Bahasa kolokial dan dialek sebagai pelajaran pengajian kebahasaan di IPT

Bahasa kolokial dan dialek sebagai pelajaran pengajian kebahasaan di IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA kolokial merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian, biasanya dalam situasi yang lebih santai dan tidak formal. Perbezaan ketara bahasa kolokial dengan bahasa rasmi ialah cara penggunaan dalam konteks penulisan rasmi, ucapan rasmi atau dokumen yang memerlukan penggunaan bahasa yang lebih baku dan teratur serta mempunyai sistem penulisan yang bersistematik.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, menerusi ucapannya dalam Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 anjuran Arkib Negara pada tahun ini menyatakan hasrat agar negara dapat mengumpulkan dan mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya ia dapat kekal terpelihara selain sebagai rujukan generasi akan datang.

Apa sebenarnya kepentingan bahasa kolokial dalam memperkukuh pembinaan negara bangsa seperti yang telah digagaskan melalui madani? Signifikannya bahasa kolokial amat penting bagi memperkukuhkan citra jadi diri setiap etnik sebagai paksi kepada citra kebudayaan serta peradaban bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan keturunan.

Perlambangan kebijaksanaan etnik dan keturunan terserlah melalui kosa kata bahasa kolokial yang dimiliki, ia sudah tentu meliputi pelbagai kearifan tempatan.

Ciri utama bahasa kolokial adalah kesederhanaannya, yang mungkin melibatkan penggunaan perkataan atau frasa yang lebih ringkas dan kadang kala tidak mengikut peraturan tatabahasa yang ketat. Selain itu, ia boleh mengandungi pengaruh dialek tempatan, slanga atau ekspresi khas yang wujud dalam sesebuah komuniti atau kawasan tertentu.

Bahasa kolokial juga sering berubah mengikut zaman, dengan istilah atau ungkapan baharu yang muncul seiring dengan perkembangan budaya dan teknologi. Dalam teori Variasi Bahasa berpendapat bahasa tidak statik, tetapi sentiasa berubah mengikut konteks sosial, budaya, dan geografi. Bahasa kolokial adalah salah satu bentuk variasi bahasa yang digunakan dalam situasi tidak formal.

Menurut teori ini, bahasa kolokial adalah hasil daripada penggunaan bahasa yang berbeza dalam kalangan kumpulan sosial yang tertentu. Variasi bahasa ini wujud berdasarkan beberapa faktor, seperti usia, kelas sosial, etnik dan tempat tinggal.

Teori Pembentukan Dialek mengkaji bagaimana dialek terbentuk dan berkembang dalam sesebuah masyarakat. Pembentukan dialek biasanya berkait rapat dengan isolasi geografi, sejarah migrasi dan pemisahan sosial.

Apabila kelompok manusia terpisah dari kelompok yang lain (baik kerana jarak geografi atau perbezaan sosial), mula berkembang membentuk bahasa mereka sendiri yang berbeza daripada kelompok asal. Ini menghasilkan dialek yang berbeza di dalam satu bahasa yang sama.
Bahasa dialek merujuk kepada variasi bahasa yang digunakan oleh sekumpulan masyarakat dalam kawasan geografi tertentu, yang berbeza daripada bahasa standard atau bahasa rasmi.

Dialek biasanya dipengaruhi oleh faktor geografi, sejarah dan budaya masyarakat yang menggunakannya. Sistem bahasa ini merangkumi perbezaan dalam sebutan (fonologi), tatabahasa (sintaksis) serta kosa kata (leksikal) berbanding dengan bahasa standard.

Bahasa kolokial ini turut berperanan menyerlahkan identiti etnik yang sudah tentu memiliki keistimewaan tersendiri khususnya dalam aspek tradisi dan warisan. Kesopanan dan kesusilaan merupakan prinsip kelima Rukun Negara adalah manifestasi menyerlahkan wibawa serta paksi yang dimiliki oleh bahasa kolokial rakyat negara ini.

Prinsip kelima ini sudah tentu ingin mewujudkan masyarakat yang memiliki akal budi tinggi dan kestabilan citra diri turut akan dapat dijelmakan kepada keprofesionalan diri masing-masing dan seterusnya memberikan impak kepada citra negara di mata dunia.

Usaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam menjadikan bahasa kolokial dan dialek tempatan sebagai sukatan pelajaran di institusi pendidikan tinggi adalah langkah progresif untuk memperkasa warisan linguistik di Malaysia.

Menurut Aaron lagi, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), subjek ini dapat diwujudkan dalam bentuk program pendidikan yang mengintegrasikan unsur penceritaan, puisi dan seni persembahan dalam bahasa kolokial, yang bakal menanam rasa penghargaan terhadap budaya bahasa tempatan dalam kalangan pelajar.

Aaron menambah, kamus bahasa kebangsaan juga perlu diperluaskan supaya merangkumi kosa kata daripada dialek dan bahasa kolokial yang jarang digunakan. Ini akan memperkayakan bahasa rasmi negara dan menjadikannya lebih berakar kepada budaya tempatan. Beliau turut mengesyorkan agar kajian meluas dijalankan di seluruh negeri, meliputi pelbagai bangsa dan etnik, dengan hasil kajian diterbitkan untuk rujukan.

Selain itu, Aaron berharap Arkib Negara Malaysia turut akan dapat memainkan peranan dalam mendigitalisasi teks lama, rakaman suara, dan dokumen penting dalam bahasa kolokial, dengan tujuan untuk memelihara khazanah warisan tersebut agar mudah diakses oleh generasi akan datang.

Pendokumntasian yang sistematik turut akan dapat membantu memperkaya khazanah arkib negara berkaitan warisan bahasa yang dimiliki oleh etnik di negara ini.

 

KONVENSYEN Kebangsaan Bahasa Kolokial yang berlangsung turut mengumpul input daripada pelbagai pihak dalam usaha melestarikan dan mendokumentasikan bahasa kolokial bagi generasi akan datang.

 

KOMITMEN
Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dari Arkib Negara menyatakan komitmen pihaknya dalam mengumpulkan maklumat bahasa kolokial dan dialek menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pakar bahasa.

Dokumentasi ini bertujuan mengelakkan kepupusan bahasa tempatan, sekali gus menjadikannya warisan berharga negara.

Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial yang berlangsung turut diadakan untuk mengumpul input daripada pelbagai pihak dalam usaha melestarikan dan mendokumentasikan bahasa kolokial bagi generasi akan datang.

Usaha mengukuhkan bahasa kolokial dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pendidikan akan dapat meningkatkan citra kepada keunikan serta kepelbagaian sumber bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan yang digunakan dalam pendidikan serta urusan pentadbiran kerajaan akan terus dilestarikan dan wawasan melihat bahasa ini akan terus diperkasakan akan dapat direalisasikan.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×