Kebebasan media: Tidak cukup sekadar reformasi undang-undang

Kebebasan media: Tidak cukup sekadar reformasi undang-undang

PERJUANGAN untuk media yang bebas, telus serta beretika mesti diteruskan dengan lebih berani, kritikal dan menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN 19 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025, ke kedudukan ke-88 daripada 180 negara, menjadi pencapaian yang tidak boleh dipandang ringan.

Buat pertama kali dalam lebih satu dekad, Malaysia menunjukkan kemajuan yang meyakinkan dalam usaha menstrukturkan semula ekosistem media, satu arena yang sebelum ini dikenali dengan kawalan ketat, pengaruh politik dan ketelusan yang meragukan.

Namun seperti mana-mana anjakan dalam sistem yang telah lama terbenam dalam budaya kawalan, soal sebenar bukan sekadar pencapaian ranking, tetapi apakah reformasi ini benar-benar akan mengubah asid deoksiribonukleik (DNA) komunikasi negara ini atau hanya sekadar mewujudkan ilusi kebebasan yang bersifat sementara dan bersyarat?

Apabila Majlis Media Malaysia (MMM) ditubuhkan, ramai melihatnya sebagai satu langkah ke arah normalisasi kawal selia kendiri, sesuatu yang telah lama diamalkan di banyak negara maju.

Ia berpotensi menjadi pemangkin kepada pemulihan kepercayaan awam terhadap media tempatan yang telah lama dianggap berat sebelah atau bersekongkol dengan kepentingan kuasa politik dan pemilik korporat.

Tanpa mekanisme pemantauan bebas terhadap MMM, bermakna tiada jaminan badan ini tidak akan menjadi satu lagi institusi kosmetik yang menghalalkan kawalan dengan wajah baharu.

Yang pasti, kredibiliti MMM akan diuji bukan pada tahun pelancarannya, tetapi pada saat ia berhadapan dengan krisis sama ada membela wartawan bebas yang mendedahkan salah guna kuasa atau tunduk pada tekanan politik.

Dalam aspek undang-undang, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) dianggap langkah penting bagi menangani jenayah digital yang semakin berleluasa.

Namun di sebalik rasional perlindungan pengguna, ramai bimbang undang-undang ini masih mempunyai ruang kabur khususnya terhadap maklumat yang dilabel sebagai ‘mengelirukan’ atau ‘sumbang’.

Kita perlu ingat undang-undang yang terlalu fleksibel tafsirannya membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, terutamanya apabila digunakan untuk menyekat kandungan yang bersifat satira, kritikal atau menyentuh sensitiviti politik.

Sebagai contoh, laporan-laporan terdahulu mengenai aktivis, kartunis atau wartawan yang didakwa atas kandungan yang kononnya mengancam ketenteraman awam menjadi peringatan jelas reformasi undang-undang tanpa semak dan imbang tidak menjamin kebebasan sebenar.

Walau bagaimanapun, Malaysia sebagai negara yang mencintai keamanan dan menjaga ketenteraman awam, isu 3R (agama, bangsa dan raja) tidak boleh diberi kebebasan sepenuhnya.

Kebebasan media adalah untuk memaklumkan tata arus kerja pemerintah dan pembangunan negara kepada rakyat secara telus serta adil, bukan untuk memecah-belahkan keharmonian negara.

KUASA DIGITAL
Kita juga harus memahami landskap media kini tidak lagi berpusatkan akhbar, televisyen atau radio, tetapi pada algoritma, pengaruh media sosial dan ekosistem digital yang tidak menentu.

Dalam keadaan ini, pencapaian institusi seperti MMM tidak akan bermakna sekiranya kerajaan tidak membentuk strategi nasional terhadap penularan maklumat palsu.

Kajian Universiti Malaya dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Asia Pacific pada akhir 2024 menunjukkan lebih 60 peratus rakyat Malaysia tidak dapat membezakan antara laporan berita sebenar dan kandungan yang disunting secara manipulatif di media sosial.

Malah, dalam konteks pilihan raya atau krisis, mesej WhatsApp atau video TikTok berperanan lebih besar membentuk persepsi awam berbanding laporan rasmi media.

Oleh itu, reformasi media mesti berjalan selari dengan inisiatif literasi maklumat yang serius, bukan sahaja dalam bentuk kempen kesedaran, tetapi melalui kurikulum pendidikan, latihan guru dan polisi digital yang tegas terhadap penyebar berita palsu. Kebebasan media tanpa rakyat yang celik media akan membuka ruang kepada manipulasi massa secara besar-besaran.

MASIH MENJADI DURI DALAM DAGING
Satu isu yang terus membelenggu kemajuan media di Malaysia ialah pemusatan pemilikan media dalam tangan beberapa entiti korporat yang mempunyai kaitan politik atau kepentingan ekonomi bersama elit pemerintahan.

Ketika sebahagian besar media arus perdana dimiliki oleh syarikat berkepentingan atau disokong secara tidak langsung oleh kerajaan, keraguan terhadap keupayaan media untuk berfungsi sebagai pemantau kuasa (watchdog) kekal tinggi.

Dalam keadaan ini, ruang untuk media alternatif berkembang sangat terhad, baik dari sudut kewangan, perundangan mahupun capaian awam.

MMM, jika benar-benar komited kepada pluralisme, harus menyediakan mekanisme sokongan dan pelindungan kepada media bebas, termasuk penyediaan dana pembangunan, insentif untuk kewartawanan penyiasatan dan akses adil kepada maklumat kerajaan.

Untuk memastikan lonjakan dalam indeks kebebasan media ini bukan sekadar sementara. Beberapa langkah penting perlu diambil segera:
– Perluaskan mandat MMM supaya meliputi pengawasan terhadap kandungan politik dalam media sosial dan interaksi dengan platform digital seperti Meta serta TikTok.
– Tubuhkan suruhanjaya etika media digital yang bebas dan inklusif, merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wartawan, pakar teknologi mahupun ahli akademik.
– Sediakan mekanisme sokongan kepada media bebas seperti geran penyelidikan, latihan keselamatan siber dan perlindungan undang-undang terhadap tekanan korporat.
– Laksanakan audit tahunan terhadap kebebasan media, bukan sahaja berdasarkan laporan antarabangsa tetapi dengan tinjauan persepsi rakyat tempatan terhadap media arus perdana dan alternatif.
– Jalankan reformasi terhadap undang-undang lain yang menyekat kebebasan maklumat, seperti Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi, yang sering disalahguna untuk menyekat akses kepada maklumat awam.

BELUM SAMPAI KE GARISAN PENAMAT
Reformasi sebenar bukan sekadar menggubal undang-undang atau menubuhkan institusi, tetapi mengubah budaya politik, membina ekosistem media yang pluralistik dan mendidik rakyat menjadi pengguna maklumat yang bijak serta bertanggungjawab.

Jika kita benar-benar mahu menjadi negara yang menghormati kebebasan bersuara, bukan hanya kerana ingin melonjak dalam indeks antarabangsa, tetapi demi kematangan demokrasi.

Maka, perjuangan untuk media yang bebas, telus dan beretika mesti diteruskan dengan lebih berani, kritikal serta menyeluruh.-UTUSAN

 

DR. Azian Muhamad Adzmi ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Media dan Komunikasi, KIMEP University di Almaty, Kazakhstan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN