KUALA LUMPUR: “Saya suka suara, karisma dan pakaian dia dan apa yang paling saya suka ialah dia buat muzik dan lagu sendiri. Aina Abdul seorang artis yang lengkap”
Demikian kata penyanyi Jaclyn Victor, 48, ketika diminta mengulas mengenai wakil Malaysia ke Eurovison Song Contest Asia 2026, Aina Abdul, yang akan berentap dengan 10 negara Asia pada 14 November ini.
Kata Jaclyn, Aina memiliki keistimewaan tersendiri dan dia yakin dengan kemampuan penyanyi itu untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Aina sangat istimewa. Saya rasa saya tidak pernah jumpa dia tengah berdebar.
“Bila kita tengok maklum balas di Instagram, kalau berdasarkan hantaran mengenai Aina Abdul, sangat banyak yang menyokong,”katanya.
Jaclyn berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Mengulas peluang Aina untuk mencipta kejutan di pentas berkenaan, Jaclyn percaya penyanyi itu mempunyai potensi besar berdasarkan sambutan yang diterimanya.
Katanya, Aina juga antara peserta yang mendapat perhatian ramai berdasarkan maklum balas positif di media sosial.
“Daripada apa yang saya lihat, Aina antara peserta yang paling popular di sana. Jadi, saya rasa peluangnya untuk menang sangat tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jaclyn turut mengingatkan Aina supaya kekal tenang dan memberikan persembahan terbaik ketika berdepan wakil negara lain.
“Awak tahu bahawa kami semua berdiri di belakang awak. Kami sangat bangga dengan semua yang awak lakukan.
“Jadi Aina, bertenang, tarik nafas dan bagi pecah. Saya sayang awak,” katanya.
Aina bakal menggalas tanggungjawab sebagai wakil Malaysia menerusi lagu ciptaannya bersama Mac Chew, Bluest Sky, pada pertandingan akhir Eurovision Song Contest Asia 2026 yang menghimpunkan penyanyi dari 11 negara.
Aina dijadualkan membuat persembahan terakhir sebagai peserta ke-11 pada acara yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Sabtu ini.











