SEPERTI permata, hilangnya tidak mungkin ada pengganti. Pemergian figura yang memartabatkan Islam dalam pentadbiran sepanjang memegang portfolio Perdana Menteri kelima, kelmarin di Institut Jantung Negara (IJN) ketika menerima rawatan akibat masalah pernafasan pasti dirindui bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, malah seluruh rakyat Malaysia.
Ini kerana ketika era pimpinannya, beliau berjaya mewujudkan perpaduan kaum dan mengimbangi kedudukan ekonomi negara.
Pun begitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85 yang pergi bertemu pencipta kelmarin bukan sahaja meninggalkan nama, malah fenomena apabila berjaya membawa Malaysia ke dimensi baharu dengan memperkenalkan aspek pembangunan modal insan melalui Islam Hadhari sekali gus mengangkat beliau sebagai seorang pemimpin yang disegani. Tidak hairanlah beliau digelar bapa pembangunan modal insan.
Walaupun mendapat bantahan, Abdullah atau lebih mesra di panggil Pak Lah yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga warak tidak pernah melatah walaupun pada akhirnya idea tersebut tidak berjaya dilaksanakan di negara ini.
Selain konsep Islam Hadhari, beberapa dasar lain turut diperkenal sepanjang pentadbiran beliau seperti Pelan Industri Nasional (PIN), Institut Integriti Malaysia serta Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Di bawah pentadbirannya juga, Malaysia menjadi peneraju global dalam industri halal. Pada 2004, beliau dianugerahkan Tokoh Pembangunan Halal Negara.
Abdullah yang dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School sebelum memulakan kerjayanya sebagai guru.
Bekas Perdana Menteri itu pada mulanya ingin menyambung pengajian dalam bidang ekonomi ketika menuntut di universiti, namun gagal dalam kertas statistik dan akhirnya memilih untuk menyambung pengajian dalam Pengajian Islam.
Selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.
Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada 1974.
Beliau berkahwin dengan Allahyarham Tun Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payudara sejak 2003.
Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, beliau berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.
BUKAN LALUAN MUDAH MENJADI PERDANA MENTERI
Sejak menyertai UMNO pada 1964, Abdullah melalui laluan sukar sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri. Beliau pernah dipecat sebagai Menteri Pertahanan apabila menyokong pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang pada ketika itu merupakan Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Beliau kembali ke jawatan dalam Kabinet pada 1991, diberikan jawatan Menteri Luar Negeri sebelum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 8 Januari 1999 dan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.
Ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri iaitu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau membatalkan pengharaman Kitab Iban.
Tidak seperti pemimpin lain, Abdullah berjaya membuka mata banyak pihak melalui Islam Hadhari iaitu satu tafsiran Islam yang mengatakan perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam selain menumpukan pemulihan sektor pertanian negara semasa era pentadbirannya.
Semasa menjadi Perdana Menteri, beliau yang turut dikenali sebagai Mr. Nice Guy berjanji untuk mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa.
Pada ketika itu beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohammad dan tindakan tersebut dipuji oleh orang ramai.
“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya”. Ini merupakan salah satu ucapan keramatnya ketika mula-mula diangkat sebagai Perdana Menteri.
Beliau mahu semua golongan tanpa mengira pangkat dan darjat bangun bersama bekerja untuk membangunkan negara.
Kecemerlangan besar dalam penggal pertama sebagai Perdana Menteri dengan menyapu banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2004 tidak bertahan lama apabila beliau menerima tamparan dan ujian hebat ketika Barisan Nasional (BN) yang diketuainya pada PRU 2008 gagal mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen dan kehilangan kuasa pemerintahan di empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak serta sekali lagi gagal merampas balik kuasa di Kelantan.
Atas alasan itu, Dr. Mahathir berpendapat Abdullah harus mempertimbangkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Mungkin atas desakan itu, Abdullah tidak menawarkan diri untuk menjadi calon Presiden pada Pemilihan Agung UMNO 2009 dan menyerahkan jawatan tersebut kepada pengganti beliau sebagai Presiden UMNO, yang juga Perdana Menteri Malaysia keenam.
Sementara bagi Anwar, Abdullah mengajar erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.
Kata beliau, Abdullah memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” kata Anwar.
Di sebalik kesibukannya mentadbir negara tetap tidak menghalang beliau menjadi seorang hamba Allah SWT yang soleh.
Sebagai seorang muslim, Abdullah sentiasa penuhi hidupnya dengan mengaji al-Quran setiap hari selepas menunaikan fardu Maghrib.
Beliau memiliki kebolehan dan menjadi kebiasaannya untuk menulis nota dalam tulisan jawi. Beliau juga menulis sebuah puisi bertajuk Ku Cari Damai Abadi yang mendapat sambutan baik daripada para sasterawan negara serta diterjemahkan ke lebih daripada 80 bahasa dunia.
Sebagai seorang anak, bapa dan datuk, beliau dikatakan mementingkan makan malam bersama keluarga selain gemar makanan Jepun.
Di sebalik perwatakan tenang, rupanya beliau amat berminat dengan kereta namun tidak banyak peluang memandu sendiri atas sebab keselamatan. Beliau juga gemar bermain golf, melakukan senaman dan meluangkan masa bersama cucu-cucunya ketika masa terluang.
Namun siapa sangka sejak 2009, selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri, beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif.
Menantunya, Khairy Jamaluddin pada 2023 buat kali pertama mendedahkan Abdullah menghidap demensia sehingga tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.
Abdullah dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara mengikut Istiadat Pengebumian Negara selepas solat Zuhur, semalam.
Semoga roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










