Tangani ancaman kumpulan pengganas Rohingya

Tangani ancaman kumpulan pengganas Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 23 Mac lalu, kerajaan Bangladesh mengumumkan penahanan Atauliah Abu Ammar Jununi yang merupakan ketua kumpulan pemberontak Islam etnik Rohingya yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (Arsa) di Dhaka pada 18 Mac bersama 10 lagi anggota di daerah Narayanganj, Dhaka.

Penahanan pemimpin Arsa ini disabitkan dengan pelbagai tuduhan jenayah seperti kegiatan militan, keganasan, pembunuhan, pencerobohan, penyeludupan, keluar masuk secara haram, sabotaj dan sebagainya.

Malah, kumpulan ini turut disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh pelbagai negara termasuk Malaysia. Dalam masa sama, senario tindakan penindasan, pembunuhan dan penghapusan ke atas etnik Rohingya oleh kerajaan Myanmar melahirkan kumpulan Arsa yang menggunakan nama Tentera Penyelamat Arakan Rohingya atau asalnya menggunakan nama Harakah al-Yaqin (Pergerakan Iman) pada 2012.

Kemunculan keganasan Arsa bermula dengan serangan keganasan ke atas pangkalan Polis Pengawal Sempadan (BGP) di utara Rakhine, Myanmar pada 9 Oktober 2016, berterusan sehingga pada 12 November 2016 yang menyebabkan pegawai kanan tentera terbunuh.

Kerajaan Myanmar menyatakan serangan ini dilakukan oleh kumpulan pemberontak yang berorientasikan kegiatan keganasan dan militan Islam di Myanmar.

Serangan ini muncul ketika Myanmar sedang menghadapi pelbagai masalah dalam seperti ketidakstabilan politik, dasar dan keselamatan yang lemah dalam negaranya, isu perpaduan dan ketegangan kaum yang membabitkan etnik majoriti dengan minoriti dan elemen agama yang membabitkan penganut Islam dengan Buddha.

Kemunculan Arsa menimbulkan ketakutan kepada penganut Buddha apabila kumpulan ini memiliki saluran komunikasi dengan pengganas antarabangsa, mempunyai organisasi dan struktur, memiliki dana kewangan, persenjataan moden dan modus operandi yang berorientasikan separa tentera dengan aplikasi taktik gerila serta menyasarkan serangan ke atas awam dan tentera.

Kumpulan Arsa memiliki pusat gerakan termasuk jawatankuasa Arsa di Arab Saudi yang menggunakan alasan memperjuangkan nasib etnik Rohingya (Islam). Alasan ini membolehkan mereka mendapat sokongan masyarakat di bahagian utara Rakhine.

Malah, dengan memiliki sumber dana daripada penyokong dan pengganas antarabangsa serta sumber dari etnik Rohingya yang bekerja di luar negara membolehkan Arsa memiliki aset dan kelengkapan persenjataan moden.

Dalam masa sama, tindakan kerajaan Myanmar yang melakukan penghapusan etnik Rohingya, penafian hak dan tidak mengiktiraf kewarganegaraan membolehkan kumpulan Arsa berselindung atas nama perjuangan dan boleh menutup kegiatan keganasan, jenayah terancang, penyeludupan dan sebagainya.

Ia berjaya menarik sokongan dari etnik Rohingya dan memiliki sekurang-kurang 3,500 ahli bagi melakukan serangan keganasan yang berkembang semenjak tahun 2017.

Justeru, untuk terus mengekalkan kewujudan dan kelangsungan hidup, kumpulan Arsa bergerak atas nama nasionalis, pejuang atau pembela yang akan mendapat sokongan dan perlindungan daripada etnik Rohingya.

Kerajaan Myanmar bimbang dengan peningkatan ancaman keselamatan keganasan yang semakin meningkat termasuk Arsa, Arakan Army dan Kachin Independence Army.

Myanmar menggubal Undang-Undang Membanteras Keganasan sejak 4 Julai 2014 dan menubuhkan Jawatankuasa Pusat bagi Jabatan Anti Terorisme bagi membanteras kegiatan keganasan, pencegahan pengubahan wang haram dan menubuhkan unit siasatan kewangan untuk menghalang dan mencegah pembiayaan keganasan.

Sejak penubuhan, Arsa dilaporkan dibimbing dan disokong oleh pengganas asing seperti Al-Qaeda, ISIL, dan Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP). Pada 10 Oktober 2019, Duta Myanmar, Hau Do Suan menyatakan dalam ucapan Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terdapat Foreign Terrorist Fighter (FTF) memasuki wilayah Myanmar melalui negara jiran bagi memperkukuhkan aktiviti pengganas Arsa. Ia adalah berdasarkan penahanan suspek pengganas Arsa yang mengaitkan dengan pengganas ISIL di Malaysia pada Mei dan Julai 2019.

JUSTIFIKASI MALAYSIA
Pihak badan keselamatan Malaysia pada 23 Julai 2019 telah menyatakan terdapat empat kes pelarian Rohingya di Malaysia yang dikaitkan terlibat dengan kumpulan pengganas termasuk Arsa dan turut melakukan sindiket peras ugut di Malaysia yang bermula di Kedah, di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dan ke negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Perak.

Kegiatan pelarian Rohingya yang terlibat dengan keganasan turut melakukan sindiket peras ugut ke atas pelarian Rohingya di Malaysia yang berjaya menyalurkan ribuan dolar untuk membiayai aktiviti keganasan Arsa di Myanmar.

Sehingga akhir Jun 2019, terdapat seramai 95,000 Rohingya menetap di Malaysia. Kegiatan penyaluran dana kepada Arsa melibatkan RM 80,000 (AS$19,450) pada 2019 melalui sistem pemindahan wang yang dipanggil ‘hawala’.

Malah, pada Jun 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahagian anti keganasan berjaya menahan dua pelarian Rohingya di Kedah yang menyokong Arsa dan salah seorang pelarian tersebut didakwa menyiarkan video dalam talian yang menggesa pembunuhan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

Isu penglibatan pelarian Rohingya dengan keganasan turut dibincangkan dalam mesyuarat profesional keselamatan anti pengganas di Kuala Lumpur tahun 2018 yang mana Menteri Pertahanan turut memberikan amaran mengenai pelarian Rohingya yang boleh dimanipulasi oleh kumpulan pengganas untuk menjadi pengebom berani mati atau direkrut ke dalam sel pengganas.

Tindakan kerajaan Malaysia yang menyenaraikan Arsa dan menahan ahli serta penyokong kumpulan pengganas ini adalah tepat dan tidak bertentangan dengan norma dan etika kemanusiaan. Ini kerana, Malaysia telah menetapkan garis dalam memberikan sokongan sama ada sesuatu kumpulan itu bersifat pengganas, militan, pemberontak, counter insurgency, penjenayah dan sebagainya.

Ini telah dipraktikkan dalam perundangan negara berhubung dengan Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) yang mana walaupun pada awalnya kumpulan ini memperjuangkan rakyat, agama dan negara sendiri namun apabila individu yang sama melakukan keganasan dan berlindung disebalik nama pertubuhan, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf malah akan menentang keganasan.

Sama keadaan di Selatan Thailand, kerajaan Malaysia tidak menyokong sebarang kegiatan pemberontakan dan jenayah sama ada Barisan Revolusi Nasional (BRN) atau Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) atau individu yang berlindung di atas nama pejuang tetapi melakukan jenayah dan keganasan.

Bagi kumpulan pengganas, pastinya mereka memerlukan dana dan sumber yang berteruskan untuk kekal. Justeru, dari mana sumber ini dapat diperoleh?

Dengan keadaan pendidikan yang rendah, tiada pendapatan, tidak sah dalam perundangan, menjadi buruan pihak berkuasa, dari manakah sumber akan diperolehi bagi memastikan kumpulan pengganas ini terus hidup?

Pastinya mereka akan memilih pekerjaan yang sesuai dengan pendidikan, keadaan, geopolitik, kemahiran dan ilmu yang mereka miliki. Justeru, tidak hairan apabila kita melihat kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda, Taliban, IS, KAS dan sebagainya kumpulan ini terlibat dengan jenayah dan keganasan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohamad Faisol Keling ialah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN