Modal insan sebagai paksi masa hadapan lestari Malaysia

Modal insan sebagai paksi masa hadapan lestari Malaysia

SEKTOR tenaga boleh baharu berpotensi menjadi pemangkin penyelesaian pelbagai isu berbangkit melalui pendekatan modal insan yang inklusif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini menghadapi kekurangan tenaga mahir dan kepakaran teknikal untuk menyokong peralihan sektor tenaga ke arah kelestarian.

Sektor seperti kejuruteraan elektrik, tenaga boleh baharu dan sistem grid moden berkembang pantas, namun ketersediaan tenaga kerja tempatan yang bersedia masih belum mencukupi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam ucapan di Moscow pada 28 Jun lalu, menyatakan pelaburan dalam modal insan sama penting dengan pelaburan teknologi dalam menjayakan peralihan tenaga negara.

Sehubungan itu, Malaysia perlu melaksanakan pelan tindakan modal insan yang menyelaras dasar pembangunan sumber manusia dengan hala tuju tenaga nasional, termasuk unjuran keperluan sektor, pemetaan kemahiran kritikal dan strategi pemadanan bakat secara sistematik bersama industri serta institusi pendidikan.

Dalam konteks latihan teknikal, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu menjadi tulang belakang penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor tenaga masa hadapan.

Kurikulum sedia ada harus ditambah baik dengan modul baharu yang meliputi tenaga boleh baharu, sistem grid pintar, sistem storan tenaga dan pengurusan tenaga bangunan. Pada masa sama, sistem akreditasi profesional dalam bidang tenaga perlu dibangunkan bagi membolehkan pekerja teknikal menaik taraf kemahiran secara lebih sistematik.

Usaha memperkasa TVET juga harus melibatkan penyelarasan langsung antara pusat latihan dan industri tenaga agar latihan yang diberikan berdasarkan keperluan sebenar pasaran. Laluan kerjaya berstruktur dengan pensijilan khusus seperti juruteknik solar, penyelia grid atau juruanalisis tenaga boleh dibentuk untuk memastikan graduan TVET bukan sahaja mudah diserap, malah mampu membina kerjaya yang stabil dan progresif dalam sektor ini.

KEPAKARAN DIASPORA TENAGA
Kepakaran tenaga rakyat Malaysia yang kini berkhidmat di luar negara juga perlu diberi perhatian serius dalam strategi pembangunan modal insan sektor ini.

Program Kepulangan Pakar (REP) yang dikendalikan TalentCorp boleh diperluas bagi menyasarkan pakar dalam sistem tenaga pintar dan teknologi bersih.

Kepulangan mereka boleh difasilitasi dengan insentif seperti geran penyelidikan, peluang kolaborasi industri dan kemudahan penempatan semula yang berstruktur.

Statistik menunjukkan seramai lebih 1.86 juta rakyat Malaysia kini menetap di luar negara, dengan lebih 280,000 daripadanya terlibat dalam kerjaya profesional dalam bidang teknikal dan sains di Australia, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kanada.

Menariknya, seramai 10,844 pakar kembali sejak 2021 melalui REP, memperlihatkan potensi nyata diaspora sebagai sumber bakat bernilai. Lebih penting, penglibatan diaspora tidak semestinya dalam bentuk kepulangan fizikal semata-mata. Mereka juga boleh berperanan sebagai penasihat teknikal, mentor profesional atau rakan penyelidik bersama universiti tempatan.

Pengalaman dan pendedahan mereka di pasaran global boleh menyumbang kepada pembangunan standard latihan tenaga yang setara dengan piawaian antarabangsa.

STRUKTUR SEMULA PERALIHAN PEKERJA DIBERHENTIKAN
Golongan pekerja berpengalaman yang terkesan akibat pemberhentian kerja, khususnya dalam sektor minyak dan gas, automotif dan pembuatan berat, mempunyai kemahiran teknikal yang relevan untuk dipindah masuk ke dalam sektor tenaga.

Ramai antara mereka memiliki latar belakang dalam kejuruteraan operasi, penyelenggaraan dan keselamatan industri yang boleh disesuaikan dengan bidang tenaga boleh baharu serta penyelenggaraan sistem grid moden.

Strategi pemulihan kerjaya untuk kumpulan ini harus melibatkan latihan semula intensif yang berfokus, misalnya program tiga hingga enam bulan yang menepati keperluan teknikal semasa. Selain itu, galakan seperti subsidi latihan, insentif gaji atau kredit cukai boleh ditawarkan kepada syarikat yang mengambil inisiatif menggaji mereka.

Peranan HRD Corp dan MyFutureJobs penting dalam memastikan pemadanan peluang pekerjaan berlaku secara lebih efisien dan tersusun.

VETERAN ATM
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya yang bersara awal sekitar usia 40-an, adalah kelompok tenaga kerja berpotensi tinggi. Mereka memiliki disiplin, daya tahan fizikal dan latar belakang teknikal yang boleh diserap ke dalam sektor tenaga.

Pengalaman inisiatif Veteran MyWIRA menunjukkan latihan semula yang berstruktur boleh mempercepatkan transisi veteran ke dalam sektor strategik. Oleh itu, satu program khas seperti Veteran Tenaga Hijau boleh diwujudkan di bawah kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), TalentCorp dan HRD Corp.

Program ini boleh menyediakan laluan latihan teknikal bersijil, pemadanan pekerjaan dengan industri, serta pengiktirafan pembelajaran terdahulu (RPL) bagi mempercepatkan integrasi mereka ke dalam tenaga kerja sektor tenaga.

MAJLIS PENASIHAT BAKAT TENAGA NEGARA
Untuk memastikan kesemua strategi ini digerakkan secara berfasa dan konsisten, Majlis Penasihat Bakat Tenaga Negara perlu ditubuhkan. Majlis ini boleh dianggotai oleh wakil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Sumber Manusia, TalentCorp, HRD Corp, Perhebat, pemain industri strategik dan institusi akademik.

Fungsi utamanya menyelaras pelan tindakan pembangunan modal insan sektor tenaga, memantau pelaksanaan dasar secara berkala dan mengeluarkan laporan kemajuan yang telus kepada pihak berkepentingan.

Majlis ini juga boleh bertindak sebagai pemantau bebas kepada keberkesanan inisiatif pembangunan modal insan sektor tenaga. Selain itu, majlis ini boleh memainkan peranan sebagai platform wacana dasar antara kerajaan dan industri untuk merumuskan cadangan penambahbaikan dasar, skim galakan serta pembiayaan latihan yang diperlukan oleh ekosistem tenaga yang sedang berkembang pesat.

MEMACU KELESTARIAN
Menstruktur semula tenaga kerja melalui pendekatan rentas segmen dan rentas kementerian bukan sahaja akan menjana ekosistem tenaga yang tangguh, malah memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Malaysia tidak boleh membina masa hadapan tenaga yang lestari tanpa terlebih dahulu membina asas keadilan peluang dalam pasaran kerja.

Maka, dasar tenaga yang berpaksikan pembangunan bakat secara menyeluruh bukan sekadar strategi ekonomi tetapi keperluan nasional.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Perniagaan & Pengurusan, Open University Malaysia (OUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN