JASIN: Pelaburan berjumlah RM28.96 bilion yang direkodkan Melaka sepanjang 2023 hingga 2025 akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus memerlukan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memperkemas latihan mengikut keperluan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 752 projek pelaburan yang diluluskan dalam tempoh itu berpotensi mewujudkan 25,100 peluang pekerjaan yang membuka ruang lebih luas kepada graduan TVET.
Menurut beliau, perkembangan itu menuntut Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkukuh kerjasama dengan pemain industri supaya kemahiran yang diajar kepada pelajar benar-benar sepadan dengan keperluan majikan.
Katanya, pembangunan projek seperti Elkay 2.0, German Technology Park dan Melaka Halal Hub 2.0 akan meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja yang mempunyai kepakaran khusus.
“Industri berteknologi tinggi memerlukan kepakaran elektronik dan automasi manakala industri halal pula memerlukan kemahiran pemprosesan makanan, kawalan mutu serta pengurusan rantaian bekalan.
“Di sinilah institusi pendidikan dan TVET mesti bergerak seiring dengan hala tuju pembangunan Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara 2026 di Dewan Alamanda di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata, Melaka mempunyai 408 rakan industri yang bekerjasama dengan institusi TVET merentasi 18 sektor utama dan jaringan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Menurutnya, penglibatan majikan dalam penyediaan kurikulum, latihan industri serta penilaian kompetensi penting bagi memastikan graduan mempunyai laluan pekerjaan sebaik menamatkan pengajian, termasuk menikmati tawaran gaji premium.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan RM10 juta kerajaan negeri bagi pembangunan Melaka TVET Centre of Excellence untuk meningkatkan kualiti latihan.
Beliau turut mengetengahkan kerjasama Mara menerusi Malaysia-China Institute dengan Samsung SDI Energy Malaysia dalam industri bateri kenderaan elektrik sebagai model hubungan institusi latihan dengan industri.
Katanya, usaha itu sebahagian daripada aspirasi membangunkan Malaysia sebagai negara berkemahiran yang mempunyai tenaga kerja mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi, elektronik dan kejuruteraan. -UTUSAN











