Sebar aib orang lain boleh jadi jenayah

Sebar aib orang lain boleh jadi jenayah

DI bawah kerangka perundangan, sebarang tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan hal peribadi seseorang sehingga menganggu atau mencemar maruahnya, boleh dikenakan tindakan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PEREMPUAN yang dianggap baik oleh Allah atau perempuan yang soleh ialah perempuan taat, yang tahu diri, yang tahu sampai di batas mana dia harus berjalan. Iaitu perempuan yang memelihara hal-hal tersembunyi.” – Buya Hamka.

Baru-baru ini tular kisah hubungan terlarang antara seorang pendidik dan seorang juruelektrik. Buat julung kalinya, institusi kehakiman syariah mengambil pendekatan tegas dengan mendenda mereka berdasarkan bukti dalam bentuk pelbagai mesej peribadi yang tersebar meluas di media sosial.

Seharusnya kes ini menjadi teladan agar tindakan yang sama tegas dapat diambil pihak penguatkuasaan syariah dalam kes-kes yang melibatkan moraliti penganut agama Islam.

Selesai membahaskan jelik dan sumbangnya perlakuan mereka yang terlibat, tersebar pula video lucah yang dikatakan memaparkan pelaku yang sama. Kali ini pendidik itu bertindak sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang dengan membuat laporan terhadap mereka yang menyebarkan video peribadinya.

Sebetulnya di bawah kerangka perundangan, sebarang tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan hal peribadi seseorang sehingga menganggu atau mencemar maruahnya, boleh dikenakan tindakan. Hal ini lebih-lebih pula lagi jika melibatkan imej dan video bersifat lucah atau mengandungi aksi seksual.

Sebagai contoh, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), sesiapa yang menyebarkan kandungan lucah, sumbang atau jelik di dalam talian boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga setahun. Jika pendedahan dilakukan bukan dalam talian sekalipun, pelaku tetap bertanggungan ke atas penyebaran aib orang lain.

Misalnya, di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan (Akta 574), sesiapa yang menunjukkan, mengedarkan, mengeluarkan atau memiliki bahan lucah boleh dikenakan denda atau pemenjaraan sehingga tiga tahun.

Di bawah Seksyen 293 Akta 574 pula, jika bahan lucah tersebut ditunjukkan atau diedarkan kepada orang muda yang berumur kurang 20 tahun, pelaku boleh dikenakan denda atau pemenjaraan sehingga lima tahun.

Tambahan lagi, Bab 22, Akta 574 memperuntukkan perbuatan menakutkan secara jenayah, aib dan kegusaran sebagai kesalahan-kesalahan jenayah.

Khususnya di bawah Seksyen 504, jika seseorang dengan sengaja mengaibkan mana-mana orang, pelaku boleh dihukum dengan denda dan pemenjaraan sehingga dua tahun. Tindakan menyebarkan aib seseorang bukan saja mencemar maruah mangsa tetapi juga merendahkan martabat masyarakat yang didedahkan kepada pelbagai perkara jelik, sumbang dan lucah setiap hari.

Maka tidak pelik apabila awal minggu ini tindakan berani seorang ejen insurans terkandas selepas pelaku direman dua hari atas siasatan mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya. Mungkin pelaku melihat tindakannya sebagai membalas dendam ke atas madu yang ‘menyondol’ suaminya.
Namun, atas apa sekalipun alasan, niat tidak menghalalkan jalan jenayah yang dipilih. Hak privasi setiap orang harus dipelihara mengikut lunas undang-undang.

HAK PRIVASI
Hak privasi disifatkan sebagai hak seseorang untuk mengasingkan diri, keluarga atau hartanya daripada keberadaan atau penglihatan orang lain.

Namun, meskipun perundangan jenayah menerima privasi sebagai hak yang perlu dilindungi malangnya mahkamah di Malaysia acapkali enggan membenarkan pencerobohan privasi sebagai suatu kausa tindakan guaman sivil yang boleh dimulakan oleh mangsa terhadap pelaku.

Pun begitu, terdapat beberapa orang hakim berani yang melihat perspektif lebih luas dengan mengaitkan privasi kepada hak pemeliharaan kesopanan dan maruah seorang wanita bagi membolehkan sebarang pencerobohan yang melanggar privasi wanita dihentikan.

Sebagai contoh, dalam kes Lee Ewe Poh lwn Dr Lim Teik Man & Anor (2011), mahkamah membenarkan tindakan terhadap pakar bedah kolorektal yang menceroboh privasi seorang pesakit dengan mengambil gambar anusnya tanpa pengetahuan dan kebenaran.

Malah, dalam kes Lew Cher Phow @ Lew Cha Paw & Ors lwn Pua Yong Yong & Anor (2011), hakim mahkamah tinggi membenarkan tuntutan plaintif yang terganggu privasinya kerana tindakan jiran yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menghadapkan pandangan kamera tersebut ke arah rumah plaintif.

Dalam penghakiman kes ini, mahkamah menjelaskan, “Hak privasi adalah hak asasi manusia… Hak privasi terdiri daripada hak plaintif untuk melindungi kehidupan peribadi dan keluarga serta rumahnya. Ini adalah hak dan keperluan asas yang dihargai dan dipegangi oleh semua orang.”

Penting hak privasi seseorang tidak wajar diperlekehkan atas apa jua alasan. Tambahan pula, undang-undang sudahpun meletakkan martabat dan maruah wanita di tahap yang tinggi.

Kerana itu saya sering merasa pelik mengapa semakin ramai wanita tanpa rasa malu memilih jalan mengaibkan ‘penyondol’ sedangkan yang mengkhianati akad, perkahwinan atau hubungan mereka bukanlah pihak ketiga tetapi pasangan mereka sendiri.

Mengapa wanita tergamak merendahkan kehormatan dan maruah seorang wanita lain sedangkan yang bermasalah adalah para lelaki durjana yang bermata keranjang?

Masyarakat tidak akan dapat memelihara ketamadunan yang dibina berdasarkan prinsip agama dan akal budi budaya jika kita terus bermain isu picisan yang merendahkan martabat bangsa dengan memperdagangkan aib sesama sendiri.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN