PENGURUSAN harta dalam Islam adalah satu konsep penting yang memastikan harta diperoleh, dikumpulkan, dilindungi, diagihkan, dan disucikan mengikut prinsip syariah. Dengan perancangan yang baik, seseorang bukan sahaja dapat menikmati kehidupan yang stabil, tetapi juga memastikan waris serta masyarakat mendapat manfaat daripada harta yang ditinggalkan.
Dalam ceramah Pengurusan Harta Islam yang disampaikan oleh saya pada 12 Mac 2025, lima elemen utama pengurusan harta Islam telah dibincangkan secara mendalam. Elemen-elemen ini adalah penciptaan kekayaan, pengumpulan kekayaan, perlindungan kekayaan, pengagihan kekayaan, dan penyucian kekayaan.
Penciptaan Kekayaan (Wealth Creation)
Islam menggalakkan setiap individu berusaha mencari rezeki yang halal dan diberkati. Harta bukan sekadar untuk kegunaan peribadi tetapi juga untuk manfaat ummah. Antara sumber penciptaan kekayaan yang dibenarkan termasuk:
- Perniagaan seperti perdagangan, e-dagang, dan francais
- Pekerjaan halal yang produktif dan memberikan manfaat kepada masyarakat
- Pertanian dan perladangan sebagai sumber ekonomi yang berterusan
- Pelaburan patuh syariah seperti saham Islamik dan sukuk
Keberkatan dalam kekayaan amat ditekankan dalam Islam, di mana kejayaan bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah harta yang dikumpul, tetapi juga bagaimana ia diperoleh dan digunakan.
Pengumpulan Kekayaan (Wealth Accumulation)
Selepas penciptaan harta, langkah seterusnya adalah mengurus dan mengumpulnya dengan baik. Islam tidak melarang seseorang menjadi kaya, tetapi harta harus dikumpulkan dengan cara yang sah dan bertanggungjawab. Beberapa langkah utama dalam pengumpulan kekayaan adalah:
- Menyediakan simpanan kecemasan dan dana masa depan
- Melabur dalam instrumen halal seperti emas, hartanah, dan saham patuh syariah
- Membina aset berkembang seperti hartanah sewaan dan perniagaan
- Menggunakan konsep Mudharabah dan Musharakah dalam pelaburan Islam
Selain itu, umat Islam perlu mengelakkan pembaziran, hutang yang tidak perlu, dan riba yang boleh membawa beban kewangan di masa hadapan.
Perlindungan Kekayaan (Wealth Protection)
Perlindungan harta adalah elemen penting bagi memastikan harta yang dikumpulkan tidak hilang atau musnah begitu sahaja. Islam menekankan kepentingan pemeliharaan harta untuk kegunaan sendiri, keluarga, dan generasi akan datang. Antara mekanisme perlindungan harta adalah:
- Takaful sebagai perlindungan terhadap risiko kewangan
- Dokumentasi harta seperti wasiat dan hibah untuk memastikan waris dapat menerima hak mereka dengan jelas
- Lantikan pemegang amanah atau wasi bagi mengurus harta selepas kematian
Hadis Rasulullah SAW menyebut: “Tinggalkan waris dalam keadaan cukup lebih baik daripada mereka meminta-minta.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Ini menunjukkan bahawa perancangan kewangan yang baik dapat menjamin kesejahteraan keluarga selepas ketiadaan kita.
Pengagihan Kekayaan (Wealth Distribution)
Dalam Islam, harta yang dikumpulkan perlu diagihkan dengan adil mengikut syariah. Islam telah menetapkan beberapa instrumen utama bagi memastikan pengagihan harta berlaku dengan sistematik:
- Faraid – Sistem pembahagian harta pusaka berdasarkan ketetapan al-Quran
- Wasiat: Pemilik harta boleh mewasiatkan sehingga 1/3 daripada hartanya kepada bukan waris
- Hibah: Pemberian harta kepada individu tertentu sebelum kematian pemilik
- Wakaf: Pemilikan harta dialihkan untuk kegunaan masyarakat seperti masjid, sekolah, dan hospital
Tanpa perancangan awal, harta boleh menjadi beku dan menyebabkan waris mengalami kesulitan untuk mendapatkan hak mereka.
Penyucian Kekayaan (Wealth Purification)
Penyucian harta adalah elemen terakhir dalam pengurusan harta Islam. Islam mewajibkan zakat sebagai mekanisme penyucian harta bagi memastikan keberkatan dalam kehidupan. Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk:
- Membayar zakat apabila memenuhi nisab dan haul
- Melakukan sedekah dan wakaf untuk kebajikan masyarakat
- Menyalurkan harta yang bercampur dengan unsur haram kepada kebajikan tanpa niat mendapatkan pahala
- Menyucikan harta memastikan bahawa harta yang dimiliki benar-benar halal dan dapat memberikan manfaat kepada pemilik serta masyarakat.
Pengurusan harta Islam bukan hanya tertumpu kepada mengumpul kekayaan, tetapi lebih kepada merancang, melindungi, mengagihkan, dan menyucikan harta agar ia memberi manfaat jangka panjang. Setiap Muslim bertanggungjawab untuk memastikan harta mereka diurus dengan baik bagi mengelakkan harta beku, konflik waris, dan ketidaktentuan dalam pengurusan kewangan.
Dengan mengamalkan lima elemen pengurusan harta Islam, seseorang boleh mencapai kesejahteraan kewangan, membantu ummah, dan mendapat keberkatan dalam kehidupan serta akhirat. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuradli Ridwan Shah Mohd Dali ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Felo Penyelidik di Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Bendahari, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










