BAHASA dan kehidupan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan. Bahasa merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu dimartabatkan oleh setiap individu tanpa mengira ras dan agama selagi dia bergelar warga sesebuah negara.
Dalam konteks Malaysia, keyakinan anak bangsa untuk melihat bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya sangat penting dan bahasa itu bukan hak mutlak kaum Melayu tetapi milik masyarakat majmuk.
Malang sekali dewasa ini didapati keyakinan anak Malaysia terhadap keupayaan bahasa Melayu menjadi semakin goyah dek pengaruh besar bahasa Inggeris terutamanya dalam urusan ekonomi dan perniagaan. Hari ini dunia mengangkat bahasa Inggeris sebagai lidah bagi kebanyakan kegiatan ekonomi dan perniagaan sedangkan sejarah membuktikan peranan tersebut pernah dimainkan oleh bahasa Melayu.
Kehebatan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ekonomi dan perniagaan tidak perlu dipertikaikan lagi. Sesungguhnya catatan sejarah membuktikan bahasa itu mencapai tahap kesempurnaan yang amat tinggi dan digunakan dalam pelbagai domain kehidupan sama ada dari aspek kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara, mahupun urusan ekonomi dan perniagaan.
Hanya mereka yang jahil tentang sejarah silam menidakkan keupayaan bahasa Melayu. Bermula dari zaman kegemilangan tamadun Melayu Melaka, ia berterusan sehingga Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sejak detik pengisytiharan kemerdekaan tersebut, bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan juga telah meletakkan bahasa Melayu ke tempat tertingginya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Dari segi sejarah, bahasa Melayu terbukti berjaya sebagai lingua franca sejak zaman-berzaman. Bahasa Melayu sejak lebih daripada satu alaf memiliki martabat sebagai bahasa besar dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Berikutan perubahan landskap ekonomi dan cabaran globalisasi, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kuat dan sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu. Ia juga berlaku disebabkan oleh pembudayaan mendalam melalui sistem pendidikan, tempoh penjajahan negara yang panjang dan penerimaan bidang moden diasaskan oleh tamadun Barat.
Keadaan ini akhirnya membawa kepada kekeliruan, konflik dan keraguan dalam kalangan masyarakat serta pemimpin. Ia semakin memburuk sementelah sektor ekonomi negara masa kini mula dikuasai oleh orang luar dan bangsa asing.
Meskipun wujud usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, masyarakat didapati masih gentar akan kewibawaan dan keupayaannya, malah ada pihak secara terang-terangan memperlekehkan usaha murni tersebut.
Sehubungan itu bahasa Melayu secara beransur-ansur ditolak ke tepi, ditinggalkan dan seolah-olah dianaktirikan di bumi sendiri. Hal ini adalah sepahit jadam untuk kita telan, lebih-lebih lagi ia berlaku di negara kelahirannya sendiri.
Realiti hari ini menunjukkan sejarah kegemilangan bahasa Melayu dalam urusan ekonomi dan perniagaan semakin terpinggir. Cabaran globalisasi dalam ekonomi dan perniagaan masa kini meninggalkan kesan mendalam kepada bahasa Melayu.
Kecenderungan ekonomi negara ke arah perindustrian menyebabkan peningkatan kemasukan organisasi multinasional di Malaysia. Fenomena ini semakin mengukuhkan penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan perniagaan.
Keperluan menguasai bahasa kedua itu semakin mendesak tetapi dalam masa sama bahasa ibunda perlu dipertahan dan dimartabatkan. Dalam kedudukan inilah kekeliruan dan keraguan wujud.
Seiring perkembangan sains dan teknologi, pertuturan bahasa Melayu semakin berkurangan. Perkembangan teknologi meletakkan peralatan dan perisian komputer pada masa kini menggunakan bahasa-bahasa asing seperti Jepun, Inggeris dan juga Russia yang mana merupakan pengeluar teknologi tersebut. Kesannya, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama pertuturan dalam perniagaan kerana bahasa ini mudah difahami oleh semua pihak.
Justeru, semangat cintakan bahasa semakin pudar kerana masyarakat tidak melihat bahasa Melayu sebagai aset penting untuk maju dalam perniagaan serta sains dan teknologi.
Menyedari hakikat kemerosotan penggunaan bahasa itu dalam bidang ekonomi dan perniagaan, usaha berterusan perlu digembleng bagi mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa ilmu khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras dalam bidang ini memerlukan keazaman yang kuat, perencanaan semula dalam beberapa aspek dan dalam waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya.
Pihak pembuat dasar dan kepimpinan tertinggi pula diharap dapat menggunakan kuasa yang ada untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu agar ia tidak terus terpinggir. Akhirnya, ia akan dapatkan dijayakan jika kita semua mempunyai jati diri yang tegar, yang banggaakan bahasa ibundanya.
CONTOH NEGARA LAIN
Jika benar-benar sayang akan lidah rasmi negara ini, mempunyai tekad seteguh karang di dasar lautan dan sudi belajar daripada orang lain, bahasa Melayu tidak mustahil kembali bersinar di persada antarabangsa.
Mengambil contoh daripada rakan-rakan di sebelah timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan, mereka masih berjaya menguasai ekonomi dan perniagaan serta menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda masing-masing.
Masyarakat Jepun juga menggunakan seratus peratus bahasa Jepun dalam semua bidang termasuk dalam sistem pendidikan mereka. Di Quebec, Kanada pula, bahasa Inggeris digantikan dengan bahasa Perancis yang mana bahasa ini dituturkan 130 juta penutur di seluruh dunia.
Menyorot hakikat ini dengan mata hati dan fikiran yang terbuka, maka tidak mustahil kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan.
Satu bahasa akan berfungsi sebagai bahasa ilmiah jika ia diiringi oleh sistem dan peraturan bahasa yang lengkap yakni mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.
Ciri-ciri kesempurnaan ini sebenarnya telah ada dalam bahasa Melayu. Jika mampu meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi dalam kehidupan bermakna kita telah membuat suatu sumbangan yang besar untuk pembangunan diri, masyarakat dan negara.
Semoga bahasa Melayu kembali gemilang dalam meniti ranjau perubahan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










