TULISN Sim Tze Tzin, mengenai buku Becoming Hannah karya Hannah Yeoh memperlihatkan Ahli Parlimen Bayan Baru itu tidak memahami su-isu yang berkaitan dengan dasar negara dan sensitiviti masyarakat beragama di Malaysia.
Tze Tzin menyatakan bahawa kritikan terhadap buku itu adalah berpunca daripada ‘bigot’ yang mendakwa ia digunakan untuk memurtadkan orang Islam. Ini adalah satu salah tanggapan yang jelas.
Perdebatan sebenar buku ini bukan tentang dakwaan pemurtadan, tetapi tentang bagaimana kandungan buku tersebut bertentangan dengan dakwaan DAP memperjuangkan negara sekular, tidak sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta melanggar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam dengan memperuntukkan seperti berikut :- “ Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam” .
Satu lelucon bila Tze Tzin mendakwa bahawa Hannah “hanya menyimpan kepercayaannya di dalam diri sendiri” (“Hannah just kept her faith to her inner self”). Jika Tze Tzin membaca dan memahami buku Becoming Hannah, dia tidak akan membuat kenyataan sedemikian.
Di muka surat 108 bukunya, Hannah menyatakan:
“I also felt that politics took me away from my true longing, which was to be a preacher. But had I not obeyed God’s call, I would not have had the opportunity to preach at churches, to world leaders and to young people, like I am able to do now. God knew the desire of my heart to preach and serve Him. And He made it happen through my political office.”
Jika diterjemahkan, kalimah ini membawa maksud:
“Politik menjauhkan Hannah daripada keinginan sebenar beliau untuk menjadi seorang pendakwah. Hannah mengakui bahawa politik memberi peluang kepadanya untuk berceramah di gereja, kepada pemimpin dunia dan kepada golongan muda. Hannah percaya pejabat politiknya adalah medium untuk memenuhi keinginannya berdakwah.”
Kenyataan ini jelas menunjukkan Hannah secara aktif menjadikan kepercayaannya sebagai sebahagian daripada kerjaya politiknya.
Di muka surat 110 bukunya pula, Hannah menyatakan:
“God wants to reclaim politics and public service in Malaysia for righteousness’ sake. He is looking for God-fearing men and women who are willing to roll up their sleeves and labour in this very demanding field.”
Kenyataan ini adalah seruan jelas kepada golongan Kristian untuk melibatkan diri dalam politik dengan tujuan melayani Tuhan. Kenyataan seperti ini bertentangan dengan semangat sekularisme yang kononnya diperjuangkan DAP dan bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah pendakwahan yang menyasarkan pengaruh agama ke dalam sistem politik serta penggunaan platform politik untuk pendakwahan agama.
Semua ini bercanggah dengan dakwaan Tze Tzin, “Hannah just kept her faith to her inner self”.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 157 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kandungan buku Becoming Hannah. Banyaknya laporan polis ini membuktikan kandungan buku ini menjadi ancaman kepada keharmonian dan keselamatan negara.
Oleh itu kesediaan polis untuk merekod keterangan Menteri Belia dan Sukan itu dalam masa terdekat wajar disambut baik tetapi janganlah pula dia dilindungi semata-mata dia adalah pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Walaupun tiada bukti pemurtadan, namun wujud dakwaan bahawa niat Hannah untuk menjadikan politik sebagai medan pendakwahan Kristian jelas membawa implikasi serius terhadap dasar negara sekular yang dimahukan oleh DAP atau kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semua dua kesalahan di bawah adalah berasas kepada kemungkinan sahaja:
Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988): “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu”.
Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan: “(a) Menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) Memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.”
Kenyataan-kenyataan Hannah dalam bukunya memang membawa potensi untuk menimbulkan ketegangan agama dan melanggar undang-undang ini.
HORMAT KEPUTUSAN HAKIM
Mengapa laporan dibuat kini sedangkan buku diterbitkan pada 2014? Sebelum ini sudah banyak persoalan ditimbulkan tetapi kini ia diabsahkan bila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi, sendiri memutuskan begitu, iaitu: “Bukti menunjukkan pengakuan oleh Plaintif: bahawa dia menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, bahawa dia kembali sebagai ‘duta Tuhan’, bahawa dia ingin berdakwah melalui jawatan politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya untuk penganut Kristian.” (“Evidence shows admissions by Plaintiff: that she preaches Christianity subtly in Malaysia, that she returned as “God’s ambassador”, that she wanted to preach through her political (offices), and that her book was intended for everyone, not just Christians.”)
Tze Tzin sendiri mungkin tidak terpengaruh dengan buku ini kerana latar belakang agamanya yang kukuh. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh? Adakah Tze Tzin yakin bahawa tiada kesan jangka panjang terhadap masyarakat? Mengabaikan kebimbangan ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Jika DAP benar-benar memperjuangkan sekularisme, mengapa membiarkan kenyataan dalam buku ini bercanggah dengan prinsip tersebut? Islam adalah agama Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan memberikan perlindungan kepada umat Islam daripada pengaruh agama lain. DAP harus menjelaskan bagaimana mereka dapat mendamaikan pendirian Hannah dengan perjuangan sekularisme mereka.
Kesimpulannya, tulisan Tze Tzin adalah usaha untuk menutup kelemahan hujah dan bertindak defensif terhadap kritikan yang sah. Tze Tzin dilihat gagal memahami inti perdebatan sebenar dan malah memperlekehkan kebimbangan yang wajar dari sudut perlembagaan, undang-undang dan sensitiviti agama.
Penulisannya hanya menonjolkan kelemahan pemahamannya terhadap isu-isu yang lebih mendalam dan mendasar.
Tze Tzin harus sedar tulisan seperti ini hanya memperburukkan persepsi terhadap parti yang diwakilinya dan mencerminkan keengganan untuk menerima kritikan yang membina. Adalah lebih baik untuk menganalisis isu ini secara objektif daripada sekadar menyerang pengkritik dengan label ‘bigot’ yang tidak berasas.
PROFEOR Datuk Mahamad Naser Disa ialah Profesor Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).










