Umat Islam perlu kembali kepada zaman kecemerlangan lampau

Umat Islam perlu kembali kepada zaman kecemerlangan lampau

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara praktikalnya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan bagi menggabungkan ilmu wahyu dengan sains tulen dan kemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI dalam beberapa siri syarahan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dalam kapasiti beliau sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengetengahkan pendekatan yang berpotensi untuk memancu umat Islam kembali kepada zaman kecemerlangan lampau di dalam semua bidang khususnya sains, teknologi, kemasyarakatan, ekonomi dan politik.

Pendekatan yang dikenali sebagai ‘Epistemologi Tawhid’ secara dasarnya merupakan akar tunjang di dalam peradaban Islam, akan tetapi akibat beberapa faktor dalaman setelah sekian lama, ia perlu diketengahkan kembali untuk difahami oleh masyarakat Islam.

Epistemologi Tawhid mengandungi dua kata dasar iaitu epistemologi yang merujuk kepada teori ilmu pengetahuan. Sementara Tawhid yang bermaksud pemahaman dan pegangan tentangan keesaan Allah sebagai pencipta, Tuhan sekalian alam, tunggal tanpa ada sekutu denganNya, dan mempunyai segala sifat kesempurnaan yang mutlak bagiNya.

Boleh diringkaskan Epistemologi Tawhid ialah pendekatan bersepadu terhadap ilmu yang menggabungkan ilmu yang diwahyukan (wahyu) dengan ilmu rasional (aqli), menekankan keharmonian serta hubungannya yang tertinggi dengan keesaan Tuhan.

Epistemologi ini berfungsi sebagai asas untuk menangani cabaran kontemporari dalam pendidikan, memupuk kepimpinan beretika dan membina masyarakat yang harmoni berlandaskan nilai-nilai Islam sejagat.

Sebagai penambahan, kerangka Tawhid bukan sekadar bersifat teori tetapi juga praktikal, merangkumi kesedaran individu (pemikiran berasaskan Tawhid), kesejahteraan masyarakat secara kolektif (pemikiran sebagai satu umat) dan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang etika, intelektual, dan profesional (kecemerlangan sebagai satu umat). Ia bertujuan untuk membimbing individu dan komuniti ke arah pencapaian kejayaan holistik sambil berpegang kepada prinsip-prinsip Islam.

Empat ayat al-Quran pertama di dalam surah al ‘Alaq yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan satu petunjuk kepada Epistemologi Tawhid yang mana Allah berfirman: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Dengan kata lain, Epistemologi Tawhid yang berakar pada konsep Islam tentang Keesaan Ilahi berupaya menawarkan kerangka transformasi bagi umat Islam untuk cemerlang dalam bidang teknologi dengan mengkoordinasikan komponen etika, spiritual dan intelektual.

Pendekatan ini mengintegrasikan ilmu yang diwahyukan (naqli) dan penyelidikan aqli, sambil mendorong inovasi yang selaras dengan nilai-nilai Islam dan keperluan masyarakat.

Epistemologi Tawhid menolak pemisahan antara duniawi dan ukhrawi, mendorong umat Islam untuk melihat teknologi sebagai alat bagi memenuhi matlamat material dan spiritual. Berkaitan dengan perkara ini, Allah berfirman di dalam surah al Jaathiah ayat 13, “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.”

Dengan mengintegrasikan etika Islam dengan penemuan saintifik ia diharap dapat mencapai antaranya pembangunan teknologi bagi tujuan pemerkasaan maqasid al-syariah, seperti memelihara kehidupan (hifz al-nafs) melalui kemajuan dalam bidang kesihatan atau infrastruktur lestari.

Kedua, penciptaan sistem kecerdasan buatan (AI) beretika yang berpandukan prinsip seperti keadilan, ketelusan, dan akauntabiliti, sambil menghindari kemudaratan kepada komuniti yang terpinggir.

Ketiga, motivasi untuk penyelarasan ijtihad kontemporari dengan teknologi terkini sebagai penyelesaian permasalahan semasa global melalui internet kebendaan (IoT) dan AI. Ini termasuk permasalahan perpecahan umat, perkauman dan fitnah yang berleluasa.

Keempat, pemerkasaan rutin harian amalan di dalam Islam melalui teknologi terkini bagi tujuan penambahbaikan dan penyempurnaan amalan-amalan tersebut.

Secara praktikalnya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan bagi menggabungkan ilmu wahyu dengan sains tulen dan kemanusiaan, UIAM akan dapat melestarikan pendekatan ini dengan pelan tindakan tuntas yang mampu memastikan umat Islam akan menjadi pemancu kepada teknologi masa hadapan.

Pelan tindakan pertama ialah dari segi penambahbaikan kurikulum semasa universiti bagi setiap kuliah atau fakulti bagi tujuan pelaksanaan epistemologi tawhid.

Kemahiran berfikir, pemikiran kreatif dan kritikal perlu digarap bagi setiap subjek di setiap kuliah. Ini bagi memastikan graduan yang dihasilkan akan dapat secara kreatif menyumbang kepada penemuan teknologi baharu.

Kedua, Rubrik penilaian perlu dikemas kini bagi setiap program untuk memastikan penilaian bukan sahaja fokus kepada pemindahan maklumat dari otak pelajar ke kertas jawapan peperiksaan tetapi juga penghasilan graduan yang beradab dan berilmu pengetahuan.

Ketiga, al-Quran perlu dirujuk dan dibaca sebagai lensa teknologi untuk mengenal pasti teknologi baharu yang boleh diinspirasikan dari ayat-ayat yang pelbagai. Pendekatan ini memerlukan kolaborasi kepakaran dari ahli akademik pengajian Islam bersama pakar teknologi dari pelbagai kuliah.

Kesimpulannya, pelan tindakan holistik di peringkat kepimpinan negara dan juga di pusat pengajian tinggi amat diperlukan bagi memastikan epistemologi dapat digarap sebagai mekanisme bagi memancu umat Islam sebagai pemimpin teknologi terkini masa hadapan.

Dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana aspek inovasi merupakan salah satu tunjang kepada Malaysia Madani, adalah diharap Epistemologi Tawhid ini akan dapat dihayati di semua peringkat masyarakat Islam di Malaysia dan dunia.-UTUSAN

DR. Noor Hasrul Nizan Mohammad Noor ialah Pensyarah Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN