MAIS, TH Travel perluas akses wasiat, hibah kepada bakal jemaah - Utusan Malaysia

MAIS, TH Travel perluas akses wasiat, hibah kepada bakal jemaah

KERJASAMA MAIS dan TH Travel membuka peluang kepada bakal jemaah haji dan umrah untuk mendapatkan khidmat penyediaan dokumen wasiat dan hibah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bakal jemaah haji dan umrah yang menggunakan perkhidmatan TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) berpeluang mendapatkan khidmat penyediaan dokumen wasiat dan hibah menerusi kerjasama syarikat itu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya memanfaatkan rangkaian pelanggan THTS untuk memberi penerangan mengenai perancangan harta mengikut hukum syarak, selain menyediakan dokumen wasiat dan hibah kepada mereka yang memerlukan.

“Namun demikian, kesedaran mengenai kepentingan menyediakan dokumen perancangan harta seperti wasiat dan hibah masih perlu dipertingkatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini penting bagi memastikan pengurusan, pentadbiran dan pengagihan harta dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, mengikut ketetapan Hukum Syarak serta mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan waris pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAIS dengan THTS di Hotel Concorde, Shah Alam.

Menurut Mohd Sabirin, perkhidmatan penyediaan dokumen wasiat dan hibah turut ditawarkan kepada warga kerja THTS yang memenuhi syarat kelayakan dipersetujui kedua-dua pihak.

Katanya, maklumat mengenai perkhidmatan berkenaan akan disampaikan menerusi taklimat haji dan umrah, pameran serta sesi penerangan. Kedua-dua pihak juga akan menganjurkan seminar dan bengkel berkaitan perancangan harta Islam.

Dalam kenyataan berasingan, MAIS berkata, kerjasama itu turut merangkumi pendaftaran wasiat dan hibah secara digital, pembayaran fidyah dan kaffarah serta sumbangan infak.

Katanya, satu jawatankuasa bersama akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi menyelaras program dan meneliti perkembangan pelaksanaan kerjasama itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini