KERANGKA madani yang diketengahkan bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengangkat nilai, penyertaan masyarakat dan keadilan sosial sebagai tunjang utama.
Ia mencerminkan usaha untuk membentuk model politik pembangunan baharu yang lebih berakar umbi, beretika dan responsif kepada keperluan rakyat.
Pendekatan ini menggabungkan beberapa aliran penting, daripada model negara pembangunan kepada pendekatan pembangunan berasaskan komuniti (CDD). Model ini memberi kuasa kepada komuniti setempat dan gagasan tadbir urus berasaskan nilai awam menekankan penciptaan nilai bersama rakyat.
Pendekatan ini berteras ‘bawah ke atas’ bagi menggantikan penyampaian yang selama ini dilihat berteraskan ‘atas ke bawah’. Namun, aspirasi yang besar ini tidak akan tercapai jika sistem sedia ada tidak diubah secara menyeluruh, sekali gus hanya mencipta satu lagi retorik, sedangkan pelbagai program khusus sudah diwujudkan demi transformasi pembangunan masyarakat.
UJIAN SEBENAR DASAR MADANI
Masyarakat meletakkan pembangunan komuniti sebagai agenda utama kerana pembangunan negara yang hebat seperti diaspirasikan hanya boleh berlaku jika mempunyai kekukuhan dalam komuniti.
Dalam analisa politik pembangunan, ini kali pertama Malaysia ‘lahir’ dengan pelbagai inisiatif secara terus dengan jutaan ringgit disediakan. Banyak agensi kerajaan menyediakan peruntukan untuk tujuan pembangunan komuniti.
Kementerian Kewangan memperkenalkan Komuniti@UniMadani. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula mengadakan program Kampung Angkat Madani.
Tidak kurang pelaksanaan Sejati Madani. Setakat ini hampir 8,000 projek berjalan di seluruh negara melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat dan komuniti tempatan dalam merancang serta melaksanakan intervensi pembangunan.
Pengalaman bersama ketua kampung rata-rata membayangkan program ini bermanfaat. Melihat sendiri bagaimana ia sampai dan difahami di peringkat akar umbi, membuktikan program ini boleh dijadikan sebagai ‘pameran’ penyampaian agenda madani kepada komuniti.
Lebih menarik ia tidak banyak terpalit dengan politik dan terbukti diberikan tanpa pilih kasih.
Pendekatan ini membuktikan pembangunan ‘dari bawah’ mampu mempercepat penyampaian, memperkukuh kebertanggungjawaban sosial dan mengurangkan ketergantungan terhadap arahan pusat. Pegawai daerah tidak perlu menunggu lapisan kelulusan dan komuniti tidak lagi hanya bergantung kepada bantuan yang ‘turun dari atas’.
Namun tidak semua dasar mencapai tahap keberkesanan yang sama. Program seperti Budi Madani, subsidi bersasar dan pelbagai bantuan tunai masih bergelut dengan kelemahan struktur termasuk data yang tidak dikemas kini, integrasi sistem tidak sekata dan mekanisme penyampaian yang terputus-putus.
Keadaan ini menunjukkan walaupun dasar dirangka dengan niat baik, pelaksanaannya boleh terjejas kerana kekangan sistemik. Di sinilah keperluan untuk menilai semula bukan hanya reka bentuk dasar tetapi juga cara penyampaian, koordinasi dan penglibatan rakyat.
Rakyat semakin menghargai program atau bantuan yang tidak datang melalui manifesto pilihan raya. Mereka semakin cepat membaca sama ada ia janji manis, palsu, jujur atau beramanah.
Dalam hal ini, Malaysia boleh mengambil iktibar daripada pengalaman Kampung Madani di Surabaya, Indonesia yang melibatkan 15 kawasan melaksanakan program pemberdayaan komuniti untuk membasmi kemiskinan. Inisiatif ini dikendalikan secara tempatan dengan kerjasama antara sukarelawan, suri rumah, koperasi dan pentadbiran bandar. Ia bukan sekadar mencantikkan nama dasar tetapi benar-benar menjadikan komuniti sebagai pemilik dan pelaksana utama. Ini adalah contoh bagaimana politik pembangunan baharu boleh digerakkan melalui kekuatan akar umbi.
KEPERLUAN REFORMASI INSTITUSI
Madani berpotensi besar untuk ditransformasi. Jika politik pembangunan baharu yang dibawa ingin berjaya, maka, institusi pelaksana perlu direformasi secara serius.
Banyak agensi di peringkat tempatan masih belum memiliki keupayaan sebenar untuk membuat keputusan secara berdikari. Mereka masih terlalu bergantung kepada arahan pusat, meskipun berdepan dengan isu yang bersifat setempat dan mendesak.
Untuk keluar daripada perangkap ini, kita perlu beralih daripada model kawalan kepada kepercayaan. Ini bermaksud memberi ruang kepada PBT dan pejabat daerah untuk merancang dan melaksanakan tanpa perlu menunggu kelulusan yang melelahkan.
Ia juga menuntut perubahan struktur insentif dalam perkhidmatan awam agar keberanian bertindak dan kepekaan sosial dihargai, bukan hanya kepatuhan kepada prosedur.
Zaman teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) memudahkan segalanya. Jika nilai ihsan dan integriti menjadi pegangan, maka sistem penyampaian mesti lebih laju dari biasa.
Bagi tujuan ini, antara langkah konkrit yang boleh diambil termasuk:
Melaksanakan desentralisasi kuasa secara bermakna dengan bajet fleksibel dan keupayaan teknikal yang setara.
Memperkukuh sistem data besar bersepadu untuk menyokong program bersasar seperti Budi Madani secara masa nyata.
Memperkasa mekanisme penyelarasan rentas agensi di peringkat daerah dan negeri agar pengurusan pembangunan lebih bersepadu dan tidak bertindih.
Mengarusperdanakan Sejati Madani sebagai model penyampaian dasar nasional agar semua kementerian mengadaptasi pendekatan kerjasama bersama rakyat.
Reformasi ini tidak memerlukan institusi baharu. Ia hanya menuntut keberanian untuk menyusun semula peranan, kuasa dan budaya kerja dalam sistem sedia ada. Dan yang paling penting, mesti bermula dengan niat yang ikhlas untuk mendengar rakyat, bukan semata-mata menurunkan polisi kepada mereka.
Sekiranya langkah-langkah ini dapat digerakkan secara sistematik, madani boleh menjadi asas kepada pembinaan semula politik pembangunan di Malaysia daripada pendekatan teknokratik yang jauh dari rakyat, kepada sistem yang lebih membumi, tangkas dan berakar dalam realiti masyarakat.
Namun jika pendekatan ini terus tersekat oleh sistem lama, birokrasi lambat dan politik patronage, maka madani hanya akan menjadi satu lagi episod dalam sejarah panjang dasar cantik yang gagal meresap ke bawah.
Dalam era pasca-normal yang sarat ketidaktentuan, Malaysia tidak cukup hanya dengan dasar yang berniat baik sebaliknya memerlukan ketangkasan sistem, telus dan benar-benar menyentuh realiti rakyat.
Jika madani mahu berjaya, ia mesti diterjemahkan dalam tindakan—cepat, adil dan membumi.-UTUSAN
PROFSOR Dr. Zainal Abidin Sanusi daripada Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










