DIASPORA India di Malaysia terdiri daripada keturunan Tamil (majoriti), Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Gujarati dan beberapa minoriti lain. Masing-masing memiliki latar belakang, budaya, adat, identiti dan jati diri berbeza sebagaimana diterangkan dalam buku Mandala Bicara (2016), Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024).
Salah satu perayaan yang menyatukan pelbagai diaspora ini ialah sambutan pesta menuai yang menandakan penghargaan terhadap hasil pertanian dan kesyukuran atas rezeki yang diperoleh.
Antara perayaan yang paling popular ialah Thai Pongal, Makara Vilaku, Pedda Panduya, Uttarayan dan Lohri. Setiap perayaan ini mempunyai keunikan tersendiri serta mencerminkan budaya dan tradisi yang kaya dalam komuniti masing-masing.
Salah satu perayaan yang paling terkenal dalam kalangan komuniti Tamil di Malaysia ialah Thai Pongal yang biasanya disambut pada 14 Januari setiap tahun.
Perayaan ini menandakan musim menuai padi dan merupakan simbol kesyukuran kepada Tuhan atas hasil bumi yang melimpah ruah.
Nama pongal sendiri bermaksud mendidih (boiling over). Ia merujuk cara memasak nasi manis di dalam periuk tanah liat dengan susu, gula merah dan rempah, kemudian dibiar mendidih hingga melimpah sebagai simbol kemakmuran dan keberkatan.
Pada hari Thai Pongal, rumah-rumah dihiasi dengan lukisan kolem dan bunga-bungaan serta pelbagai makanan nabati tradisional disediakan.
Masyarakat Tamil berkumpul bersama keluarga untuk menyambut Thai Pongal. Biasanya dimulai upacara sembahyang kepada dewa matahari dan dewi bumi, serta memberi penghormatan kepada lembu yang membantu dalam aktiviti pertanian.
Sambutan Makara Vilaku pula salah satu perayaan utama bagi komuniti Malayali. Ia menandakan hari pertama matahari memasuki tanda zodiak Capricorn (Makara) dan dianggap sebagai masa terbaik untuk memulakan aktiviti pertanian.
Namun begitu, sambutan komuniti Malayali khususnya di Kerala, India lebih tertumpu kepada Dewa Ayyappan di Sabarimala. Makara Vilaku merupakan tradisi mengenang masyarakat orang asli Malayaraya yang sejak turun-temurun memasang unggun di puncak Bukit Ponnambalamedu.
Pedda Panduga pula perayaan menuai padi yang penting bagi komuniti Telugu yang berasal dari Andhra Pradesh dan Telangana. Perayaan ini biasanya disambut dengan penuh kegembiraan pada 14 Januari.
Pedda Panduga atau Makara Sankranti adalah masa untuk meraikan musim menuai dan memberi penghormatan kepada Tuhan atas hasil pertanian yang melimpah. Maka, ada persamaan dengan sambutan Thai Pongal oleh komuniti Tamil.
Salah satu tradisi utama dalam Pedda Panduga yang semakin dilupakan ialah membuat tilgul, sejenis gula-gula manis yang dimakan sebagai simbol persahabatan dan kemakmuran.
Selain itu, petani pada masa dahulu membuat pada (perarakan) ke kuil untuk berdoa kepada Dewa Surya (matahari) dan berterima kasih atas hasil pertanian yang melimpah.
Uttarayan pula perayaan penting dalam kalendar komuniti Gujarati. Ia menandakan peralihan matahari ke awal musim panas dan juga permulaan musim menuai.
Perayaan Uttarayan di Gujarat, India terkenal dengan pesta layang-layang yang merupakan tradisi utama dalam kalangan orang Gujarati.
Berbagai jenis layang-layang yang berwarna-warni diterbangkan di langit sebagai simbolik mengusir roh jahat serta menyambut musim baharu yang penuh dengan harapan.
Selain itu, makanan manis seperti undhiyu, chikki dan jilebi disediakan untuk meraikan kegembiraan bersama keluarga dan sahabat.
Lohri merupakan perayaan menuai yang popular dalam kalangan komuniti Punjabi. Ia disambut pada 13 atau 14 Januari setiap tahun dan menandakan berakhirnya musim sejuk serta permulaan musim menuai.
Lohri adalah perayaan yang berkaitan dengan unggun api dan merupakan simbol penghormatan kepada Dewa Agni sejak zaman-berzaman.
Di Punjab, India secara tradisi, penduduk beragama Sikh dan Hindu membakar kayu menjadi unggun yang besar. Sekitar api ini, mereka menyanyi, menari, dan meraikan kegembiraan.
Setiap perayaan yang disebutkan di atas mempunyai tradisi dan makna yang mendalam serta mencerminkan keunikan budaya masing-masing dalam komuniti India, termasuk diaspora di Malaysia.
Namun begitu, tentulah corak sambutan tradisional di tempat asal (India) berbeza dengan apa yang diamalkan diaspora India di Malaysia sekarang. Banyak aspek yang sudah ditinggalkan dan hanya unsur teras dikekalkan dalam perayaan. Tambahan pula, tidak ramai kaum India di Malaysia menjadi pemilik sawah padi pada masa sekarang.
Pada petang ini, Pusat Kebudayaan India di bawah Suruhanjaya Tinggi India menganjurkan acara Ullas iaitu gabungan sambutan Makara Sankranti, Lohri dan Thai Pongal di Dewan Netaji Subhas Chandra Bose, Brickfields, Kuala Lumpur.
Sambutan meriah juga dapat disaksikan di kuil dan bangunan persatuan komuniti terbabit di seluruh negara. Sepanduk ucapan daripada ahli politik juga pasti kelihatan di mana-mana.
Secara umum, Thai Pongal, Makara Vilaku, Pedda Panduga, Uttarayan dan Lohri adalah antara perayaan tradisional berkaitan musim menuai yang menyatukan masyarakat melalui tema kesyukuran, penghargaan terhadap hasil pertanian, dan semangat kebersamaan.
Meskipun setiap perayaan mempunyai cara sambutan yang berbeza, ia tetap membawa nilai teras yang sama, iaitu menghargai kehidupan, alam semula jadi dan kesuburan bumi.
Memandangkan majoriti iaitu sekitar 85 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil, maka sambutan Thai Pongal lebih meriah dan dikenali umum.
Minoriti kecil seperti Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali dan Gujarati pula mengadakan sambutan tradisional secara kecil-kecilan. Sambutan oleh komuniti Chetti Melaka pula sentiasa meriah.
Pada dasarnya, sambutan kesemua perayaan ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan dalam komuniti Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Gujarati, dan sebagainya.
Malah, dapat pula memperkayakan lagi kepelbagaian budaya negara Malaysia, sekali gus menjadikannya lebih harmoni dan berwarna-warni serta menarik minat pelancong dari seluruh pelosok dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










