TAHUN 2024 menyaksikan pencapaian pelbagai inisiatif dan reformasi penting oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bukan sahaja memberi impak besar kepada sistem perundangan negara tetapi juga memperkukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa.
Dalam tempoh ini AGC berjaya mengukuhkan peranannya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang di Malaysia. Walaupun jawatan Peguam Negara berubah, komitmen AGC untuk menegakkan keadilan kekal utuh, berlandaskan prinsip ketelusan dan keadilan.
Pencapaian AGC pada tahun 2024, antaranya:
- Penggubalan dan pindaan undang-undang penting
Sebagai penasihat utama undang-undang kepada kerajaan, AGC turut memainkan peranan penting dalam menggubal beberapa undang-undang baharu dan meminda undang-undang sedia ada:
- Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2024: Memberi hak kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia. Inisiatif ini menunjukkan komitmen AGC terhadap kesaksamaan dan hak asasi manusia.
- Akta Keselamatan Siber 2024: Memastikan rangka kerja keselamatan siber negara kukuh bagi menghadapi ancaman siber.
- Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024: Melindungi kanak-kanak dan remaja daripada bahaya rokok elektronik dan vape.
- Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024: Menyatukan agensi kawalan sempadan untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan.
- Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Pindaan): Memberi kuasa kepada mahkamah untuk menggunakan keterangan saksi kanak-kanak tanpa keperluan pengesahan tambahan.
- Akta Audit 1957 (Pindaan): Memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara untuk memastikan pengurusan kewangan awam lebih telus.
Selain itu, AGC juga memainkan peranan penting dalam pengendalian 1,056 permohonan semakan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Penjara Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023. Keberhasilan ini adalah bukti kerja keras pasukan AGC dalam memastikan sistem keadilan jenayah terus relevan dan manusiawi.
- Peranan antarabangsa
AGC berjaya mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa:
- Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan Kesatuan Eropah: Kejayaan AGC membantu Malaysia meraih kemenangan di WTO dalam kes berkaitan diskriminasi minyak sawit terhadap Kesatuan Eropah menunjukkan kemampuan AGC dalam mempertahankan kepentingan negara di pentas global.
- Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang jenayah siber: AGC memastikan kepentingan Malaysia tercermin dalam draf konvensyen ini.
- Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai wilayah Palestin: AGC membuktikan kepakarannya dengan mewakili Malaysia di ICJ dalam pendengaran berkaitan dasar Israel di Wilayah Palestin yang diduduki dalam usaha mempertahankan hak rakyat Palestin di arena antarabangsa.
- Penyelesaian kes utama
AGC berjaya mempertahankan kepentingan kerajaan dalam kes berprofil tinggi:
- Keputusan syariah tidak boleh disemak oleh mahkamah sivil: Menegakkan perbezaan bidang kuasa sivil dan syariah.
- Larangan buku, Gay is OK!: Mempertahankan keputusan larangan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri.
- Transformasi digital
Sebagai langkah ke arah pendigitalan, AGC memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang meningkatkan kecekapan pengurusan kertas siasatan dan pengendalian representasi oleh peguam:
- Sistem e-Daftar: Untuk merekodkan kertas siasatan jenayah secara dalam talian.
- Sistem e-Representasi: Memudahkan pengurusan representasi undang-undang secara dalam talian.
- Sistem Pelaporan Keputusan Kes (LKK i-AGC): Mempercepatkan arahan lanjut kepada pendakwa raya selepas keputusan mahkamah rendah.
Semua usaha ini adalah seiring dengan transformasi digital kerajaan yang lebih lestari dan responsif.
- Inisiatif sosial dan pendidikan
AGC juga komited dalam usaha mendekati masyarakat:
- Program Kampung Angkat Madani: Menggerakkan infrastruktur asas dan program kebajikan di Kampung Jilid 8, Kedah.
- Kerjasama akademik: Menjalinkan hubungan dengan universiti tempatan untuk meningkatkan profesionalisme undang-undang.
PELAN STRATEGIK AGC 2025
- Penubuhan pejabat baharu
- Penubuhan cawangan Bahagian Rayuan dan Perbicaraan di Sabah serta Sarawak.
- Pemindahan Pejabat AGC Kuala Lumpur ke Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
- Naik taraf tujuh pejabat pendakwa raya daerah, termasuk di Ampang dan Bukit Mertajam.
- Penambahan sumber manusia
AGC akan mewujudkan 80 jawatan baharu untuk Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Persekutuan bagi memenuhi keperluan kes yang semakin meningkat.
- Kerangka kerjasama antarabangsa
- Memperluaskan peranan atase undang-undang di institusi antarabangsa, termasuk di WTO, Geneva.
- Melaksanakan perjanjian baharu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam menangani jenayah rentas sempadan dan pemindahan banduan antarabangsa.
KOMITMEN TERHADAP KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Semua ini ditambah pula oleh pelantikan Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara yang membawa nafas baharu kepada AGC. Dengan latar belakang pendidikan yang kukuh dan pengalaman lebih tiga dekad, Mohd. Dusuki terbukti sebagai tokoh berkaliber tinggi. Beliau merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Wollongong, Australia. beliau telah memimpin pelbagai kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan Lahad Datu dan cabaran perundangan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) .
2024 membuktikan kecekapan dan dedikasi AGC dalam menyokong agenda kerajaan dan memperkukuh kedaulatan undang-undang. Pelan 2025 yang dirancang pula menunjukkan kesungguhan AGC untuk terus maju ke hadapan, selari dengan visi Malaysia Madani. Dengan kejayaan dan usaha yang berterusan, AGC kekal sebagai institusi penting dalam memastikan keadilan dan kestabilan negara.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Asmar Abdul Rahim ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).










