PERTANIAN dan kegiatan yang berkaitan dengannya akan terus menjadi komponen penting dalam ekonomi, walaupun sumbangannya kepada keluaran keseluruhan negara mungkin tidak besar. Ia boleh kekal sebagai penyerap penting tenaga buruh negara sambil turut memainkan peranan sebagai pembekal makanan kepada rakyat.
Apabila memerhatikan ekonomi di banyak bahagian di rantau Asia, kita tidak dapat menafikan sektor itu memainkan peranan penting sebagai penampan semasa krisis ekonomi. Ia terutama ketika ekonomi lembap dan penciptaan peluang pekerjaan perlahan. Orang ramai boleh menggunakan pekerjaan ladang apabila industri lain tidak bergerak dengan baik.
Ia berlaku di Malaysia apabila pekerja-pekerja bandar yang terpinggir pulang ke kampung untuk menoreh getah, menanam padi dan mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran.
Menarik juga apabila terdapat pekerja-pekerja bandar yang bergegas pulang pada hujung minggu untuk menoreh getah ketika harga getah tinggi.
Dalam konteks Malaysia, yang memfokus sektor perindustrian untuk mempelbagaikan ekonomi dan menyediakan pekerjaan kepada penduduknya yang semakin meningkat, khususnya kepada golongan belia, yang mana bahagian pertanian dalam jumlah output atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada hanya satu digit walaupun bahagiannya dalam jumlah guna tenaga masih kekal ketara.
Fakta ini menekankan kepentingan sektor pertanian dalam perancangan negara. Ia patut mendapat sokongan dan perhatian belanjawan yang sesuai dengan peranannya seperti yang dinyatakan.
Negara-negara maju juga menyokong aktiviti pertanian. Amerika Syarikat (AS) mempertahankan dasarnya untuk memberi subsidi kepada produk ladangnya dalam menghadapi persaingan daripada negara sedang pesat membangun, yang hasil ladangnya banyak meningkat.
Malaysia memberi subsidi kepada tanaman seperti padi untuk memastikan bekalan makanan dan pendapatan luar bandar yang mampan memandangkan kepentingan penduduk luar bandar dalam strategi politik negara. Oleh itu, langkah-langkah seperti sokongan harga, subsidi baja, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penciptaan agensi-agensi khusus untuk membantu pemasaran pertanian, diambil bagi memastikan pertanian disokong selain dipertingkatkan secara berterusan.
Di sebalik inisiatif ini, sektor ini nampaknya mempunyai masa hadapan yang tidak menentu seperti ditunjukkan oleh beberapa indeks. Antaranya peningkatan import makanan, kawasan besar tanah ladang yang tidak dijaga dan peningkatan umur pekerja-pekerja ladang. Selain itu, dengan kekurangan pekerja dalam ekonomi umum, pekerja asing membentuk sebahagian besar tenaga kerja sektor pertanian.
KESELAMATAN MAKANAN
Isu keselamatan makanan kembali menyerlahkan kepentingan pertanian dalam ekonomi. Pandemik Covid-19, lima tahun lalu dan gangguan dalam rantaian bekalan antarabangsa bagi banyak komoditi membuatkan negara melihat semula isu rantaian bekalan untuk bijirin.
Pada masa sama terdapat kebimbangan sesetengah negara tidak mahu mengeksport beras. Di samping itu, kebimbangan susulan perubahan iklim turut memberi kesan ke atas sistem pengeluaran pertanian kita, menjadikan isu keselamatan makanan adalah tinggi dalam senarai keutamaan negara.
Oleh itu, perancangan dan pembangunan pertanian memerlukan perhatian khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang akan dibentangkan pada esok (31 Julai).
Dahulu kita lebih memberi tumpuan terhadap sara diri beras. Isu keselamatan makanan sudah tentu lebih luas daripada sara diri beras dan merangkumi aspek pengeluaran, rantaian bekalan, harga dan insentif. Tidak kurang juga, tanah dan hal pelaksanaan yang sesetengah daripada ini juga memerlukan pemeriksaan semula secara terperinci.
Malah perspektif budaya sekitar tabiat makanan patut diberi perhatian. Rakyat secara keseluruhannya mempunyai kecenderungan untuk mengambil nasi, dan bukannya sumber karbohidrat lain. Oleh itu, kita perlu menggalakkan pengambilan karbohidrat yang lebih kompleks seperti ubi kayu, ubi keledek dari pelbagai jenis seperti kentang dan jagung. Persoalannya tetap sama, sama ada produk ini boleh didapati dengan harga yang berpatutan.
PEKERJA ASING
Isu yang semakin mendapat perhatian ialah kehadiran pekerja asing yang sah dan tidak sah. Mereka ini setiap hari mengambil sejumlah besar nasi sebagai makanan. Aspek ini tidak pernah menjadi sebahagian daripada perancangan sara diri beras jangka panjang yang dilakukan pada 1980-an dan 1990-an.
Oleh itu, tepat pada masanya isu-isu ini diteliti secara mendalam dan ia memerlukan perbincangan serta kajian yang komprehensif. Apatah lagi, ia menyentuh begitu banyak aspek dasar awam dan perancangan negara.
Di tengah-tengah kekangan fiskal yang sedang dihadapi negara, satu perkara yang memerlukan penilaian semula ialah penggunaan subsidi atau bantuan kewangan bagi menggalakkan pengeluaran beras. Kita banyak bergantung pada sokongan harga untuk menambah pengeluaran beras. Ini adalah warisan dasar masa lalu yang mungkin mempunyai beberapa kesan yang tidak diingini seperti penyeludupan beras dan perlakuan pasaran yang tidak sihat.
Kita mengakui beras merupakan komoditi yang berkait rapat dengan aspek politik dan keselamatan negara, kerana itu ia wajar diberi perhatian dalam dasar awam. Kita perlu menilai semula keberkesanan sokongan harga dan subsidi pengguna yang sedia ada.
Ini penting memandangkan beras kini merupakan barangan dagangan antarabangsa yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding harga beras domestik.
Dalam analisis faedah kos sosial produk yang didagangkan di peringkat antarabangsa, kriteria harga sempadan harus menjadi asas pengiraan kadar pulangan.-UTUSAN
TAN Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Profesor Adjung di Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya.










