Tangani rasuah melalui reformasi institusi, bukan naratif perkauman

Tangani rasuah melalui reformasi institusi, bukan naratif perkauman

MALAYSIA memerlukan lebih ramai rakyat yang berani, berintegriti dan berprinsip, tanpa mengira kaum untuk membanteras rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) sentiasa komited dalam usaha memperkasakan integriti dan membanteras rasuah secara holistik.

Isu rasuah bukan sekadar soal individu tetapi membabitkan kelemahan struktur, sistem dan budaya dalam sesebuah organisasi dan negara.

Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, ada yang cuba menonjolkan unsur perkauman sebagai punca utama rasuah, kononnya rasuah berlaku kerana dominasi sesuatu kaum dalam sektor awam.

Namun, MCW ingin menegaskan rasuah bukan soal kaum tetapi soal kegagalan sistem dan penguatkuasaan.

Untuk itu, Singapura sering menjadi contoh negara yang berjaya mengawal rasuah. Namun, kejayaan Singapura tidak dibina di atas dasar pemisahan kaum, sebaliknya melalui reformasi institusi yang menyeluruh, meritokrasi, ketelusan dan penguatkuasaan yang adil serta konsisten.

NARATIF PERKAUMAN BUKAN JALAN PENYELESAIAN
MCW memandang serius kenyataan atau saranan yang cuba mengaitkan gejala rasuah dengan dominasi kaum tertentu dalam sektor awam, terutamanya agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen.

Pandangan melantik lebih ramai bukan Melayu dapat mengurangkan rasuah kerana orang Melayu akan takut diperhati adalah bahaya dan salah arah.

Naratif sebegini bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah, malah boleh mencetuskan ketegangan kaum dan melemahkan perpaduan nasional.

Masalah utama yang menyebabkan berlakunya rasuah ialah:

– Ketelusan yang rendah dalam prosedur dan sistem
– Penguatkuasaan yang longgar atau terpilih
– Tiada perlindungan mencukupi terhadap pemberi maklumat
– Budaya ‘tutup mata’ atau ‘ambil mudah’ terhadap salah laku
– Ketidakseimbangan kuasa dan peluang, tanpa semak dan imbang yang berkesan

Maka, menyalahkan sesuatu kaum secara menyeluruh adalah tidak adil, tidak berasaskan fakta dan mengalihkan perhatian daripada punca sebenar.

MODEL SINGAPURA: REFORMASI BUKAN RETORIK
Singapura berjaya mengawal rasuah kerana membina sistem yang kukuh dan tidak memberi ruang kepada diskriminasi kaum dalam proses pembinaan institusi. Beberapa elemen utama kejayaan Singapura yang patut dicontohi termasuk:

– Sistem meritokrasi ketat
Pelantikan dalam sektor awam berasaskan kelayakan, kelulusan, integriti dan prestasi, tanpa campur tangan politik atau perkauman.
Gaji penjawat awam diselaraskan dengan sektor swasta bagi mengurangkan risiko ‘jual kuasa’.

– Agensi antirasuah bebas dan berwibawa
Biro Pencegahan Rasuah (CPIB) bertindak secara langsung di bawah Pejabat Perdana Menteri tetapi bebas daripada campur tangan politik.
CPIB bebas menyiasat mana-mana individu, termasuk menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

– Penguatkuasaan yang tegas dan konsisten
Tiada kompromi dalam tindakan undang-undang ke atas pesalah rasuah, tidak kira pangkat, kaum atau kedudukan.

– Sistem pentadbiran digital
Prosedur secara digital akan mengurangkan interaksi manusia dan peluang untuk amalan sogokan berlaku.

– Pendidikan etika dan budaya tolak rasuah
Rakyat diajar sejak kecil untuk membenci rasuah dan menghargai integriti sebagai asas kemajuan negara.

CADANGAN MCW UNTUK MALAYSIA
MCW percaya Malaysia juga boleh mencontohi kejayaan ini jika kita bersedia melaksanakan reformasi sistemik. Antara cadangan utama kami:

– Tubuhkan suruhanjaya perkhidmatan awam berintegriti
Bebas daripada pengaruh politik dan menguruskan pelantikan, kenaikan pangkat, serta penilaian integriti penjawat awam secara telus.

– Wujudkan sistem pemantauan dalaman berasaskan teknologi
Kamera badan, sistem e-pelelong dan digitalisasi perkhidmatan dapat meminimumkan peluang rundingan belakang tabir.

– Kukuhkan pelindungan pemberi maklumat
Pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk menjamin keselamatan kerjaya, identiti dan nyawa pemberi maklumat.

– Latih dan nilai pegawai berdasarkan indeks integriti
Penilaian berkala ke atas integriti pegawai, bukan hanya prestasi kerja menjadi penentu kenaikan pangkat.

– Rekrut berdasarkan merit, bukan kuota politik atau kaum
Penjawat awam perlu dilantik melalui sistem terbuka yang menjamin persaingan sihat dan pemilihan calon terbaik.

– Libatkan NGO dan media dalam pengawasan awam
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MCW, media bebas dan rakyat perlu diberikan akses untuk memantau dan menilai prestasi agensi kerajaan.

Kesimpulannya, rasuah bukan musuh kepada satu kaum tetapi musuh kepada seluruh rakyat dan negara.

Untuk membanterasnya, kita tidak memerlukan lebih ramai dari satu kaum, tetapi lebih ramai yang berani, berintegriti dan berprinsip.

MCW akan terus memperjuangkan pembaharuan sistem dan pendidikan integriti yang inklusif, bukan bersifat perkauman.

Kami yakin, hanya dengan menyatukan rakyat melalui sistem yang adil dan telus, barulah Malaysia dapat benar-benar bebas daripada rasuah.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×