RASUAH adalah barah yang telah lama mencengkam sistem pentadbiran dan kehidupan sosial di Malaysia. Sejak sekian lama, pelbagai usaha dilakukan untuk membanteras gejala ini, namun cabaran yang dihadapi masih besar.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan aktif dalam membanteras rasuah, melihat keperluan untuk perubahan yang lebih holistik dan berkesan dalam memastikan negara bebas daripada budaya korupsi.
KES RASUAH BERPROFIL TINGGI: ANTARA KETELUSAN DAN PERSEPSI POLITIK
Kebelakangan ini, kita menyaksikan beberapa pendedahan kes rasuah berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin utama negara. Terbaru, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkaitan dakwaan pengubahan wang haram menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
MCW menyambut baik sebarang usaha untuk membawa individu yang terbukti bersalah ke muka pengadilan, tetapi dalam masa yang sama, kami menekankan keperluan untuk memastikan proses siasatan dan pendakwaan berjalan secara adil dan telus tanpa dipengaruhi sebarang agenda politik.
Dalam banyak kes rasuah, kita melihat strategi yang mana pemberi rasuah dijadikan saksi utama dalam kes terhadap penerima rasuah, yang sering kali merupakan individu berjawatan tinggi dan memiliki kuasa besar.
Strategi ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah digunakan secara meluas dalam sistem perundangan banyak negara. Namun, MCW berpandangan pendekatan sebegini perlu diteliti semula agar tidak wujud persepsi pemberi rasuah bebas daripada tindakan undang-undang.
CABARAN MEMERANGI RASUAH
Malaysia menghadapi cabaran besar dalam membanteras rasuah kerana masalah ini telah berakar umbi dalam sistem pentadbiran, perniagaan dan politik. Antara cabaran utama yang perlu ditangani termasuk:
- Ketidakstabilan politik – Ketidakstabilan politik sering kali membuka ruang kepada amalan rasuah, terutamanya apabila pemimpin politik menggunakan sumber negara untuk mengekalkan kuasa mereka.
- Ketidaktelusan dalam pendanaan politik – Tanpa kawal selia yang ketat, pendanaan politik boleh menjadi lubuk rasuah, membolehkan individu atau syarikat membeli pengaruh politik demi kepentingan mereka sendiri.
- Kurangnya keberanian pemberi maklumat (whistleblower) – Ramai individu yang mengetahui tentang aktiviti rasuah tetapi takut untuk melaporkan kerana ancaman dan tekanan daripada pihak berkepentingan.
- Kelemahan institusi penguatkuasaan – Walaupun SPRM berperanan sebagai badan utama dalam memerangi rasuah, cabaran dari segi autonomi, sumber kewangan dan kebebasan bertindak masih menjadi isu yang perlu ditangani.
REFORMASI INSTITUSI
Bagi memastikan usaha membanteras rasuah benar-benar berkesan, MCW menyeru agar beberapa langkah reformasi institusi dilaksanakan dengan segera:
- Pelaksanaan Akta Pendanaan Politik – Akta ini perlu diwujudkan segera untuk memastikan ketelusan dalam penerimaan dan perbelanjaan dana politik bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
- Peningkatan perlindungan pemberi maklumat – Pihak berkuasa perlu memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat agar lebih ramai berani tampil ke hadapan tanpa rasa takut.
- Pengukuhan SPRM sebagai badan bebas – SPRM harus diberikan kuasa sepenuhnya untuk bertindak tanpa campur tangan politik, termasuk dalam hal pemilihan ketua pesuruhjaya yang lebih bebas daripada pengaruh eksekutif.
- Pendidikan integriti secara menyeluruh – Rasuah tidak boleh dibanteras hanya melalui penguatkuasaan undang-undang. Pendidikan tentang nilai integriti perlu diterapkan sejak di bangku sekolah agar generasi baharu lebih memahami kepentingan amanah dan ketelusan.
PERANAN RAKYAT
Usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak di bahu SPRM atau kerajaan semata-mata. Rakyat juga mempunyai peranan penting dalam memastikan negara bebas daripada rasuah. Antara langkah yang boleh diambil oleh masyarakat termasuk:
- Menolak pemimpin korup – Rakyat perlu lebih peka dalam memilih pemimpin yang berintegriti dan tidak terpalit dengan skandal rasuah.
- Melaporkan kes rasuah – Masyarakat harus berani melaporkan sebarang aktiviti rasuah kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil.
- Menyokong inisiatif antirasuah – Sokongan terhadap NGO seperti MCW yang berusaha membanteras rasuah amat penting dalam memastikan gerakan ini terus hidup dan berkesan.
- Mendidik generasi muda – Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak tentang bahaya rasuah serta kepentingan integriti dalam kehidupan seharian.
Malaysia memerlukan komitmen penuh daripada semua pihak untuk membanteras rasuah secara menyeluruh. MCW percaya bahawa dengan pelaksanaan reformasi institusi yang lebih kukuh, pendidikan integriti yang lebih meluas, serta penglibatan aktif rakyat dalam menolak rasuah, kita mampu mencapai matlamat menjadikan negara ini lebih bersih dan berdaya saing.
Sebagai sebuah NGO yang komited dalam usaha membanteras rasuah, MCW akan terus menjadi pemantau, pengkritik dan penyokong kepada setiap usaha yang dilakukan ke arah membina Malaysia yang lebih berintegriti. Rakyat Malaysia harus sedar bahawa rasuah bukan sekadar jenayah kewangan tetapi juga pengkhianatan terhadap kepercayaan dan amanah yang diberikan.
Oleh itu, usaha membanteras rasuah mesti diteruskan tanpa kompromi demi kesejahteraan generasi akan datang.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










