KHAIRY Jamaluddin atau KJ ialah antara individu yang dilihat sebagai pemimpin masa depan di negara kita. Kalau kita congak, nilai dan teliti dalam galangan kumpulan tokoh-tokoh yang sebayanya, KJ adalah yang paling menonjol.
Apa saja kata-kata, tindakan dan perbuatannya sentiasa mendapat perhatian. Ke mana saja beliau pergi akan menjadi tumpuan. Itu adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Beliau dilihat sebagai pelapis kepada pemimpin yang ada sekarang.
Di sebalik pelbagai kontroversi seperti dikaitkan dengan bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan digelar ‘budak tingkat empat’, tetapi perjalanan politik KJ selepas itu kelihatan lancar.
Sehingga beliau bertanding dan menang di Parlimen Rembau dan seterusnya masuk ke dalam Kabinet dengan jawatan terakhir adalah Menteri Kesihatan.
Pada masa sama, KJ juga dilihat terlalu bercita-cita dan agak ‘rakus’ apabila bertanding menentang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden UMNO.
Bertitik tolak daripada situ, nasibnya dalam UMNO mula terumbang-ambing dengan penentuannya adalah apabila beliau kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh.
Kerana kritikan lantangnya ke atas Presiden UMNO ketika kempen PRU15, KJ akhirnya disingkirkan daripada parti itu pada Januari 2023. Sejak detik itu beliau memulakan pengembaraan sebagai tokoh tanpa parti.
Bersama dengan Shahril Hamdan, mereka berdua menyongsong arus melahirkn podcast Keluar Sekejap – yang ditafsirkan oleh ramai sebagai tempoh peralihan sebelum kedua-duanya kembali ke kancah politik iaitu UMNO.
Ketika beliau turut mencipta nama menjadi penyampai radio, KJ juga berkali-kali menyatakan masih sayangkan UMNO dan tidak akan menyertai parti lain.
Jika sebelum ini beliau banyak memberikan jawapan selamat apabila dikaitkan dengan politik dan UMNO, tetapi pada Khamis lalu, ayat yang keluar dari mulut KJ seolah-olah memberi kata putus tidak akan kembali kepada UMNO.
Sebelum ini terdapat banyak khabar angin dan ura-ura bahawa ada usaha untuk membawa KJ kembali ke pangkuan UMNO. Ini termasuk usahakan mendamaikan beliau dengan Presiden Parti.
Namun, kenyataan bahawa ‘saya sedang menjalani kehidupan yang terbaik, mengapa pula hendak tinggalkan ini’ memberi gambaran seolah-olah KJ tidak akan kembali ke pangkuan UMNO.
Tetapi adakah KJ akan meninggalkan arena politik? Medan yang telah melonjakkan namanya selama ini.
Ramai yang berkata, walaupun sekarang tidak menganggotai mana-mana parti politik tetapi beliau tetap dilihat sebagai ahli politik. Masih ramai yang merasakan beliau wajar kekal dalam politik dan ramai juga masih menamakannya sebagai antara pemimpin masa hadapan walaupun tanpa platform politik.
Bagaimana KJ mahu kekal sebagai ahli politik jika dia bukan ahli Parlimen dan bukan ahli kepada mana-mana parti politik? Kalau KJ mahu ke hadapan dalam politik beliau memerlukan platform iaitu parti politik. Dalam keadaan tanpa parti sekarang sudah tentu perjalanan politiknya akan menemui noktah.
Adakah KJ akan menghentikan aliran darah politik dan dirinya begitu sahaja? Jika beliau betul-betul berpatah arang dengan UMNO, apakah akan ada platform politik lain yang akan didakinya?
Parti-parti politik lain yang menjadi seteru UMNO sudah tentu amat mengalu-alukan jika KJ mahu menyertai mereka. Ibarat kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Jenama KJ sudah tentu akan memberi kelebihan atau menarik sokongan tambahan kepada mereka. Terutama peminat dan penyokong setia KJ.
Adakah itu opsyen yang akan dipilih oleh KJ? Atau beliau ada pilihan lain dalam memastikan langkah politiknya terus menapak di arena politik negara kita ini.
Yang terbaharu ada yang membuat congakan bahawa kenyataan terbaharu bekas Ahli Parlimen Rembau itu memberi gambaran kemungkinan beliau mahu merintis platform politiknya sendiri selepas kecewa dengan UMNO.
Sudah tentu nama Datuk Seri Rafizi Ramli yang baru sahaja menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR turut dikaitkan dengan perancangan KJ (jika ada). Pasti juga nama Nik Nazmi Nik Ahmad dikatakan akan turut bersama bagi membentuk blok baharu dalam politik tempatan yang diterajui tiga pemimpin muda ini.
Sejauh mana ia akan menjadi kenyataan tidak ada siapa yang tahu. Semuanya berdasarkan andaian rentetan kenyataan ketika melancarkan produk baharu sebuah jenama minuman di Putrajaya, Khamis lalu.
Kenyataan KJ itu memberi gambaran beliau keluar terus dari UMNO dan kebetulan hampir sama masa dengan tindakan Rafizi dan Nik Nazmi mahu melepaskan jawatan masing-masing dalam Kabinet.
Apapun semuanya masih samar-samar dan hanya sekadar satu kemungkinan yang tidak ada siapa boleh pastikan kebenarannya.
Tambahan pula peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi juga belum muktamad kerana bila-bila masa sahaja boleh dilakukan u-turn dan kembali kepada status quo. Tetapi kemungkinan untuk menjadi kenyataan juga tidak boleh diketepikan kerana dalam suasana politik negara kita sekarang pelbagai benda boleh berlaku.
Dan KJ, walaupun dilabelkan sebagai erogan, gelojoh dan terlalu bercita-cita tinggi beliau tetap antara personaliti politik tanah air yang perkembangannya sentiasa diikuti rapat. Apatah lagi ketika parti-parti politik di negara kita semakin ketandusan pemimpin muda yang menonjol.
Sebab itu nama KJ kekal disebut orang walaupun beliau kini adalah ahli politik tanpa parti.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










