PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi pengambilan kedua pada Mei 2025, selepas pelaksanaan pertamanya pada Januari lalu, bukan sahaja mencatat kadar penyertaan yang sangat rendah, malah turut menimbulkan persoalan daripada pelbagai pihak mengenai punca sebenar sambutan yang hambar itu.
Kadar yang dicatatkan amat rendah, iaitu hanya 63 peratus. Ini bermakna sebahagian besar golongan sasaran memilih untuk tidak menyertainya. Dalam pada itu, timbul pertikaian yang mengaitkan keadaan ini dengan dakwaan belia semakin dipinggirkan oleh kerajaan. Justeru, sebagai tanda protes, ramai dalam kalangan mereka memilih untuk tidak menyertai PLKN kali ini.
Walaupun mereka yang tidak dapat menyertai PLKN pada kali kedua ini memberi alasan kesihatan dan terikat dengan kerja, namun terdapat pihak tertentu ketika memberi tindak balas terhadap penyertaan yang amat rendah itu, mengaitkannya dengan layanan tidak adil kerajaan terhadap rakyat.
Untuk ini, pihak tertentu itu secara khususnya menyebut tentang sistem pendidikan. Ia didakwa tidak adil apabila kemasukan ke universiti awam di negara ini mengutamakan Program Matrikulasi Malaysia (PMM) daripada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Dalam hal ini, PMM adalah pengajian prauniversiti selama setahun yang lebih memberi tumpuan kepada pengajian aliran sains selain dipenuhi pelajar Melayu. Ini berikutan sistem kouta yang menetapkan 90 peratus pelajar PMM hendaklah daripada etnik Melayu, termasuk juga anak Sabah dan natif Sarawak. Selebihnya untuk etnik bukan Melayu.
STPM pula adalah peperiksaan prauniversiti utama di negara ini, mengambil tempoh setahun setengah, lebih dikenali sebagai tingkatan enam. Ia yang beraliran sains dan sastera terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak. Untuk aliran sains, ia rata-ratanya terdiri daripada etnik Cina.
Setelah membangkitkan persoalan sistem pendidikan yang kononnya tidak adil dalam konteks PPM-STPM, selanjutnya pihak tertentu itu melontarkan soalan yang bukan sahaja tidak sepatutnya ditanya. Juga ia biadap sekali.
Soalan itu adalah bagaimanakah belia boleh menyayangi negara ini dalam keadaan mereka terpinggir? Perkara ini bukan sahaja sama sekali tidak betul tetapi penuh dengan provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Dalam menyentuh soal kasih kepada tanah air, ada yang berpendapat negara ini harus terlebih dahulu menyayangi belianya—dengan keadilan sebagai asasnya, sebelum mengharapkan kesetiaan dan pengorbanan daripada mereka.
Antaranya dengan memastikan keadilan dalam bidang pendidikan tinggi. Apabila keperluan dan suara belia diberi perhatian sewajarnya, barulah timbul rasa sayang yang tulus terhadap negara termasuk sokongan kepada program seperti PLKN.
Sudah tentu pemikiran sebegini sangat bertentangan dengan ‘mantera’ patriotisme masyhur daripada John F. Kennedy, iaitu Presiden Amerika Syarikat ke-35. Ia berbunyi “Jangan tanya apa yang negara dapat lakukan untuk anda, tanya apa yang anda boleh lakukan untuk negara”.
Mesej sebenarnya ialah tidak lain tidak bukan seruan kepada rakyat dalam sesebuah negara itu agar melakukan perkara betul untuk kebaikan yang lebih besar. Perkara betul itu merupakan sokongan terhadap tindakan, dasar atau hasilan yang dapat memberi manfaat kepada pihak terbanyak, yakni sebagai kebaikan yang lebih besar.
Sehubungan mesej ini, PMM yang dipertikai itu bermula pada 2005 sebagai dasar negara untuk mempertingkat pencapaian etnik Melayu yang ketinggalan dalam bidang pendidikan tinggi. Dengan ini, sistem kouta padanya sudah tentu sebahagian daripada keseluruhan tindakan afirmatif di negara ini.
Justeru, PMM digariskan sebagai dasar untuk merapatkan jurang dan menyediakan peluang yang lebih saksama kepada etnik Melayu serta anak Sabah dan pribumi Sarawak. Ini kerana kelompok berkenaan masih mencatatkan pencapaian rendah dalam bidang pendidikan tinggi di tanah air mereka sendiri.
TUDUHAN YANG SERIUS
Sesungguhnya persoalan yang lebih besar lagi serius ialah dakwaan kerajaan tidak memberi layanan adil kepada rakyat. Walaupun tidak dinyatakan secara khusus, konteks PMM-STPM yang dibangkitkan itu, mendakwa etnik bukan Melayu, antaranya Cina mendapat layanan tidak adil dalam bidang pendidikan tinggi, khususnya dalam hal kemasukan ke universiti awam.
Untuk ini, sepatutnya pihak tertentu itu tidak menimbulkan persoalan ini secara terbuka dan dengan penuh provokasi pula. Ini kerana ia akan mengundang polemik yang boleh memudaratkan hubungan etnik Melayu-bukan Melayu yang tidak pernah pun ampuh.
Tindakan pihak tertentu yang menuduh kerajaan tidak berlaku adil terhadap rakyat merupakan perkara serius. Hal ini bukan sahaja bersifat subversif kerana berpotensi menjejaskan kestabilan kerajaan melalui serangan persepsi, malah turut mengandungi unsur hasutan yang boleh mencetuskan penentangan dalam kalangan rakyat.
Tindakan mendakwa wujudnya diskriminasi etnik di negara ini amat serius, lebih-lebih lagi apabila dakwaan tersebut digambarkan sebagai bersifat sistemik—iaitu berlaku secara terancang dan berstruktur. Antara yang menjadi tumpuan ialah bidang pendidikan tinggi, khususnya berkaitan kemasukan ke universiti awam dalam konteks PMM dan laluan STPM.
Di samping diskriminasi etnik, pihak tertentu itu juga didapati cuba mengusulkan rasisme juga wujud di negara ini. Berkaitan rasisme ini, ia adalah layanan berlainan terhadap mereka yang tidak tergolong ke dalam sesuatu kelompok berdasarkan bangsa tertentu, baik secara semula jadi atau sebaliknya.
Mengenai rasisme dan diskriminasi etnik yang kononnya diamalkan dalam urus tadbir negara, ia bukan sahaja satu tuduhan liar. Juga satu tohmahan tidak berasas. Justeru ia tidak boleh terus dibiarkan sebegitu tanpa adanya sanggahan daripada kerajaan.
Sehubungan ini, kerajaan hendaklah menyanggahnya sebagai tidak benar belaka. Sebaliknya ia semata-mata tindakan afirmatif untuk mengatasi perbezaan antara etnik Melayu dengan yang bukan Melayu.
Justeru ia bukan sesekali rasisme dan diskriminasi etnik seperti yang mahu dipercayai sebegitu setelah dibangkitkan pihak tertentu itu.
Apatah lagi yang sistemik sifatnya, yakni yang sengaja diinstitusikan dalam urus tabir negara pada segenap perkara. Antaranya keseluruhan pentadbiran awam dan sebahagian besar pengurusan korporat swasta. Ini sama sekali tidak benar.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










