Salah tafsir pada adat perlembagaan

Salah tafsir pada adat perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAT perlembagaan ialah warisan adat Melayu. Adat perlembagaan merupakan undang-undang adat Melayu yang menyentuh aspek yang dibicarakan dalam ruang lingkup takrifan undang-undang perlembagaan mengikut kamus undang-undang moden. Bagi mereka yang belum memahami apa itu maksud “perlembagaan” serta tidak pula mendalami adat Melayu, terdapat pemikiran yang melihat institusi raja berada di luar kerangka adat perlembagaan Melayu. Lebih parah lagi, mereka cuba menyempitkan takrifan adat perlembagaan itu kepada constitutional convention, malah ada yang pergi sejauh cuba untuk menerima pakai acuan Westminster.

Kekhilafan memahami maksud adat perlembagaan wujud kerana aliran dikotomi yang sudah lama bersarang dalam sistem pendidikan negara sehinggakan amat sukar untuk diperbetulkan. Malah, ada dalam kalangan pihak berpemikiran dikotomi melompat apabila dipertegaskan bahawa undang-undang tubuh kerajaan negeri merupakan warisan adat perlembagaan Melayu. Pegawai British yang mengkaji undang-undang adat Melayu, R.O. Winstead mentakrifkan bahawa, “Intisari Melaka tidak mempamerkan pembahagian yang jelas antara undang-undang perlembagaan, jenayah dan sivil.

Intisari itu mencampuradukkan peraturan untuk etika mahkamah, undang-undang jenayah, bidang kuasa pemerintah dan menteri-menterinya, undang-undang untuk hamba dalam buruan, undang-undang fitnah, undang-undang kontrak yang mempengaruhi pengambilan hamba dan haiwan, penalti untuk lese majeste dan pelanggaran perjanjian pertunangan, penggunaan pokok buah-buahan dan sawah padi, pencerobohan dan pencederaan oleh haiwan peliharaan, kesalahan menjual sebagai hamba seseorang yang telah memasuki perkhidmatan untuk melarikan diri daripada kematian akibat kelaparan atau kapal karam, pagar dan tanggul ladang, undang-undang hutang, hukuman kerana mencuri hamba pemilik pelbagai pangkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam hal ini, kajian Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Hukum Kanun Perak, Qanun Sultan Sulaiman Riau dan undang-undang tubuh kerajaan negeri perlu disebar luas. Kedudukan adat Perlembagaan warisan Kesultanan Melayu Melaka serta Kesultanan Melayu selepasnya amat penting dalam konteks pentafsiran Perkara 38, 71, 150(6A), 74 dan 181 Perlembagaan Persekutuan kerana perkataan adat tidak diberikan tafsiran dalam Perkara 160(2).

Tafsiran betul dan kedudukan adat perlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diangkat kerana ada pandangan ekstrem yang tidak disokong oleh lunas undang-undang telah menolak kelestarian adat perlembagaan Melayu kerana mereka menyempitkan “adat perlembagaan” itu semata-mata constitutional convention.

Tegasnya, adat perlembagaan perlu difahami daripada aspek epistemologi undang-undang. Adat perlembagaan penting kerana dari sudut itu sistem perlembagaan di Tanah Melayu dapat dianalisis mengikut Kaedah Pentafsiran Perlembagaan. Pandangan yang menolak keluasan maksud adat perlembagaan tidak boleh diraikan sebagai perbezaan yang mempunyai integriti dari sudut akademik sekalipun, kerana asasnya hanya bersifat pandangan peribadi tanpa sokongan undang-undang. Justeru, untuk melihat isu ini dengan lebih adil, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan salah satu undang-undang tubuh kerajaan negeri dibawa dalam perbincangan ini.

Adat ialah salah satu sumber undang-undang negara dan kedudukan itu adalah selaras dengan tafsiran undang-undang dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan, “Undang-undang termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuatkuat di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;”

Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, “Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta sebagai Raja mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu”. Adat Perlembagaan menjamin keutuhan dan kelestarian institusi beraja Melayu kerana meskipun dalam keadaan darurat, kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu tidak boleh digantung atau dicabar oleh ordinan dan undang-undang-undang darurat. Perkara 150(6A) memperuntukkan, ”Fasal (5) tidak boleh memperluaskan kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak dan adat Melayu …;” Hal ini kerana sebahagian besar adat perlembagaan telah dilestarikan dalam undang-undang tubuh kerajaan di negeri masing-masing.

Kelestarian adat Perlembagaan yang mendukung Perkara 38(4), 71 dan lain-lain peruntukan yang tidak dibutirkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memelihara kelangsungan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika sekiranya adat perlembagaan hanyalah dibataskan kepada constitutional convention, di manakah perlindungan kepada kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu selepas Yang di-Pertuan Agong membuat proklamasi darurat? Tidakkah adat perlembagaan itu merupakan undang-undang adat yang telah digubal dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri?

Hujah pihak yang mendakwa adat perlembagaan itu hanyalah constitutional convention turut bercanggah dengan peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri. Perkara 32 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan berbunyi, “Except as expressly herein, this Part shall not affect the ancient constitution and ancient customs of the State of Negeri Sembilan but such ancient constitution and ancient custom, where not inconsistent with this Part, shall continue as heretofore”. Selanjutnya Perkara 74 memperuntukan agihan bidang kuasa antara negeri dan apa yang negeri telah amanahkan kepada Persekutuan. Dalam Senarai II diperuntukkan bahawa Negeri mempunyai kuasa penentuan hukum syarak dan adat Melayu.

Kesimpulannya, adalah satu yang khilaf jika mengandaikan bahawa adat perlembagaan itu adalah semata-mata constitutional convention apatah lagi warisan Westminster. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan adat dan undang-undang sedia ada. Prinsip perlembagaan tidak wajar ditafsirkan secara bebas tanpa merujuk kepada doktrin keadaan tempatan dan sejarah perundangan Malaysia. – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya di ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini