DALAM ekosistem pekerjaan yang semakin mencabar dan dinamik, kelayakan akademik sahaja tidak lagi memadai untuk menjamin kejayaan seseorang graduan.
Majikan kini tidak sekadar mencari pekerja berkebolehan secara teknikal, tetapi juga individu dengan kelebihan kompetensi komunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran insaniah yang tinggi.
Kajian Economist Impact, yang disokong Google dengan melibatkan 1,375 pekerja, majikan serta pakar industri di seluruh Asia Pasifik termasuk 100 pekerja dari Malaysia menunjukkan kemahiran insaniah (soft skills) kini menjadi keutamaan utama dalam pasaran kerja.
Kajian ini juga mendedahkan lebih ramai pekerja di Malaysia menganggap kemahiran insaniah penting (54 peratus) berbanding di peringkat serantau (41.2 peratus), mengatasi pekerja di Singapura (51 peratus) dan Hong Kong (47 peratus).
Selain itu, pekerja Malaysia menekankan kepentingan komunikasi interpersonal dan antara budaya (81.5 peratus), menunjukkan keperluan untuk lebih fleksibel serta berdaya tahan dalam persekitaran kerja yang bermutu tinggi dan bersaing secara sihat di peringkat global.
Kompetensi komunikasi bukan sekadar keupayaan menyampaikan maklumat secara lisan atau bertulis, tetapi juga melibatkan kecekapan memahami orang lain, membina jaringan profesional yang kukuh dan menyelesaikan konflik secara berhemah.
Konflik di tempat kerja tidak dapat dielakkan, tetapi mereka yang memiliki kemahiran komunikasi mampu mengurusnya dengan matang.
Keupayaan mendengar secara aktif, berkomunikasi dengan jelas serta mencari penyelesaian secara diplomasi dapat mengurangkan ketegangan dan memastikan kelangsungan organisasi.
Komunikasi bukan lisan seperti bahasa badan, ekspresi wajah dan nada suara turut memainkan peranan penting dalam mencerminkan kejujuran, keyakinan serta profesionalisme seseorang.
Keupayaan memahami perasaan orang lain merupakan elemen penting dalam membina hubungan kerja yang harmoni. Pekerja yang memiliki empati lebih mudah berinteraksi secara berkesan dengan rakan sekerja dan pelanggan, sekali gus meningkatkan produktiviti organisasi.
Kemahiran mendengar secara aktif membolehkan pekerja memahami maksud sebenar di sebalik setiap perbualan, bertindak balas dengan lebih tepat, serta mengurangkan risiko salah faham yang boleh menjejaskan reputasi organisasi.
Kejujuran, ketelusan dan amanah dalam penyampaian maklumat adalah asas komunikasi yang berkesan. Dalam dunia pekerjaan, penyebaran maklumat yang sahih dan bertanggungjawab sangat penting bagi memastikan kepercayaan dalam organisasi terus utuh.
Kompetensi komunikasi dalam konteks universiti Islam dan negara yang mengutamakan nilai-nilai Islam, juga dinilai dari sudut moral dan etika. Al-Quran dan hadis banyak menggariskan prinsip komunikasi yang baik.
Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, Allah SWT mengingatkan umat Islam agar menyelidik kebenaran sesuatu berita sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan fitnah dan salah faham.
Ini sangat relevan dalam dunia pekerjaan, kerana maklumat yang tidak sahih boleh membawa implikasi buruk kepada individu dan organisasi.
Selain itu, komunikasi dalam Islam menekankan konsep husnuzan (berbaik sangka) dan akhlaq mahmudah (akhlak terpuji).
Dalam konteks pekerjaan, berbaik sangka terhadap rakan sekerja dan pelanggan membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih positif dan bersepadu.
Akhlak yang baik, seperti tidak meninggikan suara, bertutur dengan sopan serta mendengar dengan penuh perhatian adalah sebahagian daripada adab komunikasi yang dianjurkan dalam Islam.
SHURA
Konsep shura atau perbincangan juga memainkan peranan penting dalam komunikasi Islam.
Islam menggalakkan rundingan dan perbincangan sebelum membuat keputusan bagi memastikan setiap pihak diberikan peluang untuk bersuara.
Dalam dunia pekerjaan, amalan ini dapat menggalakkan keterbukaan, meningkatkan kepercayaan, dan memperkukuhkan semangat kerjasama dalam organisasi.
Komunikasi yang amanah juga ditekankan dalam Islam, yang bermaksud menyampaikan maklumat dengan tepat dan menjalankan tugas dengan penuh integriti.
Graduan yang berpegang pada nilai amanah akan lebih dipercayai majikan dan rakan sekerja, sekali gus meningkatkan kredibiliti mereka dalam organisasi.
Selain itu, komunikasi berlandaskan nilai Islam menekankan penggunaan bahasa yang baik serta menghindari kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain. Dalam dunia pekerjaan, penggunaan bahasa yang positif dan membina sangat penting dalam memupuk hubungan kerja yang harmoni selain meningkatkan produktiviti organisasi.
Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kompetensi komunikasi diukur melalui keberkesanan teknikal serta nilai-nilai moral dan etika yang diterapkan dalam setiap aspek pembelajaran.
UIAM mengintegrasikan kemahiran komunikasi dalam kurikulum akademik melalui program projek komuniti dan pembelajaran perkhidmatan, memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan komunikasi dalam situasi sebenar selain mengutamakan nilai Islam seperti kejujuran, amanah serta tanggungjawab.
Pelajar dilatih untuk menguasai komunikasi lisan dan tulisan dengan jelas serta berkesan. Ia juga termasuk dalam menghasilkan laporan dan pembentangan yang berkualiti.
Keberkesanan komunikasi dinilai melalui pembentangan, tugasan bertulis dan projek praktikal yang menguji kemahiran dalam menyelesaikan isu sosial serta berinteraksi dalam situasi profesional.
Penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran juga membolehkan pelajar mengasah kemahiran komunikasi teknikal yang relevan dengan dunia pekerjaan masa kini. Ia juga memastikan mereka memperoleh kompetensi tinggi dan dapat mengaplikasikannya dalam persekitaran profesional yang kompetitif.
Majikan kini mencari individu yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga mampu memimpin, beradaptasi dan berkomunikasi secara profesional.
Integrasi nilai Islam dalam komunikasi bukan sahaja membantu graduan menjadi pekerja profesional, tetapi juga membentuk mereka sebagai insan beretika, bertanggungjawab dan dihormati dalam organisasi.
Oleh itu, graduan harus sentiasa memperkukuh kemahiran komunikasi mereka, agar dapat membina kerjaya yang cemerlang.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.










