‘Parti politik sekarang tidak boleh harap’

‘Parti politik sekarang tidak boleh harap’

Temubual bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DATUK ZURAIDA KAMARUDDIN berterus-terang, sejak beliau tewas di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tiada lagi saluran yang sesuai membawa beliau kembali dalam arena politik, apatah selepas bertukar parti beberapa kali bermula daripada PKR sehingga berlaku perebutan jawatan Presiden dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM). Tetapi, beliau optimis, kembara politiknya sudah ditentukan Tuhan dan kini, hala tujunya berbeza.

Bercerita banyak hal bersangkutan selepas kekalahan itu, bekas Naib Presiden PKR itu juga mengulas isu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. Apa yang berlaku?

Beliau turut menyentuh soal saman PKR RM10 juta dan formulanya dalam melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Ikuti wawancaranya bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, jurugambar FARIZ RUSADIO dan juruvideo, NOORUL ERNI NADIA, di pejabatnya baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Datuk tidak lagi kelihatan dalam arena politik negara selepas tewas dalam pilihan raya lalu. Apa yang Datuk lakukan sekarang?
ZURAIDA: Selepas PRU15, adalah juga saya beri kenyataan sedikit yang saya fikir kritikal seperti isu pensijilan halal dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Sekarang saya tidak menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya pertubuhan Muafakat Nasional (MN) bertindak sebagai Timbalan Pengerusi dan satu lagi pertubuhan Proklamasi Orang Melayu. Saya bergerak di bawah pertubuhan ini agak perlahan atau tidak agresif.

Pada masa sama, saya masih lagi memantau keadaan politik negara. Saya juga fokus kepada kerja-kerja korporat dalam pembaharuan tenaga seperti kredit karbon, sisa kepada tenaga (WTE), insinerator, pengurusan sampah, ekonomi hijau dan banyak memberi ceramah di luar negara.

Ini kepakaran saya, memberi nasihat kepada syarikat-syarikat yang mahu melabur.

Datuk lakukan pekerjaan ini sebelum sertai politik?
Ya, saya pernah bekerja dalam sektor korporat untuk syarikat antarabangsa di Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan. Saya juga tidak pernah jangka menjadi kakitangan kerajaan dan berpencen ketika itu dan sertai politik. Ia hanya satu kebetulan dan terus melangkah seterusnya menjadi menteri. Tetapi, perundingan korporat dan strategi pemasaran adalah kepakaran saya.

Sekarang memang keluar sepenuhnya dari dunia politik?
Ramai tanya mengapa saya tidak membuat kemunculan semula dengan pengalaman dan prestasi saya sebagai bekas ahli Parlimen dan menteri yang agak memuaskan? Keadaan parti politik sekarang huru-hara, tiada haluan dan tujuan, malah tidak boleh harap.

Sudah tiba masanya parti politik ini menstruktur semula parti dengan memberi laluan kepada barisan kedua atau ketiga dalam parti untuk golongan muda, matang, berkaliber dan boleh memimpin negara.

Mengapa Datuk bercakap begitu?
Saya harap parti politik kali ini tidak mementingkan diri dan agenda peribadi demi melindungi kedudukan mereka dalam kerajaan.

Ini semua sudah berlalu dan mereka mesti berfikir tentang rakyat dan negara kerana Malaysia sekarang amat tidak stabil. Rakyat gusar dan gelisah.

PARTI BANGSA MALAYSIA (PBM)
Selepas keluar dari PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), boleh kongsi bagaimana Datuk tercetus idea menubuhkan PBM sehingga berlaku kemelut dalaman melibatkan Presiden, Datuk Larry Sng Wei Shien?
Sebelum saya membentuk PBM, saya bertemu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat membentuk parti yang boleh membantu Perikatan Nasional (PN) menarik pengundi bukan Melayu. Memandangkan saya berasal dari PKR dan pengikut saya ramai juga bukan Melayu, jadi, mereka tiada tempat yang sesuai sebab itu saya mahu tubuhkan parti baharu.

Saya cakap, beri saya laluan supaya boleh memberi nilai tambah kepada PN dan anggap parti ini sebagai komponen kepada Bersatu. Tetapi, malangnya, Muhyiddin tidak terima cadangan ini dan memikirkan hal lain tetapi saya teruskan jua.

Apabila sudah ada mesyuarat agung tahunan (AGM) dan buat ketetapan saya akan mengambil alih parti ini, tetapi, malangnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak menjalankan tugas meneliti minit mesyuarat mengesahkan mesyuarat ini, lalu tergantung.

Ketika itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama-sama menghalang saya menjadi Presiden PBM. Nampaknya ada tentangan atau halangan.

Mungkin mereka rasa terancam dengan gerak dan budaya kerja yang berlainan lalu mungkin keserasian ini tidak dapat disatukan.

REBUT JAWATAN
Perebutan jawatan Presiden PBM dengan Larry pula bagaimana?
Memang inisiatif penubuhan parti bersama saya dengan beliau serta akar umbi, tetapi, saya tidak ‘masuk’ waktu pemilihan parti kerana saya mendapat nasihat daripada perdana menteri supaya jangan masuk dahulu. Beliau di bawah tekanan Muhyiddin untuk mengambil jawatan menteri saya yang beliau tidak mahu lepaskan. Jadi, katanya, biar Larry memimpin PBM dahulu tetapi apabila saya mahu masuk, Larry juga halang saya.

Datuk tidak sempat menjadi Presiden pengganti PBM ketika itu?
Hanya sempat ketika pengumuman sahaja, kemudian pilihan raya umum hampir dekat jadi masa singkat. Saya tidak tahu apa sebabnya RoS enggan beri kerjasama mengesahkan kedudukan.

Apabila saya tanya Hamzah, beliau sahkan Larry ialah Presiden parti. Jadi, saya kecewa. Rasanya ada ‘tangan-tangan’ yang menghalang saya daripada menjadi presiden parti atau seorang wanita memimpin parti politik.

Hubungan Datuk dengan Larry bagaimana sekarang?
Saya tiada komunikasi dengan beliau sebab saya tahu, niat beliau berada dalam parti, cuba mendapatkan kedudukan sebagai Presiden. PBM tidak bergerak pun, maksudnya mahu berlobi, masuk menggunakan kedudukan tetapi tidak bergerak. Saya ambil tindakan perundangan satu kali, tetapi, biasalah. Tidak berbaloi pun untuk saya berjuang mendapatkan parti ini sedangkan parti sudah dikotorkan.

TIDAK MENYESAL
Datuk menyesal keluar PKR dan Bersatu dahulu?
Saya tidak pernah menyesal dengan tindakan saya kerana di mana sahaja berada, saya lakukan yang terbaik. Tiada kekesalan dan saya memang membuat pilihan meninggalkan parti ini kerana sebab peribadi dan sebagai seorang Islam yang memikirkan akhirat. Jadi, lebih baik saya keluar.

Bukankah Datuk sebelum ini dilaporkan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)?
Selepas kemelut berlaku dalam PBM, saya fikir Gerakan mungkin platform untuk saya membantu PN yang kebanyakan dalam kalangan orang Melayu.

Jadi, dengan menyertai Gerakan mungkin dapat menarik ramai orang bukan Melayu tetapi malangnya, Gerakan sendiri struktur dan akar umbinya pun tidak kuat. Saya juga fikir ideologinya dan ada perkara saya lihat Gerakan tidak sesuai untuk saya sebagai Melayu menyertai parti ini.

Datuk mohon sertai Gerakan atau ditawarkan?
Mereka datang tawar dan saya pun duduk berbincang dan melihat perkara ini semula selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu baru lihat apa keputusannya sama ada masuk Gerakan atau tidak.

Tetapi, selepas PRN, saya memilih tidak sertai. Ingatkan boleh membantu mereka dengan kekuatan saya ada, tetapi mereka tidaklah berapa kuat dan tidak mampu sokong gerak kerja saya jika bersama parti ini.

PKR SAMAN RM10 JUTA
Datuk sudah bayar RM100,000 kepada PKR susulan kes parti berhubung syarat bon?
Belum, sebab pihak plaintif (PKR) masih ada masa 30 hari mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Maknanya, minta kebenaranlah tetapi, tidak tahu sama ada rayuan ini diterima atau tidak.

Jika keputusan ini tidak diterima atau ditolak jadi bolehlah saya mula membuat pembayaran seperti keputusan Mahkamah Rayuan. Tetapi, kalau mereka dapat kebenaran untuk teruskan ke peringkat Mahkamah Persekutuan kami akan pergi ke satu lagi pusingan (perbicaraan mahkamah).

Datuk tetap bayar ganti rugi itu dengan duit kertas RM1?
Boleh (tertawa). Sudah ada kawan-kawan yang sokong akan cari duit kertas RM1. Tunggu masa sahaja.

Datuk bergurau?
Tidak. Mereka (PKR) tidak berhak terima wang saya kerana selama saya berada dalam PKR tidak pernah beri saya wang. Selama 20 tahun saya berjuang menggunakan wang saya, bahkan semasa pilihan raya pun guna wang saya sendiri.

Jadi, mereka tidak berhak. Jika saya beri wang saya RM60,000 saya tidak halalkan kepada mereka. Kerjaya, masa dan sakit saya semua berjuang untuk reformasi ketika itu.

PUTUS HUBUNGAN
Masih berjumpa atau berhubung dengan pemimpin PKR?
Saya tidak pernah berjumpa mereka dan tidak berhubung. Kalau sudah tiada, saya putus hubungan terus.

TENGKU ZAFRUL MASUK PKR
Apa pandangan Datuk mengenai Tengku Zafrul ‘minat’ sertai PKR?
Saya kecewa dengan sikapnya. Saya pernah bertanya beliau ketika berada dalam kerajaan terdahulu (PN) yang mana beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan. Ketika itu saya dengar beliau mahu bertanding di Lembah Pantai, jadi saya tanya beliau benarkah mahu bertanding di sana?

Jika benar, orang saya ada di sana boleh bantu. Beliau cakap “Oh tidak, saya tidak boleh politik ini.” Jadi, saya tidak percaya dengan orang macam ini. Sebab apa yang beliau cakap, tidak buat pun.

Selepas itu, apabila masuk UMNO menjadi bendahari, mahu bertanding kerusi Parlimen, mahu melobi kerusi Kuala Selangor dan lobi macam-macamlah. Selepas itu mahu masuk PKR pula. Apa kerja dia?

Selepas menjadi Menteri Kewangan dilantik Senator, jika beliau masih kekal untuk jawatan itu kali kedua mungkin saya boleh terima. Tetapi, beliau tidak menjadi menteri kewangan, sebaliknya menteri pelaburan, perdagangan dan industri (MITI).

Kalau saya jadi beliau, saya tidak akan ambil jawatan ini dan terima kekalahan. Jika mahu masuk parti itu, beliau mesti bekerja kuat dan sebagainya. Tetapi, tidak. Beliau mengambil cara mudah ambil jawatan MITI menjadi Senator, sekarang mahu cari mudah lagi maksud PKR. Apa ini?

‘SEDAP’ JADI MENTERI
Datuk ada ‘isu peribadi’ dengan beliau?
Tiada. Mungkin beliau fikir ‘sedap’ jadi menteri saya tidak tahulah. Beliau mahu memastikan kekal dalam kerajaan atau jadi menteri.

Pada masa sama, Anwar juga dihantui banyak perkara dalaman PKR dan saya dengar kononnya konflik dengan Timbalannya, Rafizi Ramli dahulu baik. Selepas itu dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution, Tan Sri Johari Abdul dan sebagainya.

Dengan kes mahkamah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri pula semua jadi bercelaru.

Jadi, sama ada beliau mahu ambil Tengku Zafrul sebagai satu penyelesaian saya rasa tidak boleh dan tidak akan berjaya.

Saya tidak berfikir ini akan berlaku apatah lagi dengan penerimaan akar umbi. Dikatakan juga akar umbi UMNO menolak Tengku Zafrul dan sekarang pun saya ada baca berita orang PKR sendiri menolak beliau.

Sudah ada beberapa pemimpin tertinggi PKR termasuk Datuk dikatakan mengkhianat PKR dan Anwar. Komen Datuk?
Ini yang orang cakap, selalunya dikatakan macam mana Anwar pernah lakukan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dahulu, begitu jugalah beliau lakukan terhadap Rafizi kelak.

Tetapi, ketika saya keluar PKR memang pengikut saya marah pada Anwar kerana tidak berlaku adil dan berasa terancam dengan Mohamed Azmin.

Saya bertemu Anwar bertanya mengapa beliau tidak menyokong Mohamed Azmin ketika ‘kes Sandakan’? Apabila pemberita pula tanya Anwar kata “biar polis siasat”. Beliau sebagai Presiden sepatutnya melindungi timbalannya.

PENTADBIRAN ANWAR
Bagaimana pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang memasuki separuh penggalnya?
Masih lagi di tahap dikatakan berdendam dan tidak stabil menyaksikan kerajaan sibuk menangkap, menyaman dan buat laporan polis sedangkan mereka sepatutnya tumpu melakukan kerja demi negara.

Seandainya Datuk tidak keluar parti mungkin kekal menikmati segala keistimewaan sebagai kerajaan bukan?
Ya, mungkin juga. Tetapi, Allah SWT selamatkan saya daripada orang yang tidak sepatutnya.

PILIHAN RAYA PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Apakah Malaysia ada peluang melaksana pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan?
Sewaktu saya menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2018, saya mesti berpegang kepada manifesto Pakatan Harapan (PH).

Saya cari solusi, apakah jalan terbaik melaksana pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan?
Jadi, saya ada formula untuk menyeimbangkan persepsi yang pilihan raya ini kononnya orang Cina atau bukan Melayu akan memegang kuasa yang menjadi ketakutan terutamanya di kawasan bandar.

Jadi, saya teruskan walaupun ketika itu Tun Dr. Mahathir kata kerajaan tidak akan buat pilihan raya PBT, tetapi saya sedang buat kajian dan akan bentang dalam Kabinet namun tidak sempat selepas bertukar kerajaan. Namun, saya tetap bawa perkara ini kerana ia satu amanah.

Jadi, saya buka mulut dalam Kabinet, Muhyiddin pula kata tidak payah buat. Jadi, saya rasa ia satu sikap sangat jumud, sepatutnya dengar pembentangan saya.

Apa formulanya?
Kita boleh buat formula mengikut komposisi kaum sedia ada iaitu Melayu 65 peratus, Cina 25 peratus dan India 10 peratus dalam pilihan raya PBT. Jadi, ini yang akan mengekalkan majoriti dan selepas itu, apabila membuat undi menjadikan seseorang sebagai Datuk Bandar atau Yang Dipertua, kita mintalah orang Melayu bersatu untuk pastikan orang Melayu menjadi ketua.

Kalaulah ada pilihan raya PBT, saya tidak akan bertanding Parlimen dan di sinilah saya boleh buat perubahan kerana macam-macam saya boleh lakukan kerja.

Mengapa susah sangat laksana pilihan raya PBT?
Saya hadir dalam mesyuarat Komanwel, memang kebanyakan negara sudah laksana tetapi Malaysia masih takut, dihantui persepsi orang Cina akan mengambil alih kuasa orang Melayu.

ZURAIDA, ‘MAK LAMPIR’, NENEK RASIS
Datuk kental berhadapan pelbagai kecaman dan serangan siber sehingga digelar ‘mak lampir’ dan ‘nenek rasis’. Bagaimana menghadapinya?
Ini saya dengar juga tetapi tidak pernah lihat dan baca. Senang sahaja, saya fokus dan berkhidmat kerana Allah SWT, bukan kerana mereka. Jadi, apa pun yang mereka gelar, saya tidak tergugat dan terasa kerana saya tahu diri saya tidak seperti itu.

BERTANDING SEKALI LAGI
Ada perancangan bertanding semula dalam pilihan raya?
Saya tidak melihat ada platform untuk saya kerana jika masuk parti politik tidak mungkin kerana ia rigid dan kena lihat pada struktur.

Kalau mahu bertanding mesti menjadi ketua bahagian, ada kedudukan, sedangkan bagi saya, tiba masanya untuk parti politik melihat perkara ini dengan lebih radikal dan ada keberanian.

Tidak semestinya ada jawatan ketua bahagian, maka layak ambil jawatan menteri dan sebagainya kerana tidak semua orang ada kemampuan sama. Jadi, harus menilai orang daripada keperluan kerajaan, negara atau rakyat. Ini lebih penting dan selagi tiada perubahan dalam fikiran, susah untuk masuk parti politik dan terus mendapat kerusi bertanding. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN