Pengakap laut menyumbang kepada kemajuan maritim negara

Pengakap laut menyumbang kepada kemajuan maritim negara

PEMANGKU Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani (tengah, berkaca mata) bersama kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan peserta Perhimpunan Pengakap Laut Kebangsaan Kali Keenam (National Seaboree) yang berlangsung di Lumut, Perak baru-baru ini. – GAMBAR PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGERAKAN pengakap di Malaysia telah sekian lama menjadi platform penting dalam pembangunan sahsiah diri dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Selain unit utama yang dikenali sebagai Pengakap Perdana, pergerakan ini turut melahirkan cabang khusus seperti pengakap laut, yang memberi tumpuan kepada kemahiran kepelautan dan penghayatan terhadap kehidupan di persekitaran air.

Pengakap laut bukan sekadar cabang pengkhususan semata-mata malah merupakan sebuah sistem latihan yang membentuk daya tahan, disiplin serta kemahiran praktikal yang sangat berguna khususnya dalam konteks negara maritim seperti Malaysia.

Ilmu survival air, pengendalian bot, ikatan maritim dan orientasi laut merupakan antara teras utama latihan bagi unit ini.

Sejak ditubuhkan di Malaysia pada 1930, pengakap laut terus berkembang seiring dengan kemajuan sektor maritim negara.

Kini, hampir semua negeri di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memiliki unit pengakap laut yang aktif sekali gus mencerminkan potensi besar cabang ini dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.

Kelebihan geografi Malaysia sebagai negara yang dikelilingi perairan, menjadikan negara ini sebagai lokasi yang amat sesuai untuk latihan dan pembangunan ilmu berkaitan laut.

Pengakap laut memainkan peranan penting dalam mendidik muda-remaja dan belia agar lebih memahami serta menghargai sumber laut sebagai aset negara yang bernilai tinggi dan wajar dipelihara.

Bagi menyelaras pengoperasian cabang ini, Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan ditubuhkan untuk merancang dan melaksanakan program-program pembangunan kemahiran serta memperkasa jaringan pengakap laut di seluruh negara.

Kemuncak kepada usaha ini adalah penganjuran Perhimpunan Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Keenam (National Seaboree) yang telah diadakan dari 10 hingga 13 Julai lalu bertempat di Universiti Kuala Lumpur – Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia (UniKL-MIMET), Lumut, Perak.

Seaboree kali ini menghimpunkan hampir 1,000 peserta dari seluruh negara termasuk 700 ahli pengakap laut pelbagai peringkat, daripada Pengakap Muda hingga Pengakap Kelana serta 200 peserta dari cabang Pengakap Perdana dan Udara. Seramai 100 pemimpin dewasa turut hadir bertindak sebagai pemantau dan pembimbing peserta.

Objektif utama penganjuran ini adalah bagi meneruskan tradisi tahunan perhimpunan pengakap laut, selain memperkukuh silaturrahim serta memperkasakan ilmu dan kemahiran kepelautan melalui pelbagai aktiviti, bengkel dan pertandingan bersifat teknikal serta praktikal.

Program ini turut menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan dunia maritim sebagai satu bidang kerjaya berpotensi tinggi kepada golongan muda. Menerusi pendedahan awal yang tersusun, peserta didorong untuk mengenal pasti minat dan bakat mereka dalam sektor seperti perkapalan, keselamatan maritim, konservasi, pelancongan laut dan pertahanan negara.

Kerjasama strategik antara pengakap laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjadi antara elemen paling menyerlah dalam Seaboree kali ini. Maritim Negeri Perak telah menyertai pameran sepanjang program berlangsung, sekaligus membuka ruang interaksi langsung bersama para peserta dan pengunjung.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa penyertaan Maritim Negeri Perak dalam perhimpunan ini merupakan platform terbaik untuk mendekati generasi muda sambil menyemai minat terhadap kerjaya beruniform yang mencabar dan berintegriti tinggi.

Kerjasama seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi keselamatan dan badan belia, malah berpotensi besar untuk menjadi pemangkin kepada usaha membina negara maritim yang berdaya tahan serta dipandu oleh generasi muda yang berpengetahuan dan berwawasan.

Penganjuran Seaboree kali ini turut memperlihatkan potensi institusi pendidikan tinggi teknikal seperti UniKL-MIMET yang mampu memainkan peranan besar dalam menyokong pembangunan bakat maritim dalam kalangan belia negara.

Program ini telah membuka ruang kepada peserta untuk menyemai keberanian, kepimpinan, semangat kerjasama dan cinta terhadap alam maritim. Nilai-nilai ini penting dalam membina generasi muda yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga bertanggungjawab kepada negara dan alam sekitar.

Melangkah ke hadapan, Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan merancang untuk memperluaskan penganjuran Seaboree ke peringkat antarabangsa dan menjadikannya acara tahunan utama dalam kalendar Pengakap Malaysia.

Hasrat ini selaras dengan cita-cita menjadikan Malaysia sebagai hab latihan dan pembangunan pengakap laut di rantau ini.

Seaboree 2025 telah mencipta impak besar, bukan sahaja kepada para peserta, malah turut menyentuh keseluruhan ekosistem kepengakapan dan maritim negara.

Dalam menghadapi cabaran dunia moden, pengakap laut kekal menjadi kompas yang membimbing generasi muda ke arah ‘pelabuhan’ kejayaan dengan semangat patriotisme, kepimpinan dan iltizam yang tinggi.

Baru-baru ini, pengakap laut juga turut serta dalam program Minggu Maritim Malaysia 2025 yang berlangsung di Selangor sebagai usaha menyebarluaskan peranan dan komitmen PPM dalam mendidik anak muda mengenai pentingnya sektor ini.

Dalam pada itu, usaha memperluas sempadan ilmu dalam kalangan ahli pengakap akan terus dilaksanakan secara konsisten di peringkat nasional.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr. Mohd. Zin Bidin, menyempurnakan pelancaran Lencana Kepandaian Biodiversiti Pengakap pada Jun lalu di Putrajaya.

Langkah ini menunjukkan penekanan terhadap kepentingan memelihara biodiversiti dan alam sekitar sebagai sebahagian daripada agenda pendidikan pengakap secara holistik. – UTUSAN

SOFIAN BAHAROM ialah Setiausaha Eksekutif Komunikasi Korporat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN