MALAYSIA merupakan negara yang amat mementingkan dan mengutamakan bahasa, budaya, agama dan kepercayaan yang diamalkan dengan sebaiknya. Aspek ini diamalkan dan sering dipergiatkan untuk disebarkan kepada masyarakat dunia. Ini adalah amalan setiap negara dan komuniti pada mana-mana negara dunia.
Salah satu usaha yang dijalankan dalam elemen bahasa dan budaya di institusi pengajian tinggi (IPT) ialah mempelajari bahasa Melayu oleh mahasiswa antarabangsa melalui satu kursus wajib, Bahasa Melayu Komunikasi yang terdiri daripada dua dan tiga kredit mengikut pelaksanaan bagi sesebuah universiti. Ia dijalankan selama satu semester.
Kursus ini sebenarnya sangat mengharapkan hasil pembelajaran kompetensi komunikatif yang optimum dalam kalangan mahasiswa antarabangsa. Ini disebabkan ketika ini sahajalah mereka akan mempelajari kemahiran komunikasi bahasa Melayu mengikut disiplin ilmu. Jika tidak, jangan haraplah mereka akan berbahasa Melayu secara disiplin kerana masing-masing lebih sibuk dengan memfokuskan kepada kursus-kursus jurusan utama, sedangkan kursus bahasa Melayu hanyalah sebagai syarat.
Di sinilah masanya tenaga pengajar perlu mengambil peluang sebaik-baiknya untuk memastikan pembelajaran berjalan dengan seronok, berkesan, mengikut apa yang direncanakan dan paling utama mahasiswa antarabangsa boleh bercakap dalam bahasa Melayu dalam perbualan harian. Ini bermaksud sedikit sebanyak mereka memperoleh kemahiran mendengar, kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan Malaysia.
Kepentingan ini amat difahami oleh para pakar linguistik dan bahasa Melayu untuk penutur asing termasuklah pelajar antarabangsa. Hal ini bermaksud ia bersandarkan kefahaman yang utuh dan kukuh terhadap teori pembelajaran bahasa asing.
Antaranya, teori pemerolehan dan penguasaan bahasa asing oleh tokoh penguasaan bahasa asing, Gardner dan Lambert (1959,1975, 1985 & 2010). Setiap pembelajaran frasa dan ayat amat perlu melalui proses tetapan kursus-konteks kebudayaan, kebolehan, motivasi, pembelajaran formal dan sebaliknya, yang membuahkan hasil ujaran dan wacana komunikasi linguistik/bukan-linguistik secara bertahap.
Di samping itu, secara tidak langsung mereka akan sedikit sebanyak memahami dan berasimilasi dengan budaya, kepercayaan dan agama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ini amat penting bagi mendedahkan aspek silang budaya yang unik diamalkan di negara Malaysia.
Untuk mencapai hasrat dalam kompetensi kemahiran berbahasa Melayu oleh pelajar antarabangsa, ia boleh dirujuk kepada Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM). Jika kompetensi bahasa Inggeris merujuk kepada Kerangka Rujukan Umum Eropah untuk Bahasa (CEFR). Kerangka standard ini disediakan kementerian pada 2018 dan ia digubal oleh pakar-pakar linguistik bahasa Melayu dari IPT Malaysia.
KSBM memberi tetapan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing perlulah melalui asas, pertengahan dan lanjutan. Ketiga-tiga tahap ini perlulah difahami dengan sebaik-baiknya oleh tenaga pengajar yang mengendalikan kursus Bahasa Melayu Komunikasi di IPT, sejak 2011.
Berpandukan kerangka standard ini dan diselarikan serta diintegrasikan dengan konsep pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa, kursus tersebut pasti menjadikan pelajar mampu mengungkapkan frasa dan ayat bahasa Melayu.
Kursus ini menyasarkan pelajarnya dapat berkomunikasi terutama bercakap dalam perbualan harian asas termasuk bersoal jawab, mencetuskan idea asas, memahami asas berbudaya ketika berbual-bual seperti semasa makan dan berpakaian, mengungkapkan cerita di persekitaran kampus dan sebagainya.
Perkara ini tidaklah mudah seperti yang disangka. Ia hanya menjadi mudah dan menyeronokkan apabila diserahkan kepada tenaga pengajar yang minat, mempunyai kesabaran tinggi dan tinggi minda kepercayaan terhadap konsep pembelajaran frasa asas dan ayat asas,mudah, lazim. Konsep ini perlu ada kepada setiap tenaga pengajar yang berpengalaman sama ada telah mengajar selama dua atau empat tahun atau lebih daripada itu.
MARTABAT BAHASA MELAYU
Dasar mewajibkan kursus Bahasa Melayu Komunikasi adalah satu langkah bijak yang harus dipergiatkan dalam segenap aktiviti, pembelajaran dan pengajaran demi menyertai seruan pemartabatan bahasa Melayu dan menyahut sebaran bahasa Melayu melalui pelbagai cara.
Penawaran kursus ini juga sangat bertepatan dengan usaha kini kerajaan dalam menyebarkan bahasa dan budaya dalam kalangan negara-negara ASEAN. Usaha ini adalah rententan fenomena semasa yang hangat diperkatakan dalam kerjasama serantau di Asia Tenggara.
Malah, ia menyambung perjuangan tokoh-tokoh pejuang bahasa Melayu, linguistik dan sastera pada abad lalu. Antaranya ialah Za’ba yang sangat menegaskan perjuangan bahasa Melayu haruslah berkesinambungan dan giat secara konsisten dalam ilmu mengarang, nahu serta sebagainya agar penyebaran bahasa sentiasa segar dan dilihat wujud terutama melibatkan penutur Nusantara dan Asia Tenggara.
Oleh itu, bahasa Melayu yang dipelajari dalam lingkungan disiplin ilmu sebuah kelas formal begini (kursus bahasa Melayu komunikasi) di universiti awam atau swasta sudah tentu lebih mudah mencapai sasaran penyebaran bahasa. Sekurang-kurangnya kepada komuniti penutur di Asia Tenggara. Ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada kita yang menawarkan platform kelas penyebaran bahasa, tetapi memberi impak kepada pelajar antarabangsa yang boleh bertutur dalam bahasa asing ketika memohon pekerjaan kelak.
Isu ini wajar diketengahkan memandangkan ia menyokong penuh usaha pemartabatan bahasa Melayu dan memperkenalkan imej negara secara formal dan integrasi disiplin ilmu di kelas yang berlangsung.
Justeru itu, diharapkan dasar mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada mahasiswa antarabangsa terus dipergiatkan, bukan sahaja dari sudut pelaksanaan pengajaran, pembelajaran dan aktivitinya, tetapi dari segi konsistensi dan jumlah penyelidikan ilmiah dalam bentuk jurnal, buku serta penawaran geran daripada pelbagai pihak.
Langkah ini akan pemantapan hasil pembelajaran kelas Bahasa Melayu Komunikasi mahupun impaknya secara langsung dan tidak langsung kepada sektor berkaitan seperti pendidikan, ekonomi, pelancongan, politik dan sosial.-UTUSAN
PENULIS ialah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).










