PENDIDIKAN, alam sekitar dan ekonomi adalah tiga perkara penting yang memerlukan perhatian kerajaan untuk tahun ini. Kerajaan memerlukan pendekatan baharu yang pintar untuk menangani isu ini dalam keadaan dunia yang serba kompleks. Keadaan dalam negara juga turut tidak menentu sekiranya keadaan dunia tidak stabil.
Persaingan kuasa besar mencari pengaruh, kuasa dan kekuatan ekonomi sangat mempengaruhi negara sedang membangun dalam memulihkan segala sistem pentadbiran dan sosioekonomi era pascanormal. Tambahan lagi dengan teknologi analisis data, kecerdasan buatan (AI) dan sistem komunikasi yang canggih, meningkatkan lagi cabaran kepada negara membangun.
Ketiga-tiga perkara penting ini mesti dilihat dari segi keperluan tempatan dan permintaan global. Dengan teknologi maklumat dan komunikasi yang cekap, seluruh penduduk dunia boleh berhubung serta berkongsi maklumat dengan mudah tanpa kawalan. Pendekatan pintar sangat diperlukan terutama di peringkat tempatan.
Pendekatan program pendidikan menjadi sangat kritikal dan memerlukan bakat yang berpengetahuan serta berkepakaran tinggi sesuai dengan perkembangan teknologi. Kaedah dan pendekatan baharu diperlukan untuk melatih bakat baharu menangani teknologi semasa yang sangat cepat berkembang.
Data asas berkaitan status pendidikan masyarakat di Malaysia masih berkurangan. Pembangunan pendidikan mestilah menyeluruh dan konsisten selari dengan kemajuan teknologi global. Hampir 70 tahun merdeka, Malaysia sepatutnya sudah cepat kehadapan.
Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju melalui Wawasan 2020 tidak berjaya. Pada 2024 masih ramai murid sekolah yang belum boleh mengenal huruf, membaca, menulis dan mengira. Malaysia masih belum boleh berbangga dengan pencapaian pendidikan peringkat rendah.
Malaysia mempunyai Rancangan Malaysia (RMK) yang mantap, namun pencapaiannya masih terbelakang. Walaupun penilaian pencapaian sentiasa dibuat, mungkin kurang tindak balas serius secara bersepadu daripada pihak yang bertanggungjawab. Sasaran nisbah 60:40 bidang sains dan sastera di peringkat sekolah menengah atas masih belum tercapai.
Cadangan mengaktifkan semula Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Negara melalui Akademi Sains Malaysia dengan kerjasama dengan Pusat Sains Negara (PSN) boleh membantu memperkasakan program STEM negara. Peranan Institut Aminuddin Baki dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mesti lebih fokus.
Fungsi dan struktur organisasi agensi berkenaan perlu disemak sesuai dengan keadaan dan wawasan kerajaan semasa. IPGM boleh lebih fokus kepada pendidikan serta memperkasakan profesionalisme guru secara berterusan terutama berkaitan pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Majlis Sains Negara yang ditubuhkan pada 2015 boleh melihat secara aktif berkaitan tadbir urus Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara. Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang bakal dilancarkan mesti selari dalam membantu memperkasakan program STEM negara.
Cabaran pendidikan STEM masih lagi kepada minat pelajar, persediaan guru, kerjasama antara disiplin, sumber dan kemudahan, kurikulum serta polisi kerajaan. Semua ini mesti ditangani dan dipantau mengikut bidang serta keperluan.
Dalam menghadapi kerjaya berpendapatan tinggi, kerajaan nampak bersungguh-sungguh mempromosikan pendidikan STEM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berasaskan sains ini bukan sahaja untuk bekerja di industri tetapi juga boleh menjadi usahawan. Generasi muda mesti diyakinkan dengan contoh dan permintaan tinggi bidang sains dan teknologi. Ganjaran yang ada sekarang bagi graduan dalam bidang sains tidak menggalakkan dan tidak kompetitif.
Pendidikan tinggi juga memerlukan transformasi yang selari dengan perkembangan dunia dan rancangan negara. Biarlah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menguruskan universiti dan kementerian lain tidak perlu mempunyai universiti sendiri. Universiti menghasilkan graduan selari dengan keperluan bakat yang diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dan permintaan agensi lain. Perancangan dan penyelarasan yang cekap dan teliti dapat menjimatkan peruntukan kerajaan.
Universiti mesti fokus kepada menghasilkan graduan yang berkualiti, mempunyai pengetahuan asas kukuh, mampu beradaptasi dengan keadaan, kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan pengetahuan dalam kerjaya mereka. Pensyarah mesti mempunyai kelayakan seperti yang dijanjikan dalam laluan kerjaya pensyarah. Bagi menjayakan hasrat ini, kepemimpinan universiti dan kebajikan pensyarah sangat penting.
Kualiti profesor bukan setakat menulis artikel tetapi juga menunjukkan kepakaran yang berimpak tinggi termasuk memasyarakatkan ilmu. Peruntukan kewangan yang cukup perlu disediakan untuk pembangunan kepakaran pensyarah mahupun pengantarabangsaan.
Malaysia diiktiraf dunia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi. Komitmen kerajaan di peringkat antarabangsa dalam pemulihan hutan dan pemuliharaan habitat hidupan liar mendapat pujian dan sokongan antarabangsa. Kempen menanam 100 juta pokok, pemuliharaan Harimau Malaya dan penggubalan dasar-dasar berkaitan kepelbagaian biologi, alam sekitar termasuk pencemaran bahan kimia berbahaya, amalan baik dalam pertanian dan perubatan adalah antara komitmen kerajaan.
Kelestarian alam semula jadi penting bukan sahaja untuk pengekalan sumber semula jadi untuk manfaat manusia, tetapi sangat berkaitan dengan perubahan iklim, kehilangan kepelbagaian biologi dan kesan kepada pendapatan, ekonomi dan kesejahteraan manusia. Komitmen kerajaan ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
CARI PELUANG
Tahun baharu ini, memerlukan transformasi cepat dalam bidang pendidikan, ekonomi rakyat dan alam sekitar. Sempena Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, transformasi tiga perkara ini melibatkan paling kurang empat negara Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia. Kerjasama sedia ada perlu diperkasakan disamping peluang-peluang baharu.
Malaysia, Indonesia dan Filipina memang sudah diiktiraf dunia sebagai negara yang kaya kepelbagaian biologi. Selain daripada perubahan iklim dan pemuliharaan, banyak perkongsian boleh dilakukan termasuk bidang-bidang pertanian, perikanan, perhutanan, sains haiwan, perubatan dan kajian saintifik yang lain.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










