BN yakin kerjasama dengan PH mampu rampas semula Perlis

BN yakin kerjasama dengan PH mampu rampas semula Perlis

ROZABIL Abd. Rahman (enam dari kanan) pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Perlis di Kangar, Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap mempunyai kelebihan mempunyai kerusi majoriti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) di negeri ini sekali pun bersama Pakatan Harapan (PH).

Hal demikian jika diambil kira berdasarkan formula parti yang mendapat undian kedua tertinggi dalam PRU15 yang menyaksikan BN di kedudukan tersebut membabitkan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

PH khususnya PKR pula mendapat undian kedua tertinggi masing-masing di Sena dan Kuala Perlis selain menang di kerusi DUN Indera Kayangan dengan dijangka tiga kerusi berkenaan kekal menjadi milik parti itu.

Jika berlaku kerjasama antara BN dan PH dalam pilihan raya akan datang, dinamika politik semasa di sesuatu kawasan juga bakal diambil kira bagi menentukan parti di kerusi terbabit.

Bagi Pengerusi BN negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman, beliau yakin BN tetap akan mempunyai kerusi majoriti untuk bertanding dalam PRU16.

Katanya, di peringkat awal ini, formula pembahagian kerusi membabitkan BN dan PH masih mengambil kira parti yang mendapat undian kedua tertinggi dalam pilihan raya lalu.

Selain itu, katanya, perbincangan juga melihat kepada keberkesanan calon dari parti yang boleh menang di sesuatu kawasan dengan mengambil kira dinamika politik semasa.

“Daripada segi jentera, kekuatan, sokongan di peringkat bawah kita yakin BN tetap mempunyai kerusi majoriti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Bagaimana semua parti ada hak dengan pandangan masing-masing.

Apa yang penting ketika ini, memantapkan hubungan dengan gabungan kerajaan Perpaduan itu serta gerak kerja setiap parti bersama strategi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, UMNO negeri tidak kisah dilabel ‘sendu’ kononnya tidak agresif menyerang kerajaan negeri membabitkan beberapa isu, sebaliknya parti tersebut lebih fokus kepada kerja-kerja serta misi kebajikan untuk rakyat.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, kaedah UMNO atau BN dalam misi kembali mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri adalah lebih kepada politik kebajikan.

Katanya, UMNO di tiga bahagian di negeri ini terus turun padang untuk bersama masyarakat seterusnya memberi perkhidmatan kepada mereka selepas wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) gagal memainkan peranan membela rakyat di kawasan masing-masing.

“Meskipun ada pihak mendakwa suara UMNO Perlis tidak lantang khususnya membabitkan beberapa isu namun tumpuan pemimpin parti itu adalah lebih kepada kerja-kerja kebajikan bersama rakyat. Kita telah dengar banyak keluhan penduduk khususnya di kampung-kampung di mana wakil rakyat tidak turun padang dan tidak banyak program.

“Politik serang menyerang bukan menjadi keutamaan UMNO sebaliknya kami lebih fokus kebajikan di peringkat bawah. Ramai tanya kenapa saya tidak lantang, namun satu benda kita perlu sedar adalah Perlis ini negeri kecil yang hanya ada lebih 200,000 penduduk sahaja, dan kalau satu isu nak dibawa, tidak perlu jerit sana sini,” kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu.

Sementara itu, Rozabil berkata, rakyat negeri ini masih menantikan pelaburan ekonomi yang telah dibawa ke Perlis oleh kerajaan PN dengan beberapa pengumuman projek oleh kerajaan negeri sebelum ini adalah merupakan pelaburan infrastruktur awam yang mana peruntukannya adalah daripada kerajaan persekutuan.

“Di mana tindakan kerajaan negeri dalam bawa pelaburan besar dari luar untuk sumbang semula kepada peluang ekonomi negeri?

Banyak memorandum persefahaman (MoU) sudah ditandatangani tapi akhirnya sampai sekarang tidak ada apa lagi.

“Parti-parti politik sudah diberi peluang mentabdir negeri ini dan terserah kepada rakyat membuat penilaian. Meskipun pemerintahan kerajaan BN sebelum ini tidak sempurna namun ia adalah lebih baik jika dibandingkan pentadbiran sekarang,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula berkata, peluang BN untuk mengambil semula negeri ini dilihat cerah susulan beberapa perkembangan semasa antaranya pergolakan politik PN dan krisis integriti pimpinan negeri.

Katanya, kerajaan negeri secara umumnya juga dilihat gagal membawa pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang memberi impak buat rakyat.

“Jadi itu menggambarkan kelemahan pentadbiran PN dari sudut pelaburan yang mana hampir keseluruhannya itu adalah hasil air tangan kerajaan BN sebelum ini,” katanya.

Selain itu, katanya, parti-parti komponen BN khususnya di negeri ini juga perlu memperkukuhkan kebersamaan dalam usaha mengembalikan kemenangan gabungan itu PRU16.

Katanya, penekanan terhadap aspek kebersamaan tersebut adalah penting khususnya dalam pelaksanaan program-program di peringkat akar umbi.

“Sepihak perlu mengetepikan soal pembahagian kerusi khususnya dengan perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan dengan sebaik-baiknya gabungan BN perlu fokus kepada gerak kerja dalam misi mengambil alih semula pentabdiran kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN