Kelaparan Gaza senjata perang yang melanggar hak kemanusiaan

Kelaparan Gaza senjata perang yang melanggar hak kemanusiaan

KELAPARAN dijadikan senjata perang dengan harapan dapat melemahkan pihak lawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS kelaparan muncul sebagai penderitaan kemanusiaan paling mendesak dan tragik yang menimpa rakyat Gaza akibat penindasan berterusan rejim Israel. Ribuan kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan, hospital lumpuh tanpa bekalan asas, manakala rakyat Gaza berdepan ancaman maut bukan sahaja dari serangan bom tetapi daripada perut yang kosong.

Menurut laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC), situasi kelaparan digambarkan sebagai ‘senario paling buruk’ sedang berlaku di wilayah Gaza. Laporan itu menegaskan hanya akses kemanusiaan yang segera dan tanpa halangan ke Gaza mampu menghentikan peningkatan mendadak kes kelaparan serta kematian.

Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran Gaza berdepan risiko kelaparan yang amat serius apabila tahap pemakanan dan penggunaan makanan mencapai paras paling buruk sejak konflik bermula.

Situasi ini bukan sekadar kesan langsung daripada serangan ketenteraan, perpindahan penduduk secara paksa dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan tetapi merupakan strategi yang dirancang untuk menghancurkan masyarakat Gaza secara sistematik melalui kelaparan sebagai senjata perang.

Apabila ditelusuri sejarah konflik bersenjata, kelaparan dijadikan senjata perang yang mensasarkan penduduk awam dengan harapan dapat melemahkan pihak lawan. Kaedah ini bukan sahaja menindas secara fizikal, malah menjatuhkan semangat masyarakat sivil secara sistematik.

Kelaparan digunakan sebagai tekanan terhadap musuh dengan mengepung kawasan awam, memusnahkan sumber makanan, menyekat bantuan kemanusiaan atau mengganggu rantaian bekalan asas.

Taktik ini pernah digunakan di dalam pelbagai konflik bersenjata seperti di Biafra, Sudan Selatan dan Syria.

Dalam konteks undang-undang antarabangsa, tindakan ini merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip asas Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA), yang menetapkan batas moral dan undang-undang di dalam peperangan. Konvensyen Geneva Keempat 1949 dan Protokol Tambahan I 1977 dengan jelas melarang penggunaan kelaparan sebagai kaedah peperangan.

Artikel 54(1) Protokol Tambahan I menyatakan, “Dilarang menggunakan kelaparan terhadap penduduk awam sebagai kaedah peperangan.”

Larangan ini turut merangkumi serangan terhadap objek yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup seperti makanan, air, sistem pertanian, ternakan dan kemudahan sanitasi.

Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan yang sah turut dianggap sebagai pelanggaran serius.

Taktik ini juga boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang sepertimana termaktub dalam Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa melalui Artikel 8(2)(b)(25) yang menetapkan, “Dengan sengaja menyebabkan kelaparan kepada penduduk awam sebagai kaedah peperangan, dengan menafikan mereka objek yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup, adalah satu jenayah perang.”

Ini memberikan asas undang-undang untuk mendakwa individu yang bertanggungjawab, termasuk pemimpin tentera dan politik, yang secara langsung atau tidak langsung mengarahkan tindakan tersebut.

PERANAN MALAYSIA

Dalam usaha untuk mendominasi dan menghapus aspirasi nasional rakyat Gaza, pimpinan tentera dan politik rejim Israel melangkah lebih kejam dari sekadar melakukan pengeboman dan penghancuran infrastruktur, namun mereka juga menyasarkan hal yang paling mendasar bagi kelangsungan hidup, iaitu menyekat akses terhadap makanan, air dan keperluan asas lainnya.

Komuniti antarabangsa melalui agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palang Merah Antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendesak akses kemanusiaan penuh dan menuntut pertanggungjawaban ke atas pelaku jenayah ini.

Malaysia sebagai negara yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin juga perlu memainkan peranan aktif melalui langkah strategik yang mampan dan menyeluruh, melangkaui sekadar bantuan bersifat ad hoc.

Malaysia sewajarnya menerajui usaha diplomatik, kemanusiaan dan ekonomi bagi menekan pihak berkuasa antarabangsa dan rejim penjajah agar membuka laluan bantuan tanpa syarat ke wilayah Gaza.

Usaha ini boleh direalisasikan melalui diplomasi antarabangsa yang lebih tegas berasaskan kemanusiaan. Kementerian Luar perlu meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Majlis Keselamatan PBB serta melobi negara-negara berpengaruh agar terus menekan Israel dari sudut ekonomi dan perundangan antarabangsa. Hal ini bagi memastikan gencatan senjata menyeluruh yang membolehkan bantuan segera disalurkan kepada rakyat Gaza.

Kedua, melalui kerjasama strategik dengan Mesir dan Jordan. Sebagai pintu utama ke wilayah Gaza, Mesir dan Jordan memainkan peranan kritikal dalam memberi laluan terhadap akses kemanusiaan ke wilayah bergolak itu. Satu usul tegas melalui rundingan diplomatik tiga hala ini perlu dibawa ke PBB bagi mewujudkan ‘Koridor Kemanusiaan Khas – Zon Bebas Senjata.

Hal ini bagi membolehkan laluan selamat melalui sempadan dua buah negara itu untuk penghantaran bantuan makanan dan ubat-ubatan khususnya dari Malaysia tanpa sebarang gangguan.

Ketiga, melalui penubuhan Konsortium Bantuan Kemanusiaan Malaysia dapat menyatukan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Dengan penyelarasan yang lebih sistematik, segala bantuan makanan, ubat-ubatan dan logistik dapat dihantar lebih pantas, telus dan berkesan.

Malaysia juga boleh mengorak langkah menjadi tuan rumah Sidang Khas ASEAN atau Sidang Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk merangka pelan tindakan menyeluruh melalui pertubuhan serantau. Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kesederhanaan di peringkat antarabangsa dipercayai memberi kelebihan dalam menggalas tanggungjawab ini.

Tuntasnya, bantuan ke Gaza bukan sekadar sumbangan material tetapi manifestasi solidariti kemanusiaan dan tuntutan agama.

Al-Quran menyeru umat Islam untuk membela golongan tertindas dan memberi makan kepada yang kelaparan, sebagaimana firman Allah SWT.

Maka, tibalah masanya untuk Malaysia tampil sebagai peneraju utama dalam membantu menyelamatkan rakyat Gaza daripada krisis kelaparan yang menyentuh naluri kemanusiaan setiap insan.

Peranan ini bukan sahaja mencerminkan prinsip kemanusiaan sejagat, malah dapat menjulang maruah Malaysia di pentas antarabangsa.-UTUSAN

DR. Muhammad Fahmi Md. Ramzan ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×