Manfaatkan teknologi tangani konflik hidupan liar

Manfaatkan teknologi tangani konflik hidupan liar

TRAGEDI melibatkan seekor anak gajah yang mati dirempuh lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, 10 Mei lalu perlu dijadikan panduan dalam menangani isu hidupan liar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN menyayat hati melibatkan seekor anak gajah yang mati dirempuh lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, awal pagi 10 Mei lalu terus mengundang rasa simpati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 2 pagi itu bukan sahaja menyentuh perasaan, malah mengundang sebak apabila ibu gajah berkenaan dilihat enggan beredar dari lokasi kejadian dan cuba menolak lori terbabit seolah-olah masih berharap anaknya dapat diselamatkan.

Rakaman video berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial memperlihatkan naluri keibuan yang kuat, hingga ramai netizen meluahkan rasa hiba dan marah atas tragedi berkenaan.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), ibu gajah itu akhirnya terpaksa diberikan ubat pelali sebelum dipindahkan ke kawasan hutan berhampiran, bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya dan memudahkan proses menguruskan bangkai anaknya.

Namun, tragedi seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa. Setakat Mei 2025, Perhilitan merekodkan tiga kes kematian anak gajah akibat dilanggar kenderaan iaitu dua di Perak dan satu di Johor. Puncanya masih sama, habitat semula jadi haiwan liar semakin terjejas akibat pembangunan yang tidak terkawal.

Apabila hutan diteroka dan laluan migrasi terganggu, haiwan seperti gajah tiada pilihan selain menyeberangi jalan raya untuk mencari makanan atau tempat tinggal baharu. Sudah tiba masanya kita beralih kepada penyelesaian yang lebih bijak dan sistematik. Teknologi kini bukan lagi pilihan ia satu keperluan.

TEKNOLOGI
Antara teknologi penting yang boleh dimanfaatkan ialah Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS). Dengan memasang alat GPS (kolar satellite gajah) pada gajah-gajah tertentu, pihak berkuasa boleh memantau pergerakan haiwan ini secara masa hakiki. Ini membolehkan pemantauan 24 jam, termasuk mengesan sama ada kumpulan gajah sedang menghampiri kawasan berpenduduk atau jalan raya berisiko tinggi.

Amaran awal boleh dihantar kepada pihak bertanggungjawab dan pengguna jalan raya, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

Data pergerakan ini boleh digabungkan pula dengan Sistem Maklumat Geografi (GIS), satu teknologi yang memetakan maklumat geospatial seperti laluan migrasi, lokasi sumber makanan semula jadi dan kawasan konflik.

Melalui GIS, pihak berkuasa boleh mengenal pasti corak pergerakan jangka panjang dan mengambil tindakan proaktif seperti membina lintasan khusus atau memasang lampu amaran automatik di kawasan panas (hotspot).

Satu lagi teknologi yang semakin mendapat tempat ialah penggunaan dron. Dron boleh digunakan untuk rondaan udara secara berkala, terutamanya di kawasan yang sukar diakses oleh manusia.

Melalui kamera beresolusi tinggi dan penderia haba, dron mampu mengesan pergerakan gajah walaupun pada waktu malam atau dalam keadaan berkabus. Pihak berkuasa boleh memantau secara langsung dan membuat keputusan segera sekiranya haiwan dikesan menghampiri lebuh raya atau kawasan kampung.

Beberapa negara seperti India dan Thailand telah mula menggunakan kombinasi teknologi ini dengan berkesan. Malah, ada sistem yang dibina untuk mengaktifkan siren automatik di jalan raya apabila gajah menghampiri, berdasarkan data GPS yang disambungkan kepada pusat pemantauan.

Di Malaysia, Perhilitan sememangnya telah memulakan beberapa usaha seperti membina jejambat lintasan haiwan dan memasang papan tanda amaran. Namun insiden terbaharu ini jelas membuktikan langkah-langkah yang ada masih belum cukup menyeluruh.

Kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan, penyelidik dan komuniti setempat sangat diperlukan bagi mencari pendekatan yang lebih holistik. Pada masa sama, kesedaran awam tentang pentingnya memelihara habitat semula jadi serta aspek keselamatan jalan raya perlu terus dipertingkatkan.

Tragedi yang berlaku di Gerik ini sebenarnya satu tamparan buat kita semua. Ia tanda jelas kegagalan menangani isu ini akan terus mengorbankan lebih banyak nyawa, sama ada manusia atau haiwan.

Gajah bukan sekadar haiwan liar ia warisan alam yang perlu dipelihara dan kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kelangsungan hidupnya, sebelum segalanya tinggal kenangan.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Nazirah Mohamad Abdullah ialah Pensyarah Jabatan Teknologi dan Sumber Semula Jadi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN