DI sebalik kemeriahan Hari Raya Aidilfitri yang memekarkan senyuman dan menyatukan sanak saudara, tersembunyi beban yang lebih sunyi iaitu masalah kewangan yang perlahan-lahan menghakis ketenangan apabila lampu perayaan dipadam dan langkah terakhir tetamu beransur pulang.
Aidilfitri bukan sekadar mencipta kenangan manis, tetapi turut meninggalkan tekanan kewangan yang berpanjangan, khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Sehingga Disember 2024, hutang isi rumah negara mencecah RM1.63 trilion, bersamaan dengan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Kementerian Kewangan. Walaupun aset kewangan isi rumah dianggarkan pada RM3.4 trilion, yang kelihatan stabil di peringkat makro, hakikatnya ramai rakyat biasa masih bergelut di peringkat mikro.
Perbelanjaan Aidilfitri, seperti pakaian baharu, ubah suai rumah, hadiah dan kos perjalanan pulang ke kampung, sering dibiayai melalui pinjaman peribadi atau penggunaan kad kredit. Ia bukan lagi pilihan, tetapi seolah-olah kewajipan sosial.
Sepanjang musim sambutan Aidilfitri yang masih berlangsung, rumah terbuka dianjurkan secara besar-besaran, lengkap dengan katering, hiasan dan jamuan.
Pelbagai promosi menarik turut digerakkan oleh syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan penyedia penginapan termasuk pakej balik kampung lengkap dengan tiket penerbangan pergi-balik dan penginapan hotel atau inap desa.
Promosi bertema ‘Balik Raya Bersama’, ‘Percutian Raya Keluarga’ dan ‘Raya di Resort Idaman’ ditawarkan dengan potongan harga besar serta bayaran ansuran tanpa faedah. Tawaran ini dipasarkan dengan emosi menekankan kebersamaan keluarga dan peluang untuk merayakan Aidilfitri dengan gaya lebih selesa lagi eksklusif.
Promosi ini kelihatan seperti peluang sekali seumur hidup untuk beraya dengan bergaya.
Di sebalik imej kemeriahan tersebut, tersimpan kos sebenar yang tidak selalu diteliti iaitu caj tersembunyi, kos perjalanan tambahan dan komitmen hutang jangka sederhana akibat tempahan melalui kad kredit atau pelan bayaran fleksibel.
Bagi mereka yang tidak layak memohon kredit konvensional, pilihan seperti koperasi atau pemberi pinjaman berlesen menjadi alternatif. Namun, kadar faedah yang tinggi dan syarat pembayaran ketat menjadikan pinjaman ini beban jangka panjang. Meskipun data makro menunjukkan nisbah hutang negara masih terkawal, namun kenyataan di peringkat isi rumah menunjukkan sebaliknya.
Kerajaan menyalurkan pembayaran fasa kedua Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 24 Mac lalu, melibatkan bayaran kepada 8.5 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sebagai pelengkap kepada STR, membantu golongan miskin dan miskin tegar membeli keperluan asas harian seperti beras, minyak, tepung dan susu. Bermula 1 April, seramai 5.4 juta penerima menerima bantuan ini dalam bentuk kredit bulanan yang dimasukkan ke MyKad, boleh digunakan di premis dan pasar raya berdaftar.
Penerima SARA diberi fleksibiliti untuk membeli ikut keperluan dan mengurangkan tekanan kos hidup khususnya dalam tempoh perayaan Aidilfitri yang lazimnya menuntut belanja tambahan.
Jumlah keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini sebanyak RM13 bilion, menurut Kementerian Kewangan.
Turut membantu ialah program i-Saraan, yang menawarkan padanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM1,000 setahun untuk pekerja sektor tidak formal. Program ini penting bagi membina simpanan jangka panjang dalam kalangan pekerja gig, peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri.
Namun begitu, isu sebenar yang lebih mendalam adalah celik kewangan. Kajian kebangsaan pada 2024 menunjukkan hanya 38 peratus rakyat dewasa Malaysia mempunyai tahap kefahaman kewangan asas. Tanpa ilmu pengurusan bajet atau faedah pinjaman, perbelanjaan perayaan boleh berubah menjadi masalah hutang berpanjangan.
Kerajaan melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sebagai salah satu langkah penting ke arah tadbir urus kewangan yang lebih beretika.
Inisiatif literasi kewangan terus diperluas melalui program seperti Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) yang menyasarkan kesedaran pengguna di pelbagai lapisan masyarakat.
Di samping itu, bantuan bayaran balik pinjaman turut disalurkan menerusi kerjasama dengan institusi kewangan seta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyokong mereka yang berdepan komitmen kewangan.
Dasar kerajaan sahaja tidak mencukupi. Aidilfitri sepatutnya menjadi detik muhasabah, bukan pertandingan kemewahan. Sambutan secara sederhana harus dinormalisasikan. Keluarga yang meraikan mengikut kemampuan sewajarnya dihormati, bukan dipandang rendah.
MEMBUDAYAKAN NILAI BERJIMAT
Kita wajar menjadikan nilai berjimat, kesederhanaan dan tolong-menolong sebagai budaya kekal dalam masyarakat pasca pandemik. Inilah semangat madani yang perlu disemai bagi membina masyarakat yang lebih sejahtera, bukan hanya dari sudut ekonomi tetapi juga dari aspek akhlak juga keseimbangan hidup.
Asas ekonomi negara memang kukuh. Tetapi ukuran kesejahteraan sebenar ialah kestabilan isi rumah, ketenangan di meja makan dan simpanan untuk masa hadapan.
Apabila kuih terakhir dihidangkan dan beg balik kampung disimpan semula, momen pasca raya ini harus menjadi ruang renungan. Kemakmuran sebenar bukan diukur melalui apa yang dibelanjakan semasa sambutan Aidilfitri, tetapi bagaimana kita bertahan selepas ia berakhir.
Aidilfitri mengajar kita erti kesyukuran. Semoga sambutan yang sederhana menjadi asas kepada kewangan yang sejahtera dan masa hadapan yang lebih kukuh.-UTUSAN
Profesor Dr. Norazah Mohd.Suki ialah Profesor Pemasaran dan E-Dagang di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










