YANG kental pasti sampai.
Itu kata-kata yang terngiang-ngiang dalam kepala saya bersama jurukamera Utusan Malaysia dan juruvideo Media Mulia TV (MMTV) sepanjang mengikuti konvoi bermotosikal sekumpulan guru masuk ke kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang Kelantan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik di tengah-tengah hutan belantara.
Peluang merasai sendiri cabaran dan kepayahan warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Balar itu pastinya menghadirkan sesuatu selepas sekadar melihat pengorbanan mereka melalui perkongsian video dari Mohd. Halim Mohamad Zaid atau Cikgu Ben menerusi YouTube miliknya iaitu Cikgu Offroad.
Hati yang tenang, bertukar gelisah memandangkan perjalanan masuk SK Balar sejauh 60 kilometer itu memakan masa sehingga enam jam jika cuaca baik bermula dari rumah transit di Kuala Betis.
Seandainya hujan, jalan balak yang kering bertukar menjadi selut tebal dan perjalanan boleh memakan masa sehingga 12 jam. Sebelum perjalanan bermula, kami singgah di rumah transit yang merupakan tempat guru-guru SK Balar berkumpul.
Perjalanan sebenar kami yang diketuai Cikgu Ben bersama rakan-rakan bermula pukul 4.30 sejurus selesai bacaan doa selamat mohon supaya Maha Esa mempermudahkan segala urusan.
Tiada jalan berturap, papan tanda, rangkaian telekomunikasi, navigasi digital menjadi sebahagian daripada ‘kesengsaraan’ yang perlu diharungi sepanjang berada di tengah-tengah belantara.
Walaupun sudah lali tanpa kemudahan itu, kebimbangan dan kegusaran tetap terpancar di raut wajah guru-guru ini walaupun mereka cuba menyembunyi perasaan tersebut menerusi gelak tawa sepanjang perjalanan.
Hati mana yang tidak bimbang, ditambah pula ‘terdedah’ dengan risiko kemalangan. Situasi itu menuntut kepada daya tahan mental tinggi sepanjang menunggang motosikal semasa melalui jalan tinggalan balak yang berlekuk.
Itu belum ditambah dengan penemuan tahi gajah yang masih lagi ‘panas’ sekali gus memberi isyarat hidupan liar baharu melepasi laluan sama digunakan oleh guru-guru berkenaan ke SK Balar.
HAMPIR HANYUT SEMASA REDAH SUNGAI
Hari itu kami dan guru-guru SK Balar bernasib baik, cuaca begitu cantik dan elok. Paras air di Sungai Buloh berada pada tahap biasa dan kumpulan guru itu tidak perlu bermandi peluh untuk mengusung motosikal mereka.
Sungguhpun begitu, dasar sungai yang dipenuhi dengan ratusan batuan ditambah pula dengan arus deras menyebabkan ada dalam kalangan guru-guru itu hampir gagal mengawal motosikal.
Apa yang disaksikan itu memperlihatkan warga pendidik ini berdepan risiko dihanyutkan arus semasa menyeberang sungai tersebut jika tidak berhati-hati. Walaupun lebar sungai itu kurang 30 meter, namun bahaya tetap menunggu.
MOTOSIKAL ROSAK
Melihat kepada keadaan cuaca, kami fikir perjalanan ke SK Balar lancar. Namun sebaliknya, apabila salah sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang guru mengalami kerosakan semasa menjadi kawasan berbukit.
Tiada istilah penat, Cikgu Ben dan rakan-rakan terus menolak motosikal rosak itu sampai ke puncak bukit bertemankan cahaya lampu dari trak pikap untuk mengangkut bakul makanan sumbangan Pasaraya Econsave bagi diagihkan kepada penduduk Orang Asli.
Biasanya, guru-guru ini hanya bertemankan lampu yang dipakai di kepala untuk menolak motosikal yang rosak bagi menerangi gelap malam di tengah-tengah belantara.
Cikgu Ben dan rakan-rakan kemudian berjalan kaki menuruni cerun untuk mengambil motosikal yang telah ditinggalkan dibawah, seterusnya menyambung semula pendakian ke puncak.
Setiba di puncak, kesemua mereka silih ganti memeriksa untuk mengenalpasti bentuk kerosakan. Di sini kami melihat selain ilmu pendidikan, guru-guru ini perlu menguasai kemahiran baik pulih motosikal yang merupakan pakej lengkap jika mahu berbakti di SK Balar.
Kerosakan itu menyebabkan kami tersadai hampir satu jam di tengah-tengah belantara sebelum motosikal diusung menaiki trak pikap untuk dibawa pulang ke SK Balar selepas gagal mengenalpasti kerosakan.
PASANG UNGUN API, TUNAI SOLAT
Selepas lima jam menempuh laluan jalan balak yang berlekuk, berbatu dan berselut dalam suasana belantara yang gelap gelita kami singgah di hentian terakhir untuk menunaikan solat. Ketika itu jam di tangan menunjukkan pukul 10.30 malam.
Melepaskan lelah buat seketika, cikgu SK Balar menghidupkan unggun api bagi menerangi suasana gelap gelita di tengah belantara menjadi terang.
Kemudiannya, kami bersama warga SK Balar bergerak secara berkumpulan untuk mengambil wuduk di sungai berhampiran sambil bertemankan lampu suluh.
Walaupun airnya cetek, namun arusnya deras dan dasar berbatuan membuatkan kami perlu sentiasa berwaspada kerana sedikit kesilapan boleh mengundangkan padah.
Selesai mengambil wuduk, kami solat jamak secara berjemaah untuk memenuhi tuntutan sebagai hamba kepada Maha Pencipta. Meskipun beralaskan tanah, namun guru-guru ini tidak pernah alpa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim.
JAMBATAN RUNTUH, REDAH ARUS DERAS
Hampir tujuh jam meredah perjalanan yang penuh berliku, kami akhirnya tiba di kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Balar.
Ketibaan kami disambut dengan hujan yang sudah mulai beransur-ansur reda. Difahamkan hujan lebat telah mencurah-curah di kawasan berkenaan sebelum itu.
Untuk masuk ke SK Balar, saya bersama guru-guru terpaksa meredah sungai selepas jambatan yang menjadi nadi perhubungan penduduk termasuk murid-murid untuk menuntut ilmu runtuh 9 Mac lalu.
Dalam suasana gelap, saya bersama jurukamera Utusan Malaysia dan MMTV serta guru SK Balar mengerah kudrat dengan berjalan dalam suasana gelap meredah deras arus sungai berkenaan.
Bagi kami yang kali pertama berbuat demikian situasi tersebut cukup mencemaskan. Meredah arus deras dan dasar sungai yang berbatu memerlukan tumpuan penuh, jika tersilap langkah ia boleh meragut nyawa. Walaupun cikgu SK Balar sudah masak dengan arus deras, namun raut wajah penuh gusar tetap terserlah semasa meredah sungai tersebut.
Selesai meredah arus deras sungai, kami bersama kumpulan meneruskan perjalanan dalam cuaca gelap menerusi ke SK Balar. Melalui jalan balak yang berbecak dan penuh dengan batuan-buatan hampir satu kilometer membuatkan badan kami mahu segera menamatkan kesengsaraan itu, apatah lagi guru-guru SK Balar.
PERIT
Pengalaman pertama kali sampai ke SK Balar bukan sahaja memenatkan malah cukup memeritkan. Bayangkan jika perlu berbuat perkara yang sama setiap minggu, mungkin tidak termampu bagi kami.
Atas dasar tanggungjawab, guru-guru SK Balar sanggup mengambil ‘risiko’ meredah laluan yang disifatkan paling teruk untuk masuk ke penempatan Orang Asli.
Semua dilakukan kerana mereka mahu memastikan anak-anak Orang Asli dari suku Temiar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Benarlah hanya yang kental pasti sampai. – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










