Pastikan media kita benar-benar bebas

Pastikan media kita benar-benar bebas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh ekosistem media negara dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan pada 26 Februari lalu, selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.

Langkah ini menandakan anjakan penting dalam landskap media negara dengan matlamat memperkasa kebebasan, profesionalisme dan integriti dalam pelaporan berita.

Idea penubuhan badan penyelia industri media berlegar sejak 1973, dimulakan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Namun, pelbagai halangan politik dan birokrasi menghambat pelaksanaannya. Hanya pada Januari 2020, melalui Jawatankuasa Protem, usaha ke arah MMM kembali mendapat momentum. Pada 6 Disember 2019, jemaah menteri meluluskan prinsip penubuhan majlis media itu.

Rentetan itu, mesyuarat pertama dipengerusikan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, pada Januari 2020 menyaksikan pembentukan Jawatankuasa Protem dengan 21 wakil industri media.

Sejak itu, usaha merangka RUU ini dilakukan secara menyeluruh dengan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan. Pada Ogos 2020, draf pertama RUU diterima dan sesi perbincangan intensif antara Kementerian Komunikasi dan Jawatankuasa Protem berlangsung sejak awal 2023.

Sebanyak 26 sesi libat urus diadakan dengan kepimpinan kementerian, melibatkan wakil media arus perdana dan bebas. Keanggotaan Jawatankuasa Protem kemudian diperluas kepada 40 wakil, termasuk ahli akademik dan persatuan media. Usaha berterusan ini akhirnya membuahkan hasil dengan pembentangan RUU MMM yang bertujuan memperkukuh kebebasan media, meningkatkan profesionalisme dan memperkenalkan kawal selia kendiri bagi industri media negara.

Sebelum wujudnya inisiatif rasmi oleh kerajaan sekarang, beberapa tokoh media dan pengamal industri telah memperjuangkan keperluan sebuah majlis media bebas di Malaysia. Antaranya Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. Beliau sering menyuarakan keperluan mewujudkan mekanisme kawal selia kendiri bagi memastikan kebebasan media yang lebih luas tanpa perlu dikawal ketat oleh kerajaan.

Selain itu, Datuk A. Kadir Jasin, seorang tokoh wartawan berpengaruh, turut lantang menyeru agar Malaysia mempunyai badan media yang bebas seperti di negara-negara maju. Beliau menekankan media perlu mempunyai kebebasan untuk berfungsi sebagai semak dan imbang kepada kerajaan dan institusi lain.

Tokoh lain yang turut memainkan peranan ialah Zainon Ahmad, seorang wartawan veteran yang dikenali kerana etika kewartawanannya yang tinggi. Beliau sering menyuarakan keperluan untuk menetapkan garis panduan yang jelas dalam industri media bagi melindungi wartawan daripada tekanan politik dan komersial.

Selain itu, bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan sering menekankan kepentingan kebebasan media dalam menegakkan prinsip demokrasi serta keperluan untuk mewujudkan sebuah badan kawal selia bebas yang dapat melindungi kepentingan wartawan dan industri media secara keseluruhan. Zaini pernah menyuarakan kebimbangannya terhadap tekanan yang dihadapi pengamal media dalam melaporkan berita yang kritikal, terutama dalam konteks politik dan sosial.

Perjuangan ini diteruskan oleh pelbagai organisasi media seperti Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang secara kolektif menekan kerajaan untuk menubuhkan sebuah badan kawal selia bebas bagi industri media tempatan.

RUU MMM 2024 memperuntukkan kawal selia kendiri terhadap media. Jika benar RUU ini bertujuan melindungi wartawan dan meningkatkan profesionalisme, apakah langkah konkrit bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa? Malah, keanggotaan wakil kerajaan dalam lembaga MMM menimbulkan persoalan sama ada badan ini benar-benar bebas atau hanya menjadi satu lagi alat pemantauan yang memperkukuh pengaruh kerajaan ke atas media.

Malaysia agak ketinggalan dalam menubuhkan badan kawal selia bebas berbanding negara seperti Jerman (1956), India (1966), Indonesia (1968) dan Australia (1976). Namun, di negara-negara ini, badan media berfungsi dengan autonomi yang jelas daripada kerajaan. Sebagai contoh, Dewan Pers Indonesia secara terbuka mengkritik polisi kerajaan tanpa sebarang campur tangan politik. Adakah MMM akan mempunyai keberanian yang sama, atau sekadar menjadi institusi simbolik tanpa kuasa sebenar?

Dalam landskap media Malaysia yang sering dikritik kerana berat sebelah dan terikat dengan pemilik berkepentingan politik, MMM sepatutnya bertindak sebagai penjaga kebebasan media yang tulen. Wartawan memerlukan mekanisme perlindungan yang kukuh daripada tekanan politik dan ekonomi. Sebuah majlis media yang benar-benar berfungsi mesti mampu mempertahankan hak pengamal media untuk melaporkan berita tanpa takut ancaman atau sekatan.

Walaupun RUU ini boleh dianggap satu langkah progresif, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan dan mekanisme kawal selia yang benar-benar adil. Peruntukan mengenai tindakan tatatertib terhadap media yang didapati melanggar etika perlu diperhalusi supaya tidak menjadi alat menutup kritikan terhadap kerajaan. Keanggotaan MMM juga perlu memastikan keseimbangan yang mencerminkan kepelbagaian landskap media negara, bukan sekadar mewakili pihak tertentu.

KAWAL SELIA
Terdapat kebimbangan RUU ini membuka ruang kepada kawalan terselindung terhadap media, terutama melalui mekanisme tatatertib. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjadi alat untuk menekan media yang kritikal terhadap kerajaan. Justeru, prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam proses kawal selia ini amat penting.

Dalam memastikan keberkesanan MMM, organisasi seperti MPI dan NUJ perlu memainkan peranan sebagai pemantau bebas terhadap pelaksanaan RUU ini. Tanpa pengawasan yang berterusan, MMM boleh menjadi satu lagi badan birokratik yang gagal memenuhi objektif asalnya.

Di banyak negara, majlis media berfungsi sebagai perisai terhadap sebarang ancaman ke atas wartawan. Malaysia perlu memastikan MMM mempunyai kuasa untuk melindungi wartawan daripada gangguan dan ugutan yang boleh menghalang mereka menjalankan tugas secara bebas.

Cabaran lain ialah menangani media digital dan penyebaran maklumat palsu. RUU ini harus memperjelaskan peranannya dalam mengawasi bukan sahaja media arus perdana, tetapi juga platform digital yang semakin berpengaruh dalam penyampaian berita.

MMM perlu menyesuaikan diri dengan landskap media baharu yang didorong digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI). Dalam era di mana algoritma semakin menentukan penyebaran maklumat, MMM harus memastikan mekanisme pemantauan yang berkesan bagi mengelakkan manipulasi maklumat dan penyebaran berita palsu. Selain itu, peranan AI dalam kewartawanan perlu dikawal selia bagi mengekalkan etika dan integriti berita.

Salah satu cabaran besar era digital ialah ketidakupayaan masyarakat membezakan maklumat sahih dan berita palsu. Oleh itu, MMM boleh memainkan peranan dalam meningkatkan literasi digital, termasuk mendidik pengguna media tentang bagaimana mengenal pasti berita yang boleh dipercayai.

Justeru, MMM boleh menjadi titik perubahan dalam landskap media negara, tetapi hanya jika ia benar-benar bebas daripada pengaruh politik dan bertindak dengan penuh integriti. Jika tidak, ia hanya akan menjadi satu lagi instrumen kawalan yang menyekat kebebasan bersuara.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komuikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN