Isu kuil: Jangan kaitkan dengan kerajaan Kedah

Isu kuil: Jangan kaitkan dengan kerajaan Kedah

ISU kuil di kawasan Jalan Masjid India yang sudah pun diselesaikan baru-baru ini tidak sama dengan kaedah Kerajaan Kedah yang meluluskan sijil rizab atau RC untuk tapak lapan buah kuil Hindu di negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONTROVERSI Kuil Dewi Sri Pathirakaliamann di Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu yang telah pun selesai turut mengheret sama nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ini berikutan Muhammad Sanusi dalam satu ucapan di Jerlun pada 23 Julai 2023 menyatakan bahawa Kerajaan Kedah telah meluluskan sijil rizab atau Reserve Certificate (RC) untuk tapak lapan buah kuil Hindu di negeri itu.

RC adalah sijil yang dikeluarkan sebagai salah satu proses pewartaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) mengikut undang-undang.

Video ucapan Muhammad Sanusi ditularkan berserta tuduhan kononnya Kerajaan Kedah telah memberikan tanah milik kerajaan negeri kepada penganut Hindu untuk mendirikan kuil.

Sebilangan netizen mempersoalkan, jika Kerajaan Kedah boleh memberi tanah untuk dijadikan tapak kuil, mengapa apabila Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan memberikan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dijadikan tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathirakaliamann yang kontroversi, keputusan itu dipertikaikan oleh penyokong pembangkang.

Apa yang perlu diperjelaskan ialah latar belakang dua kejadian ini adalah tidak sama, malah sangat jauh berbeza.

Kuil Dewi Sri Pathirakaliamann tidak berada di atas tanah yang diwartakan untuk RIBI malah tanah itu juga bukan milik pengurusan kuil. Ia milik syarikat Jakel Trading Sdn. Bhd. yang telah membeli tanah itu daripada DBKL untuk diwakafkan sebagai tapak sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Madani.

Bagaimanapun, keberadaan kuil itu di tapak berkenaan menyebabkan projek masjid itu tidak dapat dilaksanakan meskipun ia telah dirancang sejak 11 tahun lalu.

Sebagai penyelesaian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan bahawa kuil itu akan dipindahkan ke tapak baharu yang berjarak kira-kira 50 meter dari lokasi kuil itu sekarang.

Tapak baharu itu yang seluas 4,000 kaki persegi milik DBKL, dipersoalkan oleh netizen jika diberikan secara percuma kepada pihak kuil. Berdasarkan nilaian semasa, harga tanah itu dianggarkan RM10 juta.

Justeru, langkah memberikan tanah semahal itu secara percuma kepada pihak kuil dianggap melanggar norma pentadbiran kerajaan. Sementelahan pula, kuil itu didirikan tanpa kebenaran dan di atas tanah milik pihak lain.

Di Kedah, situasinya jauh berbeza. Ironinya, Kerajaan Kedah tidak pernah memberi tanah miliknya kepada mana-mana pihak untuk tujuan bina kuil ataupun untuk memutihkan kuil haram.

Di Kedah, ada banyak kawasan ladang yang dahulunya adalah ladang getah dan kini kelapa sawit. Banyak juga ladang yang telah diubah syarat menjadi kawasan perumahan, industri dan komersial.

Semasa membuka ladang-ladang ini, pemilik ladang iaitu syarikat-syarikat British pada masa itu membawa masuk ramai pekerja dari India yang rata-ratanya beragama Hindu.

Mereka diberikan kebenaran untuk mendirikan kuil untuk kegunaan mereka sendiri di dalam kawasan ladang. Setelah milikan ladang bertukar tangan malah ada yang bertukar menjadi kawasan perumahan dan sebagainya, kuil-kuil itu masih kekal di situ, dan kebanyakan beroperasi tanpa kebenaran.

Masa berlalu, kesedaran dalam kalangan pengurusan kuil juga meningkat. Permohonan dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk mereka terus menjalankan aktiviti kuil dengan selesa.

Selain kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), kuil juga perlu mendapat sijil rizab daripada kerajaan negeri.

Untuk proses ini, pemilik tanah atau tapak kuil yang lazimnya adalah pemilik ladang atau pemaju, akan menyerahkan hak milik tanah itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Penyerahan hak milik tanah itu mestilah untuk satu tujuan khusus (special purposed) iaitu sebagai tapak kuil.

Sebelum memberi kelulusan, pihak SUK menerusi agensi-agensi di bawahnya akan menjalankan penyiasatan dan penelitian dari pelbagai sudut. Ini termasuk jarak dengan kawasan kediaman penganut agama lain, rumah ibadat agama lain terutama masjid dan surau, dan juga perkara-perkara lain yang berkaitan. Perlu dipastikan juga tapak itu tidak melanggar rizab awam seperti jalan, sungai dan sebagainya.

Perkara paling sensitif yang boleh menimbulkan sentimen keagamaan diberikan perhatian teliti.

Setelah melalui pemprosesan pelbagai peringkat, permohonan itu diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk dipertimbangkan. Jika didapati tiada sebarang masalah pada masa ini mahupun masa hadapan, barulah permohonan itu diluluskan dan pihak kuil bakal mendapat sijil rizab.

Ketika itu, hak milik tanah adalah di bawah SUK (Kerajaan Negeri) manakala pihak pengurusan kuil selaku pengelola.

Ini yang sering menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen. Mereka menyangka kerajaan negeri beri tanah milik kerajaan untuk didirikan kuil. Harus diingat bahawa dalam proses mendapatkan sijil rizab atau RC, hak milik tanah perlu diserahkan oleh pemilik asal kepada SUK.

Ia sama seperti sistem wakaf untuk bina masjid dalam kalangan umat Islam yang mana pewakaf akan menyerahkan hak milik tanah kepada Majlis Agama Islam untuk diwakafkan. Dalam konteks kuil, SUK bagi pihak kerajaan negeri jadi pemiik tanah yang baharu.

Tanah itu asal muasalnya bukanlah milik kerajaan negeri sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang, dan ia diserahkan oleh pemilik kepada kerajaan dengan satu tujuan khusus untuk dijadikan tapak kuil.

Justeru, adalah jelas bahawa isu kuil di Kuala Lumpur tidak ada persamaan sama sekali dengan apa yang berlaku di Kedah. Naratif songsang yang sengaja disebar oleh pihak tertentu ini bertujuan untuk memburukkan kerajaan negeri Kedah.

Mengaitkan dua perkara yang berbeza untuk tujuan memburukkan sesuatu pihak yang lain adalah perbuatan fitnah. – UTUSAN

MUHAMAD Mat Yakim ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN