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan di Dataran Putrajaya. Setiap rakyat tanpa mengira peringkat usia perlu menghayati prinsip Rukun Negara sebagai panduan dalam hidup seharian. MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESEMPATAN berbual dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Rustam ketika beliau melawat pejabat Media Mulia baru-baru ini membuka minda dan perspektif baharu mengenai keperluan menghayati Rukun Negara oleh setiap rakyat Malaysia.

Menurut Tun Mohd. Ali, ia adalah ideologi negara yang bukan sahaja perlu dihayati tetapi perlu menjadi amalan jika mahu mengekalkan keharmonian dan kestabilan di negara kita.

Diakui, hari ini majoriti rakyat Malaysia sudah tidak memperdulikan akan kewujudan Rukun Negara. Sedangkan, ia dihasilkan oleh para pemimpin kita dahulu ketika negara diancam oleh krisis perpaduan kaum yang serius yang kesannya boleh menyebabkan negara terjerumus ke dalam kancah perbalahan kaum dan agama.

Lalu para pemimpin mencari jalan, memerah otak bagaimana untuk mewujudkan satu garis panduan atau satu pernyataan yang mampu menjadi pegangan dan asas kepada setiap rakyat negara ini. Matlamatnya adalah untuk perpaduan yang akan menyumbang kepada keharmonian dan kestabilan negara. Daripada krisis selepas peristiwa 13 Mei 1969 maka Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan Malaysia di perkenalkan pada 31 Ogos 1970.

Dan menjelang 31 Ogos tahun ini, ideologi itu sudah berusia 55 tahun. Dan ibarat seorang insan yang memasuki warga emas, Rukun Negara juga kain dilupakan dan semakin kurang penghayatan terutama dalam kalangan generasi muda.

Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara cukup sesuai dengan komposisi rakyat negara kita yang berbilang kaum dan agama tanpa melebihkan mana-mana kumpulan.

Lima prinsip Rukun Negara itu mengiktiraf bahawa kepercayaan kepada Tuhan adalah asas penting dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Kedua, ia menanam semangat taat setia kepada Raja sebagai Ketua Negara dan setia kepada negara Malaysia dan ketiga, mengajak setiap rakyat supaya menghormati dan menjunjung Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Prinsip Rukun Negara keempat menjamin keadilan untuk semua melalui sistem perundangan yang adil, dan semua orang tertakluk kepada undang-undang.

Dan yang terakhir memberi penekanan kepada pentingnya adab, tatasusila, dan tingkah laku yang baik dalam masyarakat.

Jika semua prinsip ini dijadikan amalan oleh kita semua, maka segala kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini dapat dielakkan.

Tetapi kita leka dan lupa, sebab itu kita sanggup mengetepikan peruntukan dalam perlembagaan semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik dengan menggunakan demonstrasi jalanan sebagai cara untuk menukar kerajaan.

Sedangkan dalam Perlembagaan negara jelas tercatat, Perdana Menteri dan Kerajaan boleh ditukar serta diubaha pada bila-bila masa melalui proses undang-undang dan berdasarkan lunas Perlembagaan.

Tetapi disebabkan kita lupa kepada Rukun Negara maka kita tidak menjunjung prinsip Keluhuran Perlembagaan hingga sanggup menggunakan jalan yang tidak sah untuk mendapatkan kuasa.

Akhirnya, negara dilihat sebagai tidak stabil dan kehidupan rakyat terjejas apabila para peniaga terpaksa menutup kedai mereka pada hari itu kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku.

Segala hiruk-pikuk ini berlaku sebagai kita mengetepikan ideologi negara, sebaliknya lebih mementing ideologi parti-parti politik tanpa mengambil kira kesanya secara lebih meluas.

Apabila kita memandang enteng kepada ideologi negara yang termaktub dalam Rukun Negara ini, maka secara tidak langsung kita tidak menghormati Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Begitu juga dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku sekarang seperti buli, jenayah seksual dan sebagainya. Antaranya, disebabkan kurangnya penghayatan masyarakat kita terhadap prinsip

Kesopanan dan Kesusilaan. Perkara-perkara yang melanggar kesopanan dan tata susila perlu diberi penekanan khusus terutama ketika di sekolah. Adakah buli itu sopan? Adakah perlakuan ganas di sekolah dan sebagainya itu sopan? Adakah salah laku seks dan pelbagai perkara lain yang tidak senonoh itu sopan? Adakah buang sampah merata-rata itu sopan? Adakah tandas kotor dan busuk itu sopan?

Semua itu berlaku disebabkan kita sudah hilang kesopanan dan kesusilaan. Sedangkan dalam ideologi negara kita ia adalah elemen yang perlu diangkat dan dijulang.

Kalau lihat mana-mana negara sekali pun, ideologi negara ini sangat penting dan sangat disanjung. Di Indonesia misalnya, Pancasila menjadi asas kepada sahaja yang berkaitan kehidupan rakyat negara itu. Sebab itu mereka ada hari khusus sempena meraikan kelahiran Pancalisa.

Pancasila mereka tidak boleh dibuat main-main oleh sesiapa kerana itu adalah asas pembentukan negara dan masyarakatnya. Ia adalah elemen suci yang sentiasa dilindungi. Mereka sanggup menumpahkan darah untuk mempertahankan Pancasila

Tetapi, di negara kita, Rukun Negara kini sekadar menjadi hiasan di belakang buku atau di dinding-dinding. Ia tidak dalam tanamkan dalam pemikiran rakyat kita apatah lagi dijadikan panduan atau pedoman dalam kehidupan seharian.

Memang, Rukun Negara bukannya penyelesaian kepada semua masalah, tetapi sekurang-kurang ia menjadi peringatan apabila setiap kali kita mahu melakukan perkara-perkara jelek.

Jika dihayati, setidak-tidaknya ia boleh menjadi pembimbing dalam kehidupan seharian. Menjadi peringatan apabila kita terdetik untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan, undang-undang dan kesusilaan.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini, mungkin boleh mengambil kesempatan untuk menghayati ideologi negara yang kita sudah lupakan ini.

Dek kerana kita leka dan alpa akan kewujudannya, maka segala tindak-tanduk kita lebih cenderung menjerumus kepada perkara yang melanggar Perlembagaan dan ketatasusilaan.

Rasanya belum terlambat untuk kita menerapkan elemen Rukun Negara ini secara mendalam dalam kalangan anak-anak kita terutama di peringkat sekolah. Bukan sekadar ada atau Touch ‘n’ Go, tetapi secara terperinci hingga ia menusuk dalam senubari anak-anak kita dan menjadi pegangan dan amalan mereka apabila dewasa.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN