PENGGUNAAN sungkupan semasa pembangunan tanam semula sawit merupakan salah satu inovasi serta amalan agronomi yang sangat penting dan memberi impak besar terhadap pertumbuhan serta kesuburan awalan anak pokok.
Sungkupan didefinisikan sebagai bahan organik atau bukan organik yang diletakkan di permukaan tanah di sekitar pangkal anak pokok sawit bertujuan untuk melindungi dan memperbaiki kelembapan tanah.
Penggunaan sungkupan ini memberikan pelbagai manfaat, termasuk mengurangkan kehilangan air dari tanah melalui proses penyejatan yang mana ia sangat berguna dalam mengekalkan kelembapan tanah terutama ketika menghadapi musim kemarau atau keadaan cuaca yang panas sehingga 11.6 peratus berbanding kawalan tanpa sungkupan (Ma et al., 2024).
Kelembapan tanah yang optimum akan memastikan anak pokok mendapat bekalan air yang mencukupi untuk pertumbuhan akar dan pucuk.
Selain itu, sungkupan memainkan peranan penting dalam pengawalan suhu tanah. Suhu tanah yang stabil dan tidak mengalami perubahan yang mendadak memberikan persekitaran lebih sesuai untuk perkembangan akar anak pokok.
Menurut penyelidikan Rashid dan Zulkifli pada 2020 menyatakan akar yang sihat adalah elemen penting dalam penyerapan nutrien daripada tanah, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih pesat dan seragam.
Sungkupan juga berupaya mengurangkan pertumbuhan rumpai di sekitar anak pokok. Ini berlaku kerana sungkupan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke permukaan tanah, yang menyebabkan benih rumpai sukar bercambah. Pengurangan rumpai ini bukan sahaja membantu mengelakkan persaingan nutrien antara anak pokok dan rumpai, tetapi juga menjimatkan kos buruh dan bahan untuk kawalan rumpai (Zakaria et al., 2021).
Dari segi kesuburan tanah, sungkupan organik seperti tandan kosong sawit (EFB) memberikan kelebihan tambahan kerana bahan-bahan ini akan mereput dan menjadi baja organik. Proses pereputan ini memperkayakan tanah dengan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang diperlukan oleh tanaman. Oleh itu, penggunaan sungkupan organik bukan sahaja meningkatkan kesuburan tanah tetapi juga membantu dalam mempromosikan amalan pertanian lestari dengan memanfaatkan sisa-sisa tanaman (Verma et al., 2024) (Narender et al., 2023).
Penggunaan sungkupan EFB ini disyorkan dan difokuskan hanya di kawasan tanah berpasir dan jenis tanah Bris yang diketahui umum rendah bahan organik dan pegangan air.
Penggunaan sungkupan bersama bitumen (sungkupan tiruan) telah dinilai sebagai alternatif kepada sungkupan menggunakan tandan kosong (EFB). Percubaan tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan dalam prestasi vegetatif dan nutrien daun antara kedua-dua sungkupan tetapi sungkupan tiruan ini menawarkan penjimatan kos sehingga 62 peratus kerana pengurangan terhadap kos pengangkutan, masa aplikasi dan pembajaan. Selain itu, sungkupan tiruan ini mengurangkan kebergantungan terhadap buruh dan meminimumkan masalah seperti penyelenggaraan jalan dan kerosakan perosak (Abdul Rahman et al., 2022).
Walau bagaimanapun, sungkupan tiruan ini diperhatikan tidak sesuai digunakan di kawasan tanah jenis berpasir dan berbatu laterit.
Sungkupan juga membantu melindungi tanah daripada hakisan, terutama di kawasan yang menghadapi hujan lebat atau angin kencang. Hakisan tanah sering kali menjadi masalah utama di ladang kelapa sawit, khususnya semasa tempoh tanam semula apabila tanah terdedah tanpa penutup semula jadi seperti kekacang penutup bumi.
Sungkupan adalah teknik yang diiktiraf secara meluas untuk mengurangkan hakisan tanah dan larian permukaan, terutamanya dalam penanaman sawit dan persekitaran pertanian lain.
Sungkupan dengan ketara mengurangkan risiko larian permukaan air dan kehilangan tanah dengan kajian menunjukkan sebanyak 47.4 hingga 76.2 peratus apabila menggunakan bahan organik seperti seperti tandan kosong. Dengan adanya sungkupan, tanah akan terlindung daripada kesan langsung titisan hujan yang seterusnya mengurangkan risiko kehilangan baja pada tanaman serta lapisan atas tanah (top soil) yang kaya dengan nutrien (Ismail & Bakar, 2017).
Dalam aspek pelaksanaannya, sungkupan perlu digunakan dengan kaedah yang betul untuk memastikan keberkesanannya. Sungkupan tiruan kebiasaannya datang dengan pelbagai saiz seperti saiz 2.0 meter (m) x 2.0m, 2.0m x 1.5m dan 1.5m x 1.5m biasanya diletakkan menutupi di sekeliling pangkal anak pokok dengan jarak sekitar 5 hingga 10 sentimeter (cm) dari perdu pokok.
Bagi sungkupan EFB, ketebalan susunan hanya satu lapisan dengan tiga lingkaran menutupi sekeliling anak pokok sawit.
TEKNIK BERKESAN
Secara keseluruhannya, penggunaan sungkupan sama ada organik ataupun tiruan adalah salah satu teknik yang terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan anak pokok kelapa sawit, memperbaiki kesuburan tanah serta memastikan ladang lebih produktif dan mampan dalam jangka panjang.
Ia bukan sahaja membantu dalam pengurusan tanaman secara efisien tetapi juga menyokong usaha-usaha ke arah kelestarian sektor perladangan sawit.
Amalan agronomi ini harus diterapkan secara meluas bagi memastikan hasil kelapa sawit yang berkualiti tinggi dapat dicapai sambil menjaga dan memulihara ekosistem ladang.-UTUSAN
PENULIS ialah ahli agronomi LKPP Corporation Sdn. Bhd.










