MUKADIMAH
APABILA dikatakan dahulu Selangor setiap tahun nombor satu, namun kini tidak lagi, Menteri Besar, DATUK SERI AMIRUDIN SHARI kekal tenang ditanya soal itu. Bukan juga mengiyakan dakwaan Dr. Mohamad Khir Toyo, namun beliau percaya, segala perancangan strategik kerajaan akan meletakkan Selangor dalam kedudukan sewajarnya, apatah lagi negeri tersebut sedang menumpu ke arah industri berteknologi tinggi.
Ralit bercerita tentang itu, beliau turut mengulas perkembangan terkini selepas kekal sebagai Pengerusi Majlis Negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor, masalah banjir dan pembalakan.
Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN; juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN dan jurugambar, AFIQ RAZALI di kediaman rasminya di Shah Alam, baru-baru ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan selepas Datuk Seri kekal Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor?
AMIRUDIN: Saya berterima kasih kepada PH yang meneruskan mandat kepada saya menjadi Pengerusi. Sudah pasti kami sedang merangka secara serius untuk memastikan kelestarian pentadbiran Kerajaan Selangor induknya kekal di bawah gabungan politik ini. Untuk menuju ke arah ini, beberapa kerja harus kami laksana demi memastikan kemenangan dikecapi sejak 2008 kekal dalam jangka masa panjang.
Bagaimana caranya?
Kami mahu menyenaraikan pimpinan dan tokoh yang boleh kami kemuka pada pilihan raya akan datang dan memperkemas gerak kerja bagi merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas dalam pilihan raya lalu.
Selain itu, kami memastikan jentera dan kedudukan pasukan berada dalam persediaan ampuh mulai tahun hadapan dan seterusnya.
Saya merasakan kami mempunyai masa agak mencukupi untuk kami laksana proses perubahan ini. Kami juga mahu supaya kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dapat diperkemas kerana formula ini bukan hanya bermakna kepada Selangor, malah, memberi nilai tambah kepada kewujudan gabungan yang besar, kukuh dan stabil dan di peringkat Persekutuan.
Ada perubahan gerak kerja menerusi gabungan Kerajaan Perpaduan?
Gerak kerja kami kena lebih kemas. PH dan UMNO mempunyai beberapa kelebihan dan ia digabungkan ketika kami berada dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Ada keserasian, kerjasama dan persefahaman yang kami tidak nikmati ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kerana di antara Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan PRN, kami ada lapan bulan sahaja dan banyak dicelahnya merupakan hari terbesar seperti perayaan.
Jadi, kami tiada masa cukup untuk menubuhkan pakatan perpaduan yang rapat. Namun, kali ini, saya yakin ia boleh digembleng dan diperkemas.
Apa perancangan selepas ini?
Kami akan laksanakan konvensyen tahun hadapan, jelajah bersama Kerajaan Perpaduan dan PH ke semua kawasan Parlimen. Kami juga akan mengadakan retreat tidak lama lagi untuk mengenal pasti kekuatan, kerjasama dan ruang untuk meneruskan gabungan Kerajaan Perpaduan Selangor.
Pendirian PH dan Barisan Nasional (BN)-UMNO tentang pemilihan kerusi yang adil akan teruji dalam pilihan raya seterusnya?
Setiap kali pilihan raya, dalam mana-mana gabungan pun akan teruji dalam menentukan kerusi masing-masing. Pada 2013, Pas pun melanggar perjanjian apabila mengambil kerusi Kota Damansara dan akhirnya menyebabkan BN menang ketika itu.
Jadi, kami yakin dengan persefahaman ini. Segala bentuk, konsep perundangan, perbincangan dan mesyuarat yang besar nanti, kami boleh mencapainya sebagaimana keupayaan kami dalam pilihan raya lalu.
PRESIDEN PKR
Siapa lagi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim terajui PKR?
Kami ada ramai pemimpin ‘top’ lagi. Kami ada Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Nik Nazmi Nik Ahmad dan saya juga naib presiden. Ahli-ahli Parlimen kami juga boleh tahan ramai yang muda. Saya rasa masa hadapan
PKR tidak begitu menggusarkan untuk second line-up, bagi saya PKR perlu lebih bersedia untuk line-up seterusnya kerana ini lebih utama untuk memastikan kelestarian parti yang sudah membina dua tiga lapisan sebelum ini, supaya lapisan seterusnya dibina dengan kukuh. Saya antara lapisan kedua dan mungkin ketiga, sekarang masanya untuk membina dan ini menjadi tanggungjawab kepada pemimpin muda.
Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?
Saya tiada masalah dengan beliau.
Adakah Datuk Seri bersedia meninggalkan kerusi Menteri Besar jika ada permintaan untuk ke Kabinet Persekutuan selepas PRU16?
Berdasarkan nasihat sultan Selangor, sejak hari pertama saya mengangkat sumpah sebagai menteri besar lagi, Tuanku sebut untuk saya kekal menghabiskan tanggungjawab di negeri untuk penggal ini. Penggal hadapan tidak tahu lagi, tetapi, kata Tuanku, ada yang lebih baik untuk saya selesaikan dan beberapa perkara saya rancang.
Apa keputusan Datuk Seri kalau begitu?
Saya lebih selesa meneruskan dan menerima nasihat Tuanku. Tetapi, jika situasi tertentu sangat mendesak dan ada perkenan pula daripada Tuanku, sudah pasti perdana menteri perlu jumpa Tuanku.
Kami sebagai anggota yang patuh akan cuba laksanakan tugas tersebut. Tetapi, tempoh dua tahun ini kami tidak boleh beri sebarang impak. Sebenarnya, kita hanya dapat lihat kesan pelaksanaannya yang baru bermula.
BELANJAWAN SELANGOR
Benarkah Belanjawan Selangor 2025 tiada hala tuju jelas seperti dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo?
Saya maklum apa beliau cakap dalam wawancara Mingguan Malaysia baru-baru ini. Selangor tidak boleh berada dalam imaginasi beliau yang sudah lebih 10 tahun tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri. Tetapi, saya tidak berkecil hati, mungkin ada pandangannya yang membina dan kami bersedia bertemu dengan sesiapa pun untuk melihat bagaimana pandangan beliau terhadap Selangor.
AGRESIF KE ARAH INDUSTRI TEKNOLOGI TINGGI
Untuk pengetahuan, Selangor agak agresif kepada perindustrian teknologi tinggi dan sebahagian daripada peralihan ini merujuk kepada kewujudan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang merupakan suatu nilai lebih tinggi berbanding mass labour manufacturing seperti tahun 90-an dan awal 2000-an.
Pembangunan wilayah masih lagi menjadi strategi apabila kerajaan Selangor melancarkan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS), Inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Di sinilah kelebihan dalam pentadbiran kali ini kerana kami mempunyai rangka lima tahun yang akan menjadi prinsip panduan. Mungkin Dr. Mohamad Khir melihat belanjawan negeri tetapi sebenarnya, kerajaan ada lima tahun perancangan dan di sana mempunyai hala tuju lebih jelas mengenai pembangunan negeri.
NILAI EKONOMI
Jika diukur dari segi impak ekonomi, Selangor mencatatkan RM406 bilion nilai ekonomi dalam laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun lalu dan kami negeri pertama mencapai lebih kurang RM406 bilion dan pada 2022 lebih kurang RM385 bilion atau RM84 bilion. Pada 2021, nilai ekonomi Selangor lebih kurang RM340 bilion dan melonjak RM40 bilion pada 2022 dan yang terbesar sepanjang 10 tahun pentadbiran kerajaan negeri.
BANJIR
Banjir di Selangor mengundang kritikan rakyat termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Kerajaan tidak sedar-sedar lagikah?
Memang saya kerap bertemu Tuanku untuk mengemaskini dan memberi tahu berkenaan status yang harus dilakukan. Cuma dalam beberapa ketika kerajaan dapati projek-projek tebatan banjir ini tidak sepenuhnya boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Kami kena bekerjasama dengan pelbagai pihak. Bagaimanapun, jawatankuasa sudah ditubuhkan dua tahun lalu dan ada yang mencapai kejayaan tetapi sebahagiannya tidak dapat dilaksana kerana di bawah pelantikan Kerajaan Persekutuan.
Adakah potensi banjir besar pada 2021 berulang kembali?
Di Dubai yang tanah gersang itu pun boleh berlaku apabila ada luruan. Jadi, kita (kerajaan) perlu bersiap sedia. Isu besar tempoh hari ialah air pasang besar dan air hujan turun dengan tinggi. Masih ingatkah tidak Tuanku bertitah “takkan kita salah air pasang besar dan hujan lebat?”
Tetapi, pada 2021, luruan itu melepasi Banjaran Titiwangsa dan sampai ke Selangor. Tetapi, kali ini kami bersiap sedia dengan menyediakan pam dan kolam takungannya diperkemas. Mungkin potensinya tidaklah seburuk 2021.
Sultan Sharafuddin turut dukacita dengan tahap kebersihan Bandar Raya Diraja Klang yang kotor, tidak teratur, sungai tercemar dengan sampah sarap. Komen?
Saya mengambil sikap terbuka dan memandang positif apa yang perlu diperbaiki termasuk teguran semua pihak. Teguran daripada pembangkang pun saya terima apatah lagi teguran daripada Sultan Selangor sendiri yang mahu melihat negeri harus berada dalam keadaan baik, tanpa sebarang motif politik atau keinginan peribadi.
MORATORIUM PEMBALAKAN
Banyak kawasan sudah membangun dan pelaburan baharu perlu masuk. Adakah moratorium pembalakan yang diambil sejak 2008 kekal?
Kerajaan sekarang menumpukan kepada kawasan-kawasan untuk pembangunan semula bandar ataupun kawasan perkilangan yang sampai tempoh matang. Di Petaling Jaya sudah mula sampai di Seksyen 50 dan Seksyen 51 dan selepas ini dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan merebak ke beberapa tempat lagi. Termasuk di Petaling, Subang, Klang.
Adakah Datuk Seri bermaksud kerajaan harus teroka hutan untuk bawa masuk pelaburan baharu?
Bukan begitu. Tidak bermaksud kena tebang hutan. Kita ada banyak lagi kawasan pertanian tertentu, contohnya di Bukit Raja yang sekarang ada lagi berbaki 1,000 ekar untuk kawasan kelapa sawit. Mereka (syarikat pertanian) menukar daripada kelapa sawit kepada kawasan industri dan kerajaan negeri luluskan 1,000 ekar.
Berapa banyak kawasan pertanian atau kelapa sawit akan ditukar?
Kerajaan sedang meneliti sekarang bagaimana potensi hampir 8,000 hingga 12,000 ekar di kawasan Pulau Carey yang mana kerajaan akan bina pelabuhan ketiga yang akan mengembang kepada kawasan industri besar. Kerajaan mengekalkan polisi memastikan minimum 30 peratus, malah sudah lebih 31 peratus kawasan Selangor sekarang diliputi hutan.
Kerajaan akan mempertimbang menyambung moratorium dan nilainya baik. Kecuali, memang kerajaan terpaksa guna untuk pembinaan lebuh raya, infrastruktur awam ataupun jajaran elektrik yang sangat diperlukan.
RASUAH
Apa pandangan Datuk Seri tentang kes rasuah terhadap Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)?
Ini kena tunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebab siasatan sudah dijalankan dan kami sedia bekerjasama. Semua dokumen kami serahkan dan sampaikan apa yang SPRM perlu. Tunggu kepada pihak pendakwaan jika ada kes yang disabitkan. Kami tiada masalah.
SELANGOR NO. 1
Dahulu, Selangor sentiasa nombor satu. Sekarang tidak lagi. Iyakah?
Bukan begitu, itu berkaitan pelaburan dan jika kita bergantung dengan pelaburan semata-mata, kita juga boleh ‘dikelabui’ dengan angka tersebut. Cubalah lihat kepada jumlah projek yang lulus dan jangan bergantung kepada nilai. Penilaian yang bergantung terhadap nilai pelaburan ini bukan penilaian sepenuhnya.
Kedah pernah mencatat RM80 bilion hingga RM90 bilion pada satu-satu masa contohnya kerana kemasukan pengeluar semikonduktor, Infineon. Agak ‘pening’ juga atas pengembangan Intel mencatatkan jumlah tinggi tetapi, nilai ini mesti dinilai dengan berapa jumlah pekerjaan, projek yang ditawar dan dikembangkan? Ia juga harus melihat kepada berapa lonjakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekonomi bagi setiap negeri?
Kita tidak boleh melihat ‘nombor satu’ sahaja sebab nilai pelaburannya. Sekarang, jika melihat kepada pusat data, nilainya besar antara RM2 bilion hingga RM3 bilion. Persoalannya, apakah nilai ekonomi kepada masyarakat setempat? Agak rendah berbanding lain. Sebab itu, kita tidak boleh terpesona dengan angka pelaburan yang datang.
Ya, saya juga boleh mencari pelaburan besar, tetapi, jika pelaburan ini memberi kesan kepada alam sekitar, kepadatan penduduk dengan peringkat intensive manufacturing seperti beberapa negara lain, kita juga akan dapat pelaburan yang besar. Tetapi, jangan lupa, nilai kepada kualiti pelaburan juga mesti dilakukan dan kami sedang beralih ke sana. Pelaburan mahu datang, sudah pasti datang. Mengapa mereka tidak memilih Selangor untuk peringkat intensif dan beralih ke negeri lain? Sebabnya, Selangor beralih kepada teknologi tinggi. – Mingguan Malaysia










