Keutamaan ibadat 10 awal Zulhijah

Keutamaan ibadat 10 awal Zulhijah

Kenaikan pelbagai kos mengerjakan haji di Arab Saudi tidak memungkinkan tawaran pakej badal haji pada harga RM1,500. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini kita berada pada 2 Zulhijah. Bagi bakal haji, makin dekat untuk mereka melalui masyair (kemuncak ibadat haji) yang meliputi ibadah wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar di Mina.

Sesungguhnya perjalanan haji itu adalah antara jihad utama dan menjadi pelengkap rukun Islam yang lima. Ia juga sebagaimana disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW, haji mabrur adalah sebaik-baik jihad.

Ini sebagaimana sabda Nabi SAW diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud: Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah sebaik-baik amalan. Adakah perlu kami berjihad? Baginda SAW bersabda: Tidak, akan tetapi sebaik-baik jihad ialah haji mabrur. (Riwayat Bukhari)

Bagi jemaah haji, semoga mereka dapat melakukan ibadat dengan sempurna dan mendapat haji mabrur. Lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sehingga boleh mencecah 50 darjah Celsius di Mekah menjelang wukuf.

Kepada jemaah haji, jagalah kesihatan. Semoga semua urusan ibadat berjalan lancar dan beroleh haji mabrur.

Haji mabrur amat besar ganjarannya sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga. (Riwayat Ahmad)

Bagi kita yang berada di tanah air, jangan lepaskan peluang melakukan pelbagai ibadat dalam baki tujuh hari lagi bulan Zulhijah.

Daripada Ibnu Abbas r.a, daripada Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini -baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijah. “Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya? “Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat al-Bukhari)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar).

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijah dan inilah pendapat majoriti ulama.

Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji digalakkan berpuasa pada 10 hari terawal iaitu 1 hingga 9 Zulhijah. Tarikh 9 Zulhijah, iaitu hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah. (Riwayat Muslim)

Baginda SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah, Baginda menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya. Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang. (Riwayat Muslim)

Hari Arafah bagi kita di Malaysia adalah pada 6 Jun (Jumaat). Sementelah ia jatuh pada hari Jumaat, elok juga disertai dengan puasa pada Khamis iaitu sehari sebelumnya yang juga hari tarwiyah.

Namun, bagi yang puasa hanya pada hari Jumaat (puasa Arafah) tidaklah jatuh hukum makruh. Sebabnya, kita berpuasa sempena hari Arafah, bukan puasa sunat hari Jumaat semata-mata.

Bagaimanapun, tidak ada kelebihan atau ganjaran khusus bagi puasa sunat bermula 1 hingga 8 Zulhijah kecuali pada hari Arafah iaitu hari kesembilan Zulhijah.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijah adalah masa terbaik untuk bertaubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya.

Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir. Saidina Ali menunjukkan takbir bermula sejurus selepas solat subuh hari Arafah sehingga hujung waktu asar hari ketiga tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak.” (al-Hajj: 34)

Melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkad dan amat digalakkan bagi orang yang berkemampuan dan menepati syarat-syarat untuk berkorban.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban).

“Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat Tirmidzi)

Antara dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihan 10 hari awal Zulhijah adalah firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir, yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam pertama bulan Zulhijah.

Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Riwayat Bukhari)

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Riwayat Ahmad)

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Puasa, daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijah, kebanyakan orang Islam lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.

Sesetengah ulama berpendapat hari ini paling afdal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kesimpulan:
– Sunat untuk tidak memotong kuku dan memotong rambut bermula 1 Zulhijah (29 Mei 2025) sehingga hari sembelihan bagi mereka yang melakukan ibadah korban.
– Haram berpuasa pada 7 Jun 2025 (10 Zulhijah) sehingga 10 Jun 2025 (13 Zulhijah)
– Pada 29 Mei sehingga 5 Jun 2025 disunatkan berpuasa dan memperbanyakkan amalan soleh kerana pahalanya akan dilipatgandakan.
– Jangan lepaskan peluang puasa Arafah 6 Jun 2025 (9 Zulhijah).-UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN