SELAMA 30 tahun yang lalu, semua rakyat Malaysia menyaksikan bagaimana hegemoni Barisan Nasional (BN) menuju kehancuran dan kejatuhan UMNO merupakan faktor utama yang membawa kepada perubahan politik ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, negara kita buat pertama kali mneyaksikan peralihan kuasa politik apabila BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tumbang. Akibatnya, BN terus lemah menjadi gabungan kecil yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Antara tahun 2020 hingga Mac 2022, BN mendapat manfaat daripada perebutan kuasa antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta berjaya kembali ke Putrajaya. Selain itu, kejayaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor memberi keyakinan UMNO bangkit semula.
Namun, ketika PRU15 pada 2022, PH dan PN terjadi dua gabungan politik utama di negara ini, sementara BN, yang sebelum ini dijangka memperoleh kejayaan, merosot sehingga hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen sahaja.
UMNO/BN memainkan peranan sebagai kuasa minoriti yang menentukan hala tuju politik ketika dua gabungan besar berada dalam kedudukan ‘gridlock’ (kusut). Dalam situasi ini, UMNO memilih untuk berpihak kepada PH, terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bukan sahaja dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi juga berjaya berunding beberapa jawatan penting dalam Kabinet sebagai sebahagian daripada strategi politiknya.
Selepas UMNO terus bertahan dengan penuh ketabahan, melangkah satu demi satu cabaran dalaman parti, melepasi ujian dalam PRN di enam negeri dan kekal bertahan hingga ke hari ini.
Selain itu, dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang lalu, parti Melayu ini meraih keputusan yang agak memberangsangkan serta menunjukkan prestasi yang baik.
Pada masa ini UMNO masih berada dalam beberapa fasa cabaran, namun tidak kelihatan tanda-tanda parti ini berputus asa untuk kembali ke arus perdana politik dan mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu.
Usaha berterusan ini wajar diberikan pengiktirafan. Terutamanya PKR yang dipimpin oleh perdana menteri seharusnya lebih banyak belajar daripada UMNO.
Sebagai contoh, UMNO berjaya memilih calon yang tepat dan merangka strategi berkesan dalam PRK, membuahkan hasil yang positif. UMNO mengutamakan koordinasi pusat dan pejabat tempatan dengan memilih calon tempatan yang mendapat sokongan akar umbi.
Berbanding parti lain, UMNO lebih terbuka mencalonkan anak muda dalam PRK yang berpotensi menang (contohnya, Nenggeri dan Mahkota). Disamping itu, UMNO juga mengambil kira demografi pengundi sebelum menampilkan calon yang sesuai serta mengekalkan jentera sendiri bukan bergantung kepada parti sekutunya.
Sebaliknya, PKR menunjukkan prestasi yang mengecewakan. Dalam PRK Sungai Bakap, Kerajaan Perpaduan berpeluang merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Namun, kelemahan akar umbi PKR di kawasan itu menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada bantuan DAP dan UMNO.
PKR TIDAK MENONJOL
Perkara lebih mengejutkan ialah dalam proses pemilihan calon, tiada pemimpin PKR yang tampil memberikan pandangan berbeza, sebaliknya keputusan akhir dibuat sepenuhnya oleh Anwar. Oleh itu, kemenangan Pas di Sungai Bakap dengan majoriti besar 3,000 undi bukanlah satu kebetulan.
PKR, yang sering menampilkan diri pencetus demokrasi Malaysia, tidak menunjukkan prestasi yang menonjol dalam pendidikan politik. Sebaliknya, UMNO, setelah mengalami kekalahan teruk dalam dua PRU mula memperkukuh latihan politik bagi ahlinya dengan menubuhkan Sekolah Patriot, sebagai platform untuk menyebarkan ideologi perjuangan partinya.
Akhir tahun lalu, PKR secara tergesa-gesa membuat pindaan perlembagaan parti untuk menggubalkan sistem pemilihan, memansuhkan hak mengundi semua ahli dan menggantikannya dengan undian penuh perwakilan.
Sehingga kini, hanya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang secara terbuka menentangnya. Tetapi dalam kes UMNO, Naib Presidennya, Datuk Seri Khaled Nordin menyebut Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bercadang mengkaji sistem pemilihan, tetapi perkara ini mendapat tentangan kuat daripada akar umbi, malah ada yang mengkritik kepimpinan pusat sebagai semakin mundur. Adakah ini bermakna ahli UMNO lebih menghargai hak sendiri berbanding ahli PKR?
Sebagai tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan, PKR dipimpin oleh Anwar selaku Perdana Menteri, dengan menteri-menteri dari parti ini menguasai portfolio penting seperti Kewangan, Ekonomi, Dalam Negeri, Pendidikan dan Komunikasi.
Selain itu, Selangor, negeri dengan potensi ekonomi terbesar dan penduduk teramai di Malaysia juga diketuai oleh PKR. Namun, sehingga kini, hala tuju, beban tanggungan dan idealisme PKR sebagai parti pemerintah masih kabur. Lebih-lebih lagi, jika mengambil kira kemungkinan ‘PKR tanpa Anwar’ atau ‘PKR tanpa Madani, apakah nilai yang masih tinggal dalam parti ini?
Dengan pemilihan parti yang semakin hampir, Anwar dan pemimpin PKR perlu memanfaatkan tempoh ini untuk menilai landskap politik, menyampaikan visi dan naratif yang jelas, memperkukuh pendidikan politik ahli serta menguatkan struktur dalaman parti.
Lebih penting lagi, jika Malaysia Madani dikatakan sebagai matlamat bersama Kerajaan Perpaduan, maka apakah sebenarnya matlamat PKR sendiri?-UTUSAN
PENULIS ialah lulusan Ijazah Sarjana Politik dari Universiti Soochow, Taiwan dan kini penganalisis politik tempatan.










