Keuntungan bukan ukuran tepat nilai keberkesanan universiti awam

Keuntungan bukan ukuran tepat nilai keberkesanan universiti awam

UNIVERSITI menyum­bang kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, laporan yang menyebut tentang kerugian kewangan dihadapi beberapa universiti awam di Malaysia, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menjadi perhatian ramai.

Berita ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam konteks kestabilan kewangan universiti dan masa hadapan pendidikan tinggi di Malaysia. Walau bagaimanapun, apabila menilai isu ini dari perspektif Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan fungsi utama universiti sebagai institusi ilmu, penting untuk memahami tumpuan terhadap keuntungan universiti semata-mata bukanlah ukuran yang tepat dalam menilai keberkesanan universiti.

Perlu ditekankan FPK menetapkan matlamat pendidikan negara yang jelas iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani.

FPK menekankan pendidikan harus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang bukan sahaja mahir dalam bidang akademik tetapi juga berupaya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Pendidikan tinggi di Malaysia, terutamanya di universiti awam, bukanlah semata-mata untuk menghasilkan keuntungan kewangan, tetapi untuk menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai disiplin ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Universiti adalah tempat ilmu pengetahuan dihasilkan dan disebarkan. Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan, inovasi dan pembangunan kemahiran yang relevan untuk pembangunan negara. Dalam konteks ini, universiti tidak bertujuan menjana keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada misi yang lebih besar iaitu membangunkan masyarakat melalui pendidikan berkualiti dan penyelidikan yang bermanfaat. Oleh itu, universiti tidak seharusnya dinilai berdasarkan keuntungan atau kerugian tetapi lebih kepada keberkesanan dalam mencapai objektif pendidikan dan penyelidikan yang lebih luas.

Apabila kita bercakap tentang laporan kerugian kewangan yang dihadapi UMS, UPM dan USIM, penting untuk membezakan antara keuntungan yang dijana oleh universiti dan kelestarian kewangan universiti. Sebagai institusi pendidikan awam, universiti bergantung kepada geran mengurus daripada kerajaan sebagai sumber utama kewangan. Walaupun universiti juga mempunyai sumber pendapatan lain seperti yuran pelajar, penyelidikan dan kerjasama industri, namun sebahagian besar pendapatan mereka masih bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan.

Oleh itu, sebarang kerugian kewangan yang dilaporkan tidak harus dilihat sebagai kegagalan universiti dalam menjalankan fungsinya, tetapi mungkin lebih kepada isu ketidakseimbangan dalam peruntukan kewangan atau pengurangan geran mengurus yang diberikan oleh kerajaan.

Penting juga untuk menilai universiti awam bukan entiti komersial yang bertujuan untuk mengaut keuntungan. Sebaliknya, tujuan utama universiti adalah menyediakan pendidikan berkualiti, menghasilkan penyelidikan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan menyediakan kemahiran relevan untuk perkembangan negara. Jika universiti kekurangan sumber kewangan, mereka masih boleh terus berfungsi secara efektif dengan sokongan yang mencukupi dari kerajaan dan sumber pendapatan lain yang boleh dioptimumkan.

Oleh sebab itu, menilai kerugian universiti semata-mata melalui perspektif untung rugi tidak memberikan gambaran yang menyeluruh mengenai fungsi universiti. Pengurusan kewangan universiti perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, termasuk faktor-faktor seperti penggunaan geran mengurus, keberkesanan program penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Kerugian kewangan mungkin timbul daripada beberapa faktor yang lebih kompleks seperti penurunan geran kerajaan, peningkatan kos operasi atau penurunan bilangan pelajar yang mendaftar di universiti awam.

Namun, penekanan harus diberikan kepada kelestarian kewangan universiti untuk memastikan mereka dapat terus berfungsi tanpa menjejaskan kualiti pendidikan dan penyelidikan.

Isu kewangan ini perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih menyeluruh. Ini termasuk memperbaiki pengurusan kewangan, mencari sumber pendapatan alternatif dan memperkukuh kerjasama dengan industri serta badan-badan penyelidikan.

Kita perlu memahami universiti sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menguruskan kewangan mereka. Fungsi utama universiti adalah untuk menghasilkan ilmu baharu yang bermanfaat untuk masyarakat dan negara. Ini termasuk penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti teknologi, sains, kesihatan, kemanusiaan dan banyak lagi.

Sumbangan universiti kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pembangunan negara adalah jauh lebih penting daripada isu kewangan jangka pendek yang mungkin dihadapi oleh mereka.

Sebagai contoh, UMS telah melahirkan 91,915 graduan sejak penubuhannya tiga dekad yang lalu dan sebahagian besarnya iaitu 60 peratus adalah anak Sabah yang kebanyakannya berada di bawah garis kemiskinan tegar.

UMS juga merupakan universiti yang paling banyak menawarkan program sulung untuk golongan B40. Yuran pelajarnya pula semuanya adalah subsidi dan lebih murah daripada kos operasi sebenar.

Bagi pelajar perubatan misalnya mereka hanya dikenakan yuran serendah RM50,000 sedangkan universiti swasta mengenakan yuran minimum RM250,000. Hal ini belum lagi dikira kos pengangkutan yang tinggi setiap kali pegawainya bermesyuarat di Putrajaya atau di negeri-negeri lain. Selain itu, UMS juga terpaksa berbelanja besar membeli air bersih untuk kegunaan pelajarnya semasa krisis kekurangan bekalan air di Sabah.

JANGAN SAMAKAN DENGAN INDUSTRI
Kayu ukur penilaian kewangan universiti tidak boleh disamakan dengan industri. Sebaliknya, kerajaan perlu memberi perhatian kepada keberlanjutan kewangan universiti melalui pembiayaan yang mencukupi dan pengurusan yang lebih efisien, agar universiti dapat terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Kita perlu memastikan agar kelestarian fungsi universiti terus berjalan dengan baik agar pembangunan negara dapat diteruskan dan keperluan kepada tenaga kerja yang berilmu dan berkemahiran dapat dipenuhi.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Abd. Hakim Mohad ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN