DASAR Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030 telah menggariskan lima cabaran utama TVET di Malaysia. Cabaran tadbir urus dan pelaksanaan TVET oleh pelbagai kementerian, cabaran kualiti latihan, kompetensi pengajar dan keselarasan latihan dengan industri, keterbatasan penglibatan industri dalam mencorakkan latihan TVET, cabaran kos yang tinggi dan pembiayaan yang adil dan saksama serta TVET masih dilihat sebagai pilihan kedua.
Inisiatif Berterusan
Pelbagai inisiatif telah digerakkan termasuklah penyelarasan persijilan, memperkasa kerjasama industri, penambahan peruntukan bagi latihan dan promosi program-program latihan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Bahkan usaha telah digerakkan supaya setiap institusi latihan menjalinkan kerjasama bersama pihak industri supaya mereka dapat berperanan secara signifikan dalam membentuk kurikulum, menyediakan fasiliti, kepakaran, tempat latihan, bahkan dana. Usaha ini membuahkan hasil yang cukup baik bagi sesetengah institusi latihan kemahiran.
Namun demikian, faktor seperti geografi, dan ekonomi setempat sering menjadi penghalang keberkesanan kerjasama tersebut. Institusi berhampiran kawasan industri maju lebih mudah menikmati manfaat kerjasama ini, manakala institusi di kawasan terpencil menghadapi cabaran besar dalam mendapatkan akses kepada tenaga kerja mahir, peralatan, dan sumber lain. Ini menyebabkan ketidakseimbangan yang cukup ketara walaupun dalam institusi TVET di bawah payung kementerian dan program yang sama.
Isu pelatihan pengajar TVET juga memerlukan perhatian serius. Persediaan ikhtisas bagi memenuhi keperluan sistem pendidikan negara sering kali tidak dapat menampung keperluan pengalaman kerja sebenar di industri. Sebagai alternatif, ramai tenaga pengajar TVET yang dibawa masuk daripada industri sama ada secara jemputan atau sepenuh masa. Dari aspek kepakaran dalam latihan, mengambil tenaga pengajar daripada industri adalah solusi sementara. Walaupun mereka memiliki kemahiran terkini, sifat teknologi yang sentiasa berkembang menyebabkan kemahiran tersebut mudah menjadi usang. Akhirnya, pelatihan semula tetap diperlukan.
Persijilan sedia ada di institusi latihan TVET juga seakan tidak memadai bagi persaingan yang cukup sengit dalam industri. Hakikatnya, persijilan tunggal tidak dapat meraikan kepelbagaian keperluan dalam industri. Sudah menjadi kebiasaan bagi institusi untuk mencari peluang dan dana bagi menaja kursus-kursus persijilan kompetensi kemahiran dan profesional tambahan kepada pelajar dan pengajar TVET. Namun demikian, dengan kekangan dana dan peluang yang ada, usaha ini menjadi agak terbatas dan tidak lestari.
Meneroka Model Kerjasama Baharu
TVET di Malaysia tidak terbatas antara pusat latihan kemahiran dan industri semata-mata. Institusi TVET di Malaysia merangkumi ekosistem yang luas daripada program pendidikan khas, pendedahan kemahiran di sekolah, program-program rehabilitasi, program khusus dalam industri, program latihan perguruan, pusat latihan pengajar, pusat akreditasi, pusat penyelidikan, sehinggalah program persijilan dan pemulihan di penjara.
Dalam situasi ini, satu pilihan yang lebih inklusif ialah memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi TVET. Hubungan strategik sesama institusi TVET ini berpotensi meningkatkan keberkesanan keseluruhan ekosistem ini.
Bagi setiap institusi TVET, latihan industri telah menjadi pendekatan utama untuk meningkatkan kompetensi tenaga kemahiran yang ada. Memorandum Persefahaman (MoU) antara institusi TVET dan industri sering dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh kerjasama. Melalui MoU ini, kepakaran daripada industri dibawa masuk ke institusi TVET, manakala pelajar dan tenaga pengajar diberikan peluang menjalani latihan praktikal di persekitaran industri sebenar.
Model kerjasama ini boleh digandakan lagi manfaatnya. Institusi TVET yang mempunyai hubungan erat dengan industri boleh mengambil peluang untuk berkongsi alatan melalui kaedah sewaan atau bertukar kepakaran dengan institusi lain. Di samping itu, program pertukaran kakitangan bagi latihan ikhtisas juga mampu membina hubungan yang lebih erat antara institusi TVET, memupuk budaya kerjasama, dan menyelesaikan pelbagai isu seperti penetapan piawaian kurikulum dan persijilan yang selama ini sukar diselaraskan.
TVET dalam pelbagai bidang yang memiliki peranan berbeza juga boleh digabungkan melalui kerjasama yang lebih inklusif. Sebagai contoh, kepakaran ahli akademik yang memahami dengan mendalam ekosistem pendidikan negara wajar dimanfaatkan untuk menjenamakan TVET di mata masyarakat. Melalui kerjasama dengan institusi-institusi TVET lain, mereka dapat memberikan pencerahan tentang potensi TVET dalam meningkatkan taraf hidup serta ekonomi keluarga menerusi laluan pendidikan negara yang semakin fleksibel dan pelbagai. Langkah ini secara tidak langsung mampu memperkukuh imej TVET di mata masyarakat.
Ekosistem TVET yang Luas dan Dinamik
TVET di Malaysia, yang dikendalikan oleh pelbagai kementerian, menawarkan fungsi unik dan eksklusif. Dari pemain industri, pusat latihan kemahiran, latihan pengajar, latihan perguruan, pusat pemulihan hingga pusat-pusat penyelidikan, semuanya memainkan peranan penting dalam membina ekosistem TVET yang mantap.
Ekosistem ini menawarkan peluang besar jika semua pihak bersifat terbuka dalam meraikan kepelbagaian. Pakar industri dapat menyumbang kepada pendidikan, tenaga pengajar boleh mendalami aplikasi kemahiran, pengajar kemahiran boleh terlibat dalam penyelidikan akademik, dan penyelidik boleh meneroka dunia pendidikan serta industri secara langsung.Mereka yang berada dalam medan yang sama juga boleh bertukar-tukar pengalaman melalui pelbagai medium kerjasama.
Dengan pendekatan yang inklusif dan dinamik ini, TVET dapat memenuhi keperluan teknologi serta pasaran kerja yang sentiasa berubah. Jaringan kerjasama yang kukuh antara institusi TVET dan industri serta sesama institusi TVET adalah kunci untuk memastikan TVET kekal relevan, berdaya saing, dan menjadi pemangkin utama pembangunan negara pada masa hadapan. – UTUSAN
DR. Muhamad Afzamiman Aripin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.










