“BAGAI melukut di tepi gantang” adalah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan keadaan M40 pada masa kini. Mereka bagaikan tersisih atau tidak diberi perhatian. Golongan M40 adalah mereka yang berpendapatan sederhana dan sering merasakan diri mereka terperangkap dalam keadaan ini.
Mereka tidak cukup miskin untuk mendapat bantuan kerajaan seperti B40 dan juga tidak cukup kaya seperti T20 untuk bebas daripada tekanan kewangan dan hidup senang.
Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022 (DOSM), golongan M40 adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM5,251 hingga RM11,819 sebulan.
Berikut adalah pecahan kategori berdasarkan pendapatan isi rumah:
• B40: Pendapatan bawah RM5,250
• M40: Pendapatan RM5,251 – RM11,819
• T20: Pendapatan RM11,820 ke atas
Bayangkan anda tergolong dalam kumpulan M40 dengan pendapatan bulanan RM5,300, manakala rakan anda yang hanya berpendapatan RM5,200 sebulan tergolong dalam kumpulan B40.
Dengan beza pendapatan cuma RM100, rakan anda layak menerima pelbagai bentuk bantuan seperti subsidi barangan asas, baucar pendidikan atau rebat bil utiliti.
Sebaliknya, anda yang bergaji sedikit lebih tinggi, tetapi menanggung komitmen keluarga yang sama atau mungkin lebih besar dari rakan anda, tidak menerima sebarang bentuk sokongan.
Patutkah anda berasa iri hati dengan B40? Atau merasakan kerajaan itu tidak adil?
Persoalannya, wajarkah garis bantuan ditentukan secara mutlak berdasarkan angka pendapatan semata-mata tanpa mengambil kira faktor kos hidup setempat, saiz isi rumah dan beban tanggungan?
Ketidakseimbangan ini menimbulkan persoalan tentang keadilan sosial dan keberkesanan dasar semasa dalam melindungi kumpulan rentan termasuk M40 yang berada di garisan yang menghampiri B40.
Mengapa golongan M40 berasa tersepit?
Mereka tidak layak untuk menerima bantuan kerajaan (contoh: Bantuan Sara Hidup, Bantuan MyKasih RM1,200).
Ini ditambah pula dengan tanggungan yang tinggi seperti membayar pinjaman rumah atau kereta, pendidikan anak dan rawatan kesihatan. Kadar inflasi yang juga menyebabkan harga barangan secara umumnya meningkat memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup.
Selain daripada bantuan dan insentif yang tidak diperolehi serta peningkatan kos sara hidup, golongan M40 berasa terkesan juga disebabkan oleh potongan cukai pendapatan yang tinggi tetapi kurang manfaat timbal balik yang diperolehi. Disebabkan semua inilah, tidak hairanlah jika golongan M40 semakin berasa tersepit, terhimpit dan terpinggir.
Mereka tidak minta dibantu sepenuhnya seperti B40, tetapi mereka juga tidak mahu dibiarkan “terkapai-kapai” dalam arus ekonomi yang makin deras.
Mereka hanya mahukan keadilan yang lebih saksama seperti bantuan atau polisi yang lebih inklusif, yang mengambil kira beban sebenar kehidupan, bukan sekadar angka kasar pendapatan bulanan.
Apa Yang Diperlukan Oleh Golongan M40?
Walaupun ada beberapa program untuk golongan M40 seperti potongan cukai pendidikan dan kemudahan pembiayaan perumahan, namun program ini seolah-olah tidak dapat banyak membantu dalam menangani tekanan kewangan terutama dengan kenaikan kos sara hidup, kos pendidikan yang tinggi dan harga perumahan yang meningkat.
Ini mungkin disebabkan ada dalam kalangan anak-anak golongan M40 yang tidak menyambung pengajian ke institusi pendidikan tinggi, maka potongan cukai sehingga RM8,000 setahun bagi setiap anak yang belajar mereka tidak dapat potongan cukai tersebut.
Begitu juga dengan kemudahan pembiayaan perumahan. Kerajaan telah memberi insentif kepada M40 yang ingin membeli rumah pertama mereka tidak perlu membayar deposit.
Dengan Skim Rumah Pertamaku (SRP) dapat membantu pembiayaan 100 peratus iaitu mereka tidak perlu membayar wang pendahuluan (deposit 10 peratus) dan kadar faedah yang rendah (Kadar sekitar 3.5 peratus setahun) serta pengecualian duti setem.
Jika mereka membeli rumah di bawah RM500,000, untuk rumah pertama, maka golongan M40 tidak perlu membayar duti setem.
Namun dengan harga rumah yang semakin meningkat kini, bukan semua golongan M40 yang mampu untuk membeli rumah. Maka mereka terlepas dari insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan ini.
Namun bagi mereka yang membeli rumah ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan kewangan mereka.
Jangan Biarkan Mereka Terus Tersisih
Jika M40 terus dibiarkan terhimpit dalam diam, kesannya bukan sahaja kepada mereka, tetapi kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara. Mereka bukan sekadar ‘kelas pertengahan’ di atas kertas, tetapi tulang belakang yang menampung negara melalui cukai, perbelanjaan dan produktiviti.
Mereka bukan meminta dimanjakan. Mereka hanya mahu didengar dan diiktiraf. Sudah tiba masanya pembuat dasar melihat semula keadilan sosial yang sebenar, bukan hanya berasaskan angka, tetapi berpandukan denyut nadi rakyat biasa.
Mungkin pihak berkuasa perlu melihat dari sudut-sudut yang lain untuk membantu golongan M40 dan bukan hanya berfokus kepada B40 sahaja, sedangkan M40 juga terkesan dengan krisis ekonomi.
Kerajaan juga mesti mempunyai pelan jangka panjang untuk mengelakkan M40 jatuh kepada B40.
Ini tidak mustahil untuk terjadi terutamanya apabila salah seorang ahli keluarga sakit dan mungkin juga ada yang berhenti kerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan.
Selain itu, mungkin peluang peningkatan pendapatan seperti latihan kemahiran tinggi diperlukan untuk mengelak daripada terperangkap dalam gaji tidak berkembang. Jangan dipinggirkan M40 dalam dasar kerajaan memandangkan mereka sebenarnya tunjang ekonomi negara.
Jika masalah golongan M40 diabaikan, mereka berisiko untuk turun atau jatuh ke golongan B40 semula.
Jika ini berlaku kesannya akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan.
Apabila kelas pertengahan (M40) berkurangan maka kuasa beli masyarakat semakin berkurangan dan merosot, menyebabkan perniagaan tempatan seperti perkhidmatan dan hartanah akan kurang mendapat sambutan.
Contoh: Jika ramai M40 tidak mampu beli rumah, pasaran hartanah akan lesu dan pelaburan merudum.
Kesan lain, jurang antara mereka yang kaya dan yang miskin semakin melebar yang mana dikhuatiri akan berlaku pergolakan sosial dan mungkin akan mengancam pihak kerajaan.
Untuk itu, pihak kerajaan perlu melaksanakan reformasi ekonomi dengan lebih inklusif agar M40 tidak terus berasa terperangkap dan terhimpit. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat adalah Felo di Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) dan juga Professor di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan di Universiti Utara Malaysia.
DR. Norzita Jamil adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.










