Ekspresi seni dan alam di hutan Hujan-Hujan di Gua Kelam

Ekspresi seni dan alam di hutan Hujan-Hujan

RIMBUNAN pokok hujan-hujan memberi kedamaian kepada peserta yang datang dari seluruh negara berkhemah bersempena Perlis Woodstock Hooligan Camp di kawasan hutan Gua Kelam, Padang Besar, Perlis baru-baru ini. – mingguan/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI kawasan hutan Gua Kelam, Padang Besar, Perlis terdapat satu lokasi yang cukup mendamaikan dengan rimbunan pokok hujan-hujan yang memberi 1,001 ketenangan melalui keindahan alam semula jadi tersebut.

Untuk ke lokasi di hutan tersebut perlu memasuki laluan di dalam Gua Kelam sejauh 500 meter atau melalui jalan Wang Kelian, kira-kira empat kilometer dari jalan besar.

Menjadi kelaziman setiap kali penutup tahun, penganjuran Perlis Woodstock Hooligan Camp di lokasi berkenaan sentiasa dinantikan oleh mereka dari seluruh negara yang mahu menikmati ketenangan tersebut.

Baru-baru ini, lebih 350 peserta termasuk dari Thailand, Indonesia, England dan Singapura menyertai aktiviti perkhemahan selama tiga hari dari 27 hingga 29 Disember itu.

Selain itu, penggiat seni dari serata negara juga dihimpunkan bersama terdiri daripada pelbagai individu, komuniti termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menariknya, sambil berkhemah menikmati keindahan alam semula jadi, para peserta atau pengunjung yang datang itu turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan elemen kesenian dan alam.

Antara aktiviti menarik sempena Woodstock Hooligan Camp itu seperti perkongsian karya seni, persembahan kebudayaan dan warisan seperti Awang Batil dan Wayang Kulit Asun selain persembahan artis terkenal seperti Kopratasa, Ito Blues Gang, Margasatwa.

Selain itu, antara aktiviti lain seperti persembahan dokumentari beruk kentoi, sukan rakyat, sesi perkongisian pengalaman, flying fox dan rock climbing.

Pengarah program berkenaan, Amin Yuzaidi Yusoff, 42, berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memartabatkan bidang kesenian dengan turut memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan di hutan Hujan-Hujan.

Katanya, ia juga satu ekspresi yang mengabungkan kesenian dan alam semula jadi melalui perkongsian karya-karya seni itu.

Ujar Amin, acara ini merupakan kesinambungan daripada Woodstock Hooligan Camp Rimba Bicara yang berlangsung pada 2022.

“Penganjuran program ini juga menjadi medan terbaik menghimpunkan peminat kesenian dan pengkarya-pengkarya seni serta budaya selain merapatkan hubungan antara satu sama lain.

“Ia juga memberi peluang kepada peserta khususnya yang tinggal di bandar-bandar besar untuk menikmati keindahan alam flora dan fauna secara lebih dekat sambil menghirup udara segar selain menghayati karya seni.

“Selain itu, ia juga merupakan antara usaha yang dilakukan dalam memartabatkan bidang kesenian di samping mengangkat nilai warisan alam semula jadi yang kian hilang.

“Para peserta yang datang daripada pelbagai lapisan umur bukan sahaja dalam kalangan orang tempatan sebaliknya ada juga datang dari Thailand, Indonesia termasuk dari England dan Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Amin berkata, antara acara yang dilihat menjadi tumpuan adalah persembahan artis seperti Kopratasa, Ito Blues Gang, Margasatwa dan Wayang Kulit Asun.

Ujarnya, selain itu, para peserta turut didedahkan dengan sesi perkongsian budaya dan pengalaman menarik.

“Ini antara yang cuba kita ketengahkan dalam memberi kelainan kepada peserta yang datang dari seluruh dunia bagi memeriahkan penganjuran edisi kali ini,” katanya.

Tambah Amin, selain memartabatkan bidang kesenian, program tersebut turut membuka peluang kepada peserta menikmati keindahan di hutan Hujan-Hujan di sini.

Katanya, antara lain, sesi Kentoi Walk dan riadah yang dianjurkan juga merupakan peluang terbaik buat peserta melihat secara dekat keindahan alam semula jadi di kawasan ini.

“Panorama lokasi ini yang indah amat bersesuaian buat peserta dan penggiat untuk mengekspresikan karya seni bersama-sama dengan alam,” katanya.

Sementara itu, Amin berkata, ia juga sebahagian daripada usaha pihaknya bagi mempromosi dan merancakkan lagi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2024.

Ujarnya, dapat disaksikan, jumlah penyertaan pada tahun ini juga meningkat dan menarik kehadiran pengunjung dari luar negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN