Salah satu profesion penting dalam bidang komunikasi ialah Perhubungan Awam (PR). Bidang tertua dalam bidang komunikasi ini wujud sejak kerajaan Mesir kuno dan terus berkembang mengikut peredaran dan perubahan zaman.
Kini, profesion PR menjadi elemen penting dalam pengurusan organisasi sama ada di sektor awam, swasta mahupun dunia korporat.
Dalam kementerian atau jabatan-jabatan kerajaan dan juga syarikat-syarikat besar (korporat), PR dijadikan salah satu cawangan atau bahagian penting bagi organisasi terbabit untuk pengukuhan identiti, imej dan reputasi.
PR memerlukan pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam komunikasi kerana dianggap sebagai satu seni komunikasi dalam mencerakin aliran, meramal risiko, menasihati kepemimpinan dan melaksanakan program secara terancang yang dapat memberi faedah kepada organisasi dan kumpulan sasar (pelanggan).
Amalan PR yang dilakukan secara terancang, berterusan dan strategik mampu mewujudkan dan memelihara persefahaman antara organisasi dan pihak awam atau pelanggan.
Persatuan Perhubungan Awam Antarabangsa (IPRA) menyebut amalan PR sebagai tugas pengurusan yang bersifat berterusan, terancang serta berstrategik bagi menjalin dan mengekalkan persefahaman, empati selain sokongan daripada sesiapa sahaja yang berurusan atau mempunyai kaitan dengan sesuatu organisasi.
Institusi Perhubungan Awam British mentakrifkan PR sebagai usaha dirancang untuk mempengaruhi pendapat awam melalui penampilan baik dan prestasi yang bertanggungjawab berdasarkan kepada komunikasi dua hala yang saling memuaskan di antara kedua pihak.
Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) pula mentakrifkan PR sebagai usaha yang disengajakan, dirancang dan diteruskan untuk menjalin dan mengekalkan persefahaman antara sesuatu organisasi dengan khalayak.
Amalam PR di sektor awam sangat penting kerana ia menghubungkan antara rakyat dan kerajaan. Dalam konteks ini, sebahagian besar tugas PR diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi.
Di bawah Kementerian Komunikasi, Jabatan Penerangan (JaPen) dianggap sebagai agensi teras dan peneraju utama jentera perhubungan awam kerajaan bagi memasarkan maklumat berkaitan dasar-dasar serta program-program kerajaan secara strategik lagi berkesan.
Peranan JaPen sebagai agensi teras penghubung kerajaan dengan masyarakat (rakyat) penting bagi mengekalkan kewibawaan kerajaan dan kestabilan negara.
Dari segi strateginya, PR yang dilakasanakan JaPen dilakukan mengikut kaedah-kaedah komunikasi tertentu seperti komunikasi bersemuka, media elektronik, portal berita, media cetak, komunikasi visual, komunikasi seni dan penggunaan media sosial.
JaPen turut menempatkan pegawai perhubungan awam (PRO) di semua kementerian, jabatan atau agensi kerajaan yang bertujuan membantu agensi-agensi terbabit mempertingkat perkhidmatan komunikasi dan perhubungan kepada rakyat, khususnya dalam pemasaran maklumat agensi-agensi berkenaan.
Dalam konteks demokrasi, kerajaan terdedah kepada kritikan pelbagai pihak, termasuk pembangkang (politik) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka mengkritik dasar-dasar kerajaan maka ia memerlukan kerajaan memperkukuh komunikasi PR secara cekap, pantas dan efektif. Inilah tugas berat yang dipikul JaPen sebagai agensi utama perhubungan awam kerajaan.
Sungguhpun begitu kerajaan tidak boleh menyalahgunakannya untuk kepentingan politik kerana tugas teras JaPen adalah memberi penerangan, penjelasan dan pencerahan terhadap dasar dan program-program kerajaan, bukannya propaganda politik kepartian.
JaPen memerlukan amalan PR yang efektif bagi pengurusan perkhidmatan, terutama dalam bentuk pemasaran (penyebaran) maklumat. Ini bagi memastikan rakyat memahami dan menerima usaha kerajaan dalam melaksanakan apa-apa dasar. Jika dilakukan dengan baik, ia dapat membina imej dan reputasi kerajaan di mata rakyat.
Justeru, JaPen harus menjadi ‘badan untuk melaksanakan profesion’ secara berkesan, selain menjadi ‘badan rujukan’ dalam bidang PR di negara ini, sekali gus dapat mengawal dan mengangkat profesion ini ke tahap yang lebih menyakinkan.
Dalam melaksanakan tugasnya, JaPen berpegang kepada kod etika PR seperti mana yang digariskan dalam buku Garis Panduan Peningkatan Amalan Perhubungan Awam Kerajaan untuk menjadi panduan pegawai di kementerian atau agensi kerajaan.
Selain itu, JaPen patut meneruskan kerjasama dengan IPRM yang selama ini terjalin kerana institut itu memainkan peranan penting dalam memajukan profesion PR di negara ini. Beberapa tahun lalu, IPRM juga berusaha memperjuangkan agar profesion PR di negara ini yang mempunyai akta tersendiri.
WUJUDKAN AKTA
Namun setakat ini usaha itu belum ada kesudahannya. Sebenarnya akta tersebut penting diadakan agar dapat mengawal dan mengangkat profesion ini ke tahap yang lebih menyakinkan.
Akta ini juga boleh menjadi sandaran kepada semua sektor sama ada kerajaan, swasta, korporat dan sebagainya.
Maknanya, akta berkaitan profesion PR ini wajar diwujudkan bagi memperkasa dan memantapkan kredibiliti pengamal PR di negara ini.
Kewujudan akta ini dilihat akan memberi akreditasi dan pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dalam profesion ini setanding dengan profesional lain seperti jurutera, arkitek, akauntan, doktor dan sebagainya.
Kesimpulan, amalan dan perkhidmatan PR sektor awam di negara ini semakin mencabar kerana bukan sahaja memerlukan pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang komunikasi semata-mata tetapi memerlukan PRO kerajaan yang berketerampilan serta mampu untuk mengaplikasikan ilmu atau teori dipelajari. Ini termasuk melaksanakan amalan berasaskan prinsip etika profesionalisme. Ia akan menjadi lebih mantap lagi jika profesion tersebut mempunyai aktanya sendiri.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










