Kita kini dilanda realiti mania apabIla banyak stesen televisyen mula menerbitkan program hiburan seperti nyanyian dan lawak jenaka, malah ada pertandingan inovasi sekali pun.
Secara umumnya, kita boleh memahami tujuannya adalah untuk memasyarakatkan program hiburan supaya tidak lagi klise bercorak sehala apabila penonton atau audiens duduk menyaksikan persembahan secara terus daripada tempat duduk.
Seperti yang kita semua saksikan, program seumpama itu berjaya menarik penyertaan penonton dan mereka terhibur menikmatinya.
Saban minggu program yang mula menjentik selera penonton menjadi bahan bualan bukan sahaja di kedai kopi atau cafeteria tetapi komen bernas dan ‘pedas’ kita perhatian mula bertebaran di media sosial menjadikan program tersebut popular dan viral atau sohor kini.
Pada peringkat ini, stesen televisyen berkenaan sudah berjaya, jika itulah matlamat asalnya untuk menarik penonton ke kaca televisyen.
Malah, satu ketika ada program yang menjadi fenomena dalam kalangan peminat hiburan seumpama itu, hingga menjejaskan program lain.
Saya katakan begitu selepas teringat satu program yang begitu popular satu ketika dulu yang menjadi fenomena dalam industri hiburan tanah air.
Ramai daripada kita masih ingat dengan program Akademi Fantasia, sebuah program francais yang bersumberkan daripada program negara luar. Antara yang menjentik perasaan saya bagaimana program tersebut yang bersiaran hujung minggu menyebabkan banyak program lain yang dirancang terjejas.
Bilik kuliah dikatakan hampir kosong, kenduri kahwin yang diadakan waktu malam pun kurang tamu kerana ramai enggan ketinggalan untuk menyaksikan program tersebut jika tarikh atau masa bersiaran bertembung dengan acara acara berkenaan.
Kasihan tuan rumah dan pensyarah tapi itu realiti ketika itu. Jika penganjur program atau stesen televisyen mahu lebih ramai pengikut atau peminat program, itu petanda kejayaan awal.
Saya pasti matlamat asalnya adalah mencungkil bakat baharu dalam bidang seni suara tanah air tetapi dengan pendekatan yang lebih proaktif, bukan klise seperti Bintang RTM.
Namun akhirnya, selepas program ke sembilan atau ke-10, tidak ada lagi Akademi Fantasia dan lebih menyedihkan, bintang yang dilahirkan pun entah ke mana, malap dan hilang, sedangkan saya masih teringat komentar ada seorang juri yang juga penyanyi popular pernah membayangkan dan memberi keyakinan menerusi komennya terhadap seorang peserta, ‘Selamat Datang ke
Industri Hiburan’ , katanya mengalu-alukan penyanyi kecil molek berkenaan.
Hari ini penyanyi berkenaan tidak pun menjadi penyanyi tetapi promoter barangan di kaca televisyen. Menarik kan?
Program itu bukan sahaja gagal secara keseluruhannya tetapi benarkah komen juri profesional semacam lesen baginya untuk menilai bakatnya sudah sampai ke tahap mana.
Kita bimbang komen berkenaan daripada juri profesional tidak pun menggambarkan bakat penyanyi, apatah lagi menjadi garis panduan artis mengasah bakat mereka.
Saya ingin membawa ingatan kepada program Bintang RTM yang secara relatifnya tidak pun menjadi fenomena tetapi artis yang dilahirkan masih bertahan sehingga kini , popular dan dan ada kelangsungan hidup.
Sekadar menyebut beberapa nama, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Ramlah Ramlah lahir menjadi bintang seni suara bukan daripada program realiti sedangkan Mawi satu-satunya yang menjadi fenomena dalam program realiti masih berada dalam industri, setakat ini
Sebagai juri yang bukan juri awam dan tidak juga profesional, kita tertanya tanya masih relevan kah program realiti terutama nyanyian.
Yang lebih menimbulkan tanda tanya, adakah komen juri profesional itu benar benar ‘boleh pakai’ atau sekadar mengisi format program.
Saya katakan begitu kerana kadang-kadang saya yang tidak ada ilmu dalam bidang seni menyifatkan komen terlalu subjektif dan artis tidak berkomunikasi dengan pengkritiknya untuk bertanya lebih lanjut maksud komen berkenaan.
Juri awam tidak ada komen sekadar mengangkat sepanduk menyokong artis mereka kemudiannya mengundi untuk memastikan kelangsungan artis kesukaan mereka dalam program berkenaan. Mereka mungkin mempunyai penilaian sendiri sebelum memberi undi.
Iya itu kuasa juri pengangkat sepanduk, manakala juri profesional juga berkuasa memberi komentar mengikut penilaian dan ilmu mereka.
Sebagai penonton yang tidak membayar tiket, kita juga boleh memberi komen tetapi bukan kepada peserta, tetapi kepada format penganjuran dan juga kaedah juri tadi melontar kritikan dan komen nilai tambah mereka.
Dengan lambakan program realiti sekarang, saya ingin menarik perhatian kepada giliran kami yang bukan juri profesional ini memberi pandangan.
Baru-baru ini seorang penyanyi yang juga bekas vokalis Kumpulan Gersang. Man Bai memberi sedikit pandangannya berhubung format penganjuran sebuah lagi program realiti yang mempertandingkan artis artis popular.
Benar, ada juri mempertahankan program tersebut sebagai sekadar hiburan hujung minggu.
Kalau itulah matlamat asalnya sekadar hiburan hujung minggu, lebih baik kita menganjurkan pertandingan cak lempong atau main bola sepak dalam sawah bendang pada hujung minggu. Itu juga menghiburkan, tetapi ada ruang memberi komen?, kerana matlamatnya untuk penonton bersorak.
Komen Man Bai yang menganggap pertandingan melibatkan artis yang sudah popular berpotensi menjejaskan reputasi artis berkenaan tewas dalam pertandingan.
Saya bersetuju kata Man Bai kerana menilai mereka ini berdasarkan kepada apa? Rekod pencapaian atau populariti. Format ini terlalu subjektif untuk memberi markah yang akan menentukan kemenangan.
Man Bai berpendapat, program tersebut memalukan penyanyi dan menjatuhkan kredibiliti artis . Ada benar dan logiknya kerana penilaian adalah bergantung kepada persembahan ketika pertandingan.
Penyanyi kata beliau perlu ada killer song dalam album sendiri bagi menaikkan nama dalam industri, dan bukan nyanyikan lagu artis lain.
Beliau bimbang jika penyanyi yang dikatakannya bertaraf antarabangsa Liza Aziz boleh kalah pertandingan itu. Man bai kata, adakah juri pekak dan tuli.
Itulah pendapat Man Bai sama ada peminat atau juri profesional bersetuju harap jangan mudah koyak kerana seperti saya katakan tadi, ini giliran juri awam yang beri komen, tidak akan menjejaskan atau meruntuhkan reputasi program.
Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) Datuk Malek Ridzuan juga berpendapat program seumpama itu meruntuhkan reputasi penyanyi yang sudah establish.
“Kalau hendak cari bakat baharu, carilah bukan artis. Lagi satu pilihlah juri yang berkelayakan seperti komposer dan mereka yang berpengalaman,” ujarnya tidak mengulas lanjut.
Sama ada kita bersetuju komentar dua tokoh ini, ia adalah pandangan peribadi, tapi juri profesional janganlah cepat koyak atau mudah terasa hati.
Kepada peminat seni, nikmati sahaja hiburan itu sebagai santapan hujung minggu.
Komen di sana sini kini sudah menjadi lazim kerana dulu ada istilah ‘cakap belakang’, kita tidak tahu pun apa orang cakap tentang kita tetapi kerana adanya media sosial ketika ini, komen sudah terlalu terbuka.
Kalau sedih atau teruja dengan nyanyian, itu biasa .
Juri sebuah program realiti antaarabangsa Simon Powel pun kadangkala hanya terkesima dan mengalir air mata mendengar lagu dipersembahkan peserta. Hati terkoyak juga kah? – UTUSAN










