PADA 16 Mei 2025, sempena sambutan hari guru, adalah masa yang sesuai untuk menilai pencapaian wawasan kerajaan dalam peningkatan kualiti pendidikan negara dan memastikan pencapaian fokus reformasi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang disasarkan pada awal tahun. Kriteria pemantauan mestilah jelas yang boleh mengukur pencapaian sebenar reformasi yang dilancarkan tanpa ada yang ketinggalan.
Isu-isu keciciran murid, peningkatan profesionalisme guru, pengukuhan kepimpinan pendidikan Madani dan penguasaan literasi serta numerasi murid adalah antara perkara yang sepatutnya sudah stabil dalam abad ke-21 ini. Namun dengan kecamukan isu sosial, politik dan bencana yang timbul serta zaman digital yang penuh cabaran menjadikan isu lama ini berterusan dan memerlukan pendekatan dan inovasi baharu pendidikan untuk diselesaikan.
Tema Hari Guru 2025 iaitu Guru Pemacu Reformasi Pendidikan merupakan satu yang amat berat kerana peranan guru dalam mendidik dan menanam bakat dalam setiap murid untuk menjadi manusia yang baik dan sumber manusia yang berguna negara masa hadapan. Dengan pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang pesat, peranan guru lebih mencabar bukan sahaja mengajar dalam bilik darjah tetapi menyiapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kemampuan menghadapi cabaran dalam pendidikan dan menguruskan murid.
Program reformasi yang dipetakan mestilah jelas dan difahamkan oleh semua pihak dengan cepat dalam sturuktur organisasi yang sedia ada. Misalnya dalam meningkatkan profesionalisme guru sahaja bukanlah suatu perkara yang mudah kerana memerlukan masa, sistem, modul, kepakaran, pentadbiran yang cekap dan komitmen yang tinggi. Sejauh mana pihak yang terlibat dalam pentadbiran komited dengan reformasi, melatih pentadbir sekolah, melatih guru dan penyediaan modul yang sistematik boleh berlaku dalam organisasi yang besar, penuh dengan birokrasi yang kompleks dapat menjayakan reformasi yang dilancarkan perlu diteliti.
Reformasi pendidikan yang memfokuskan kepada keutamaan, keselarasan dan kebersamaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pengurusan sekolah nampak seperti boleh dilakukan. Dalam organisasi KPM yang besar, banyak perkara perlu dilihat bagi meyakinkan seluruh rakyat berkaitan reformasi pendidikan dan penambahbaikan Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Dalam pengoperasian pendidikan di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbiran sekolah dan penerimaan serta tindakan guru adalah suatu rantaian yang panjang untuk menjayakan reformasi pendidikan 2025.
Walaupun semua bahagian dalam KPM sudah berada dalam sistem yang berstruktur, proses pelaksanaan belum tentu boleh berjalan dengan baik bagi mencapai sasaran. Guru memainkan peranan yang sangat penting dan perlu dibangunkan serta dilaraskan dengan cepat dan cekap. Peranan dan kerjasama agensi seperti Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Akademi Sains Malaysia (ASM), dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan perlu bertindak secara bersepadu di mana sesuai, bagi menjayakan reformasi yang dicadangkan. Sumbangan ASM dalam memastikan generasi muda minat kepada STEM melalui berbagai inisiatif yang berpaksikan keperluan masyarakat secara strategik termasuk membudayakan sains dalam masyarakat melalui selera semasa generasi muda mengikut kesesuaian.
Kerjasama antara sekolah dan universiti sangat penting dalam menjayakan STEM. Negara seperti Finland telah melibatkan institusi pendidikan tinggi dengan sekolah sekitarnya. Kerjasama sekolah sekitar universiti akan meningkatkan minat pelajar kepada STEM. Negara China yang jauh di hadapan dalam STI, telah memulakan latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) kepada murid sekolah rendah. Negara lain seperti Estonia, Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Korea Selatan juga mengintegrasikan AI dalam sistem pendidikan mereka kerana AI penting dalam penggunaan teknologi zaman sekarang termasuk robot. Penyelidikan dan pendidikan antara sekolah dan universiti akan memanfaatkan kedua belah pihak.
Pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dikatakan lebih baik sejak 2013, diharapkan dapat menyumbang kepada perancangan kerajaan meningkatkan pelajar memilih aliran STEM sebagai persediaan bakat mendepani cabaran masa hadapan dalam teknologi maklumat, robotik dan alam semula jadi. Malaysia perlu sensitif terhadap perkembangan STI dalam bidang AI dan robotik yang mana tidak akan terkejar jika pendidikan asas sains tidak kuat dalam kalangan pelajar. Walaupun ada peningkatan dalam keputusan SPM, namun sasaran dasar dahulu 60 peratus sains, 40 peratus sastera belum tercapai. Usaha menambah pelajar dalam bidang STEM mesti diteruskan kerana ada peningkatan bilangan pelajar dalam bidang STEM kepada 45.73 peratus pada 2023 berbanding 40.94 peratus pada 2022.
Pada 2023, Perdana Menteri telah menekankan keperluan aliran STEM untuk menangani isu-isu baharu sains dan teknologi. Kurikulum STEM perlu diperkasakan dan bekerjasama antara sekolah dengan universiti dan institusi lain untuk meningkatkan pendidikan STEM. Langkah pertama mesti meningkatkan pelajar STEM di sekolah melalui berbagai cara mempromosikan, menyediakan mereka dengan ilmu dan minat serta sistem yang teratur antara institusi pendidikan sekolah, universiti dan industri.
Pada 30 Mei 2024, KPM bersama KPT serta MOSTI sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM bagi meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM dengan memberi fokus kepada halatuju STEM dari peringkat sekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Pelbagai inisiatif pembudayaan, aktiviti merentas kementerian dan agensi telah dirancang selain melibatkan kerjasama rakan strategik korporat dan komuniti. Semua perancangan mesti disemak dan diukur kejayaannya. – UTUSAN
Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










