FAHAMAN New Age Movement tersebar di seluruh dunia sejak akhir kurun ke-20 lagi seperti dalam penelitian ramai pengkaji agama dan kebudayaan seperti John Gordon Melton (lahir 1942), Paul Heelas (lahir 1946), Hugh Urban dan ramai lagi.
Antara contoh gerakan ini ialah ajaran teosofi (theosophy), antroposofi (anthroposophy) dan saintologi (scientology).
Ajaran New Age Movement ini tersebar melalui saluran media popular seperti laman sesawang, saluran media sosial, buku, risalah dan seminar yang memperkenalkan masyarakat kepada ajaran dan perhimpunan berkala kumpulan ini.
Fahaman atau gerakan zaman baharu ini datang kepada masyarakat dunia pada peringkat awalnya dalam masyarakat Barat dengan membawa corak hidup baharu yang diadaptasi daripada pelbagai budaya kuno dan moden yang menekankan kepercayaan-kepercayaan seperti kelahiran semula, holisme, panteisme, yoga, sihir dan astrologi.
Cara hidup yang diajarkan ini juga adalah sesuatu yang unik, berbeza daripada amalan arus perdana serta menjadi alternatif baharu dalam melaksanakan amalan kerohanian, menghayati falsafah kehidupan dan mengamalkan cara hidup sihat.
Boleh jadi kerana modus operandi dan kandungan ajaran kumpulan ini berbeza daripada ajaran-ajaran agama arus perdana telah membuatkan segelintir ahli masyarakat menjadi tertarik dan terpesona dengan kaedah baharu ini.
Gerakan ini membawa sebuah cara hidup yang baharu dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan kekusutan yang dihadapi dalam masyarakat.
UBAH NAMA KELIRUKAN PIHAK BERKUASA
Gerakan ini bukanlah datang dalam ‘pakaian’ atau bentuk sebagai sebuah ajaran agama secara langsung atau pada peringkat awal.
Gerakan ini menawarkan solusi kepada pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat sama ada dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi, fesyen, gaya hidup, muzik, politik dan pelbagai lagi dimensi kehidupan manusia.
Unsur-unsur akidah yang menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam ini selalunya ditonjolkan kepada para pengikut gerakan ini yang telah menghabiskan pelajaran pada peringkat pengenalan dan telah lulus apa-apa ujian atau proses saringan yang tertentu.
Dalam erti kata yang lain, elemen New Age Movement atau perkara-perkara yang menyalahi akidah ini tidak dapat dikesan pada peringkat awal atau secara mudah oleh mana-mana pengikut peringkat bawahan atau para pemerhati daripada luar.
Meskipun terdapat kesukaran dalam hal ini, masyarakat awam boleh sahaja merujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama Islam negeri, dan jabatan mufti kerajaan negeri untuk mendapatkan pencerahan dan jawapan bagi sebarang kekeliruan yang dihadapi dalam mengenal pasti mana-mana kumpulan atau persatuan yang mungkin terlibat dalam amalan dan ajaran tersebut atau bercanggah dengan ajaran Islam.
Malah, terdapat pelbagai panduan yang telah diberikan oleh pihak-pihak berautoriti agama Islam berkenaan bahaya ajaran sesat dan ciri-ciri gerakan mereka.
Ciri-ciri yang telah digariskan ini turut boleh terpakai dalam menyiasat aspek-aspek penyelewengan yang mungkin terdapat dalam apa-apa kegiatan atau ajaran mana-mana pertubuhan atau persatuan dalam masyarakat awam. Antaranya adalah seperti berikut:
Guru atau pengajar ajaran itu mengaku dirinya sebagai wakil tuhan atau nabi atau rasul yang menerima wahyu secara langsung daripada tuhan. Ini bercanggah dengan konsep Khatam Al-Nabiyyin dan Khatam Al-Rusul iaitu penutup kenabian dan kerasulan seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Ahzab 33: Ayat 40 yang bermaksud: “Muhammad SAW itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu (yakni Zaid bin Harithah RA), tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Ajaran disampaikan dengan penuh kerahsiaan dan amalan yang diajarkan juga dilarang daripada disebarkan kepada pengetahuan umum terutamanya pihak jabatan agama atau majlis agama Islam negeri. Perjumpaan diadakan secara tertutup dan melarang para pengikutnya daripada berkongsi pengetahuannya kepada orang ramai dengan ancaman dicederakan, ugutan bunuh, ancaman ditimpa bala bencana atau wabak penyakit.
Guru atau pengajar mengaku dirinya sebagai satu-satunya pembawa ajaran keselamatan yang sebenar dan mencaci maki para alim ulama lain yang muktabar termasuklah para sahabat yang telah dijamin syurga, para Tabi’in dan imam mazhab yang empat.
Guru atau pengajar mendidik serta melatih para pengikutnya untuk menjadi taksub dan fanatik kepada guru atau kumpulan ajarannya sahaja serta menolak pandangan-pandangan oleh alim ulama muktabar yang lain dan kumpulan-kumpulan diiktiraf yang lain dalam Islam.
Guru atau pengajar membuat ajaran baharu, tafsiran dan takwilan yang menyeleweng kepada perkara-perkara yang telah diijmakkan oleh para alim ulama muktabar. Ini termasuklah dalam perkara-perkara usul al-din (asas-asas agama) seperti sifat dan zat Allah SWT, konsep kenabian, keterpeliharaan al-Quran dan isi kandungannya, konsep al-Sunnah, konsep solat, puasa, zakat, haji dan banyak lagi. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (bercanggah dengan Islam), maka amalan itu adalah tertolak.” (Muttafaq ‘Alayh)
Kadang kala, para pengasas dan pengajar gerakan ini akan menukar-nukar nama persatuan atau kumpulannya untuk menyukarkan pihak berkuasa daripada menjejaki dan mengenal pasti pergerakan ajaran ini dan perkembangan pengaruh mereka.
YOGA, MEDITASI, KURSUS JATI DIRI
Sebenarnya telah banyak ajaran New Age Movement yang telah dihalang dan dibasmi oleh pihak berkuasa agama seperti Jakim, jabatan agama Islam negeri dan jabatan mufti kerajaan negeri.
Antaranya ialah Kursus ESQ Leadership Training, seminar metamorphosis, amalan yoga dalam kalangan umat Islam, transcendental meditation dan banyak lagi.
Nama dan konsep New Age Movement mula menjadi viral sekarang ini kerana terdapat sebuah kumpulan yang disyaki mengamalkan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam dan mempunyai persamaan dengan ciri-ciri yang dimiliki oleh kumpulan lain.
Kumpulan ini juga sudah dikenal pasti dan sedang berada dalam siasatan oleh pihak berkuasa agama.
Moga semua umat Islam dapat menjadi lebih cakna dan berwaspada dalam zaman digital ini dengan sebarang dakwaan yang pelik dan meragukan berkenaan perkara-perkara berkaitan akidah, kerohanian dan alam ghaib.
Seperti yang selalu dipesan oleh para ulama berautoriti, hanya ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah dan turath ulama muktabar sahaja adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.
Sebarang jalan lain yang bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah mestilah dihindari dan dilaporkan segera kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan seterusnya. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Akidah dan Pengajian Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










