Bermain kutu, boleh atau salah?

Bermain kutu, boleh atau salah?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU keluarga saya tinggal di Aulong Lama, Taiping, Perak pada 1970-an dan 1980-an, emak terlibat dalam permainan kutu. Malah, kemudian beliau menjadi ‘ibu kutu’ iaitu individu yang menguruskan aktiviti itu.

Perkataan ‘kutu’ masuk ke dalam kosa kata dan budaya orang Melayu daripada istilah kuutu dalam bahasa Tamil. Dalam makna asal, ia merujuk kepada keadaan bersatu, bergabung atau berkumpul beramai-ramai.

Misalnya, kuutu kudumbam dalam budaya India merujuk keluarga bersekutu atau keluarga luas (joint family) yang terdiri daripada beberapa generasi dan saudara mara tinggal bersama sebagai satu keluarga besar.

Malah, dari situlah muncul cogan kata ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ yang kita lihat pada Jata Negara. Konsep persekutuan yang menggabungkan 11 negeri dan dua negeri selat di Tanah Melayu pada 1948 juga berasal daripada kuutu.

Berbalik kepada permainan kutu yang popular dalam kalangan wanita berpendapatan rendah, saya sejak kecil menyukai konsep yang terkandung di dalamnya. Apatah lagi apabila melihat emak menjadi ‘ibu kutu’.

Konsepnya amat mudah. Beberapa orang, biasanya golongan wanita, bersetuju untuk bermain kutu dan perlu membuat bayaran bulanan mengikut kadar ditetapkan.

Mereka berkumpul di rumah ‘ibu kutu’ untuk proses mengundi giliran menerima wang kutu. ‘Ibu kutu’ tentulah individu dipercayai dan beretika kerana menjadi ejen mengumpul wang semua peserta.

Daripada pemerhatian saya sejak kecil, proses mengundi giliran dimulakan dengan permintaan daripada mana-mana peserta. Contohnya, seorang wanita mahu mendapatkan wang pada bulan Julai kerana anaknya akan berkahwin. Jika semua peserta setuju, dia diberi peluang mendapatkan wang kutu pada bulan berkenaan.

Pada setiap bulan, ‘ibu kutu’ bertanggungjawab mengumpul wang daripada setiap peserta. Kami adik-beradik biasa juga diberi tugas pergi dari rumah ke rumah pemain kutu untuk membuat kutipan bulanan. Kami gembira kerana diberi kepercayaan dan tanggungjawab besar.

Permainan kutu yang diuruskan emak atau wanita lain di kampung saya bukan hanya berbentuk wang. Ada masanya dibuat kutu barangan seperti set perkakas tembaga atau barang kemas.

Konsepnya tetap sama iaitu pemain kutu membuat bayaran bulanan dan setiap orang mendapat panggu (bahagian) mereka mengikut giliran. Untuk makluman, istilah panggu dalam kosa kata Melayu juga berasal daripada bahasa Tamil.

Bagi kutu barangan, ‘ibu kutu’ biasanya berurusan dengan peniaga untuk mendapatkan barang itu secara bulanan pada harga tetap. Maka, setiap pemain kutu berpeluang memiliki barangan pada harga dan kualiti sama.

Saya sangat menyukai konsep kutu. Kita tidak cukup wang untuk membeli sesuatu barang secara tunai. Maka, kita bergabung (bersekutu) dengan orang lain bagi memastikan setiap orang mendapat hasil daripada perkongsian pintar itu.

Namun begitu, tidak kurang juga kes penipuan membabit permainan kutu, khususnya apabila ‘ibu kutu’ tidak bersikap amanah. Banyak kes seperti itu dilaporkan di media.

Pada Jun 2018, sembilan wanita di Segamat, Johor mengalami kerugian ribuan ringgit apabila ibu kutu melarikan diri bersama wang terkumpul. Apabila disiasat, kutu itu ada unsur pelaburan haram yang menjanjikan pulangan berkali ganda dan bukannya konsep kutu tradisional.

Dua tahun lalu, didedahkan skim kutu Saving Sapiza Extra yang menjanjikan pulangan 10 hingga 60 peratus bagi setiap pelabur. Tidak hairanlah lebih 1,000 mangsa yang terdiri daripada ustaz, penjawat awam, swasta dan polis mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM200,000 seorang.

Ada pula kes seorang peniaga nasi lemak dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang didapati menganjurkan kutu menerusi Facebook pada 2018. Apa yang dijalankan bukan kutu tradisional seperti dibuat mendiang emak saya dan golongan wanita pada masa dahulu.

Sebaliknya, penjual nasi lemak itu menjalankan kaedah kutu yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat pemain kutu wajib mencari peserta baharu dalam bentuk skim piramid.

Ternyata ramai pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan konsep kutu tradisional dan menjadikannya skim cepat kaya yang terang-terangan melanggar undang-undang.

Misalnya, Seksyen 3(1) Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun jika menjalankan perniagaan kutu haram.

‘Ibu kutu’ yang menipu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Kesalahan Pengambilan Deposit) selain Seksyen 417 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

 

AMBIL TAHU

Orang ramai wajar mengambil tahu serba sedikit tentang Akta 28 yang khusus membicarakan hal-hal berkaitan permainan kutu.

Akta 28 bertujuan melarang pendaftaran atau pelesenan perniagaan atau syarikat yang menganjurkan kumpulan wang kutu iaitu skim dikenali dengan pelbagai nama seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine dan sebagainya.

Akta Syarikat 1965 juga melarang pendaftaran entiti perniagaan seperti itu. Seksyen 4 Akta 28 menegaskan, tidak boleh mana-mana perniagaan yang mahu menganjurkan kumpulan wang kutu didaftar di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Ordinan Pelesenan Perdagangan Sabah melakukan sekatan sama di Sabah, manakala Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Perdagangan Sarawak menjadi kawalan di Sarawak.

Ditakrifkan dalam Akta 28 bahawa pemain kutu biasanya menyumbang wang secara berkala. Kumpulan wang terkumpul itu kemudian ditawarkan untuk jualan atau pembayaran kepada peserta melalui lelong, tender, tawaran, undi atau cara lain.

Namun begitu, jika kita bermain kutu secara tradisional seperti dilakukan mendiang emak saya dulu, tidak menjadi kesalahan. Maknanya, tiada unsur penipuan, tiada caj perkhidmatan dan tiada sesiapa mendapat untung berlipat kali ganda seperti dijanjikan dalam skim kutu cepat kaya.

Selagi kita bermain kutu sesama jiran, kenalan dan saudara mara dengan niat sama-sama mahu membantu mengurangkan beban, maka tidaklah menjadi kesalahan. Perkara ini pernah juga dijelaskan di Dewan Rakyat pada 14 Jun 2011.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN