MEDIA boleh dianggap sebagai elemen dan instrumen penting dalam perubahan sosial dan pembangunan masyarakat. Dalam konteks yang lebih luas, media menjadi sebahagian daripada intisari peradaban yang sekali gus berperanan mencatat dan merekod perjalanan sejarah manusia sepanjang zaman.
Hakikatnya, manusia beradaptasi terhadap lingkungannya dan media pula bertindak memperpanjangkan fikiran dan pemahaman tertentu yang mampu mempengaruhi persepsi dan pemikiran masyarakat atau individu pada zamannya. Dalam konteks ini, media bergerak dan bekerja dengan berbagai cara mengikut masyarakat yang berbeza.
Memang terdapat pengaruh yang berbeza antara pelbagai bentuk media yang wujud. Ia bergantung bagaimana pengguna atau audiens berinteraksi dengan setiap media itu. Walaupun tidak semua pengguna atau audiens media terpengaruh melalui interaksi mereka melalui media, namun media dalam apa jua keadaan tetap meninggalkan kesan yang domain, iaitu berupaya membentuk perilaku dan pemikiran masyarakat.
Pada tahun 1990an, wujud period baharu dalam dunia media di mana teknologi interaktif dan komunikasi jaringan maya (internet) mula mengubah masyarakat.
Profesor Mark Poster yang menulis buku, The Second Media Age (Polity Press, 1995) menyebut konsep media baharu telah melonggarkan pemahaman komunikasi massa pada berbagai media dengan jangkauan luas hingga ke media bersifat peribadi (individu).
Dengan kepantasan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bentuk pemilikan informasi tidak lagi dikuasai atau didominasi sepenuhnya oleh media konvensional tetapi ia telah bergerak ke pemilikan informasi media baharu yang dikenali sebagai media sosial (medsos). Era media baharu ini memiliki karakter atau ciri-cirinya tersendiri seperti desentralisasi, interaktif, di luar kawalan situasi, demokratisasi dan berorientasi individu.
Jika penekanan media konvensional adalah pada penyiaran, sebaliknya media baharu ini memberi penekanan pada jaringan (networks) maya. Budaya siber (cyber culture) ini menjelaskan bahawa World Wide Web menyediakan sebuah medan yang terbuka, fleksibel dan dinamis yang memboleh dan memungkinkan manusia mengembangkan orientasi pengetahuan baharu serta terlibat dalam dunia demokratis yang lebih interaktif dan terbuka.
Penggunaannya yang begitu drastik dan meluas telah melonggarkan pemikiran pemahaman mengenai media hari ini yang mana telah beranjak kepada jangkauan yang luas daripada media konvensional yang bersifat milik masyarakat kepada media bersifat peribadi yang dikenali sebagai ‘medsos’ yang pelbagai bentuknya seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, Tiktok, podcast dan sebagainya.
Jika era media konvensional digambarkan bersifat sentralisasi produksi, mengawal situasi, komunikasi satu arah dan misinya lebih menjurus ke arah pembentukan kesedaran sosial dan nasional tetapi media baharu lebih bersifat desentralisasi, interaktif, di luar kawalan situasi serta berorientasi individu.
Dalam konteks ini, kita dapati penyebaran informasi media baharu adalah tanpa batasan dan tapisan sehingga mencetuskan banyak persoalan yang meragukan.
Walaupun kedua-dua bentuk media memiliki pendekatan interaksi sosial (social interaction) tetapi perbezaannya ialah media konvensional menekankan penyiaran beretika dan matlamat integrasi sosial, sedangkan media baharu lebih menekankan pada jaringan (networks) yang menjurus kepada kepentingan serta kepuasan peribadi.
Justeru, media baharu terutamanya yang diamalkan oleh masyarakat hari ini lebih banyak tidak beretika dalam isi kandungan dan penyebaran maklumat.
Banyak informasi yang disebarkannya bersifat kebencian, provokatif dan fitnah atau mempunyai niat tidak baik terhadap orang lain, kumpulan tertentu atau organisasi tertentu.
Justeru, usaha dan langkah mengkonstruksikan perundangan berkaitan dengannya supaya pengamal dan pengguna ‘medsos’ lebih bertanggungjawab dalam kandungan yang disiarkannya atau lebih memahami pentingnya etika dalam mengendali media baharu dalam apa bentuk sekali pun adalah sesuatu yang amat wajar dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan).
Ini penting supaya media baharu digunakan bukan hanya sebagai instrumen menyebar informasi tanpa tapisan dan batasan serta untuk dijadikan hasrat mencapai populariti dan kepuasan peribadi tetapi ia harus dapat mengangkat wacana kemanusiaan dan wacana nasional secara konstruktif. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










