30 rakyat Malaysia cemas, pemandu pelancong ke Chiang Rai ditahan - Utusan Malaysia

30 rakyat Malaysia cemas, pemandu pelancong ke Chiang Rai ditahan

ANGGOTA Polis Pelancong Wilayah 2 menahan seorang lelaki warta tempatan selepas didapati melanggar permit membawa pelancong Malaysia melawat Wilayah Chiang Rai, Isnin lalu. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Lebih 30 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan melawat Wilayah Chiang Rai di utara Thailand, berdepan saat cemas apabila pemandu pelancong mereka yang juga warga tempatan, ditahan pihak berkuasa tempatan pada Isnin lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 10.30 pagi di sebuah stesen minyak di Talat Fa Thai, Mukim Tha Sut, Daerah Mueang Chiang Rai itu, bas yang dinaiki pelancong terbabit turut disita.

Ketua Balai Polis Pelancong Wilayah 2, Leftenan Kolonel Issara Boonlam berkata, rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 40-an itu tidak mempunyai lesen dan permit sah untuk membawa pelancong ke Wilayah Chiang Rai yang terletak kira-kira 1,938 kilometer dari Narathiwat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pasukan Polis Pelancong Chiang Rai menerima maklumat bahawa seorang lelaki dari Wilayah Narathiwat sedang membawa pelancong Malaysia di Wilayah Chiang Rai menggunakan sebuah bas. 

Beliau berkata, pihak polis memperkenalkan diri dan meminta untuk memeriksa lesen pemandu pelancong yang dikeluarkan Jabatan Pelancongan Thailand dan permit kerja yang tertera namanya, ketika bas itu berhenti di sebuah stesen minyak.

“Lelaki terbabit kemudian mengemukakan lesen pemandu pelancong serantau khusus untuk wilayah Selatan Thailand, dan permit kerja daripada sebuah syarikat serta lesen pemandu pelancong dikeluarkan sebuah agensi pelancongan di Malaysia. 

“Mengikut Akta Perniagaan Pelancongan dan Pemandu Pelancong Thailand, suspek sebenarnya hanya boleh membawa pelancong di sekitar wilayah Selatan Thai sahaja, bukan di seluruh negara,” katanya.

Issara berkata, polis turut merampas permit kerja, lesen pemandu pelancong wilayah selatan dan sebuah bas dengan nombor pendaftaran Wilayah Yala untuk dijadikan barang bukti.

Menurutnya, tindakan itu adalah selaras dengan dasar Perintah Polis Pelancong untuk membanteras 10 kumpulan jenayah terlarang yang turut meliputi Akta Perniagaan Pelancongan dan Pemandu Pelancongan serta undang-undang Imigresen.

Difahamkan, syarikat pelancongan yang menguruskan lawatan itu kemudian menghantar sebuah bas lain dan pemandu pelancong bertauliah bagi meneruskan agenda lawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini